Tongkang Pecah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,



Pemandangan di atas adalah pemandangan biasa setiap kali anakku bermain walaupun telah disediakan playground namun setelah pandai keluar sendiri daripada playground maka padang permainannya adalah di ruang tamu. Ini baru anak seorang, bayangkan rakan-rakan yang mempunyai lebih dari seorang maka pastinya suasananya lebih hebat lagi. Bak kata Pakar Kanak-kanak, rumah yang bersepah dengan mainan walaupun baru seminit dikemaskan bermakna kita mempunyai anak-anak yang sihat dan mampu bermain kerana ramai kanak-kanak di luar sana yang diuji dengan sakit yang teruk hingga mereka tidak mampu bermain.

Bermain adalah dunia kanak-kanak dan kanak-kanak belajar melalui bermain. Janganlah disekat keinginan semulajadi kanak-kanak untuk bermain semata-mata kita inginkan rumah yang sentiasa kemas kerana mereka hanya menjadi kanak-kanak SEKALI SEUMUR HIDUP. Mereka bakal tinggalkan kita suatu hari nanti. Jadikanlah zaman kanak-kanak mereka zaman yang penuh kenangan manis untuk seorang kanak-kanak. "Mummy, mainlah dengan Adam" adalah ungkapan yang lebih 10 kali aku dengar dari mulut anakku. Anak-anak kita sememangnya hanya mahu kita meluangkan masa bermain bersama mereka walaupun sekadar bermain laga kepala. Aku akan sentiasa meminta izin anakku sekiranya aku ada urusan untuk dilakukan sekiranya dia mendesak untuk aku bermain dengannya. Setakat ini cara itu amat berkesan bagi membolehkan aku mempunyai ruang masa seketika untuk menyelesaikan beberapa tugasan sebelum aku mendengar " Mummy dah siap kerja?" setiap 5 minit sekali sehingga akhirnya aku mengalah.

Anakku telah dilatih untuk menyimpan semula setiap permainannya selepas selesai bermain seawal umurnya 1 tahun 5 bulan dengan cara menunjukkan cara menyimpan dan dia akan ikut. Lama-kelamaan ia menjadi tabiat semulajadinya yang akan mengemas semula mainan sebaik selesai bermain atau sekiranya diminta berbuat demikian, alhamdullilah. Sesungguhnya menanam rasa bertanggungjawab di awal usia amat penting kerana anak akan berasa mereka berkemampuan. Sememangnya tidak sekemas mana namun yang perlu diraikan adalah usahanya bukan hasilnya. 

Kita sebagai ibubapa bertanggungjawab memberikan permainan yang membina minda anak-anak seperti puzzle, alat binaan seperti lego dan sebagainya kerana ia membantu membangunkan motor kasar dan motor halus mereka yang amat penting ketika ingin dilatih menulis kelak. Buku yang mempunyai sticker dan perlu ditampal juga merupakan salah satu permainan ilmiah yang membantu motor halus kerana mencabut sticker tanpa koyak juga satu kemahiran yang perlu diterapkan. Ia mungkin nampak remeh namun kesannya amat besar. Warnailah dunia anak-anak kita dengan kepelbagaian mainan, bukan harga yang menjadi keutamaan namun kemahiran yang dipelajari dari setiap permainan. Selain itu, aku juga sering meminta anakku menyedekahkan barang permainan lama yang masih elok untuk memupukkan rasa berkongsi dan mengelakkan rasa keakuan jika dibiarkan berterusan.

Comments

Topik popular