Multi Level Pahala
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Setiap daripada kita pastinya mendambakan balasan pahala namun sememangnya jalannya penuh liku dan ranjau terutamanya untuk bertarung dengan musuh utama iaitu diri sendiri. Nafsu yang diberikan Allah bukan untuk dihapuskan namun untuk diurus agar ia dapat dipacu ke jalan yang diredhaiNya.
Perniagaan sememangya menjanjikan 9 daripada 10 keuntungan sebagaimana hadith Nabi SAW. Namun perniagaan yang tidak akan rugi selama-lamanya adalah perniagaan dengan Allah. Bagaimana menjadi usahawan akhirat? Berjual beli dengan Allah? Atau berjual beli kerana Allah.
Muamalat dalam Islam amat indah namun ia dicemari dengan pelbagai unsur terutamanya riba yang dibenci Allah. Ilmu Allah amat luas dan tidak mampu dipelajari dan dihuraikan walaupun telah bertahun belajar dan sehingga kini masih belajar. Hakikatnya semakin banyak ilmu baru yang kupelajari semakin jahil diri ini kurasakan. Rupanya maksud ilmu bermanfaat adalah ilmu yang bukan sahaja diamalkan malahan ilmu yang dikongsi bersama. Berkongsi ilmu ini adalah salah satu platform untuk menjadi usahawan akhirat dengan menyemai benihnya di dunia dan menuai hasilnya di akhirat kelak. Keuntungannya tidak dapat dinyatakan di dalam penyata bank dan tidak perlu diaudit serta tidak perlu dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk dicukaikan. Ia juga tidak tertakluk kepada GST.
Berkongsi ilmu yang berfaedah dan sekiranya diamalkan oleh pendengar/pembacanya maka si penyampai akan mendapat pahala sama seperti pelaku tanpa mengurangkan pahala pelaku walaupun sedikit. Namun si penyampai ilmu WAJIB memahatkan di dalam hati untuk mengamalkan ilmu yang disampaikan dan bukan sekadar menyampaikan untuk mengelakkan sifat munafik. Ya Allah pilihlah kami untuk menjadi salah seorang pengamal dan penyampai ilmuMu untuk manfaat umat Islam khasnya dan seluruh umat manusia amnya. Pilihlah kami untuk syahid ketika menuntut dan menyampaikan ilmuMu Ya Allah. Tiada pengakhiran sebaik pengakhiran di jalanMu.
Perkongsian ilmu adalah perniagaan MLM yang tidak terhitung keuntungannya di sisi Allah namun ia penuh dengan ujian sebagaimana janji Allah dalam Surah Al Mulk ayat 2, hambaNya yang terbaik amalnya yang bakal menerima keuntungan berganda di sana. Percaya kepada perkara ghaib salah satu Rukun Iman yang perlu dihadam sepenuhnya kerana keuntungan bersifat ghaib. Tiada rungutan dan keluhan bagi seorang usahawan akhirat kerana majikannya adalah Yang Maha Berkuasa. Marilah bersama-sama merebut tawaran perniagaan ini dan mohon Allah kekalkan kita dalam keikhlasan.
Comments
Post a Comment