Sunday, 21 May 2017

Sedekah Melembutkan Hati

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hari ini telah masuk hari ke 10 kami bermusafir di Bandar Ulul Albab ini demi menimba ilmu wahyu yakni Quran. Bermula dengan niat dihati untuk menyertai Daurah Harmain di Mekah selama sebulan di bulan Ramadhan. Namun menyedari kekangan bajet, aku merintih padaNya. Yang Maha Kaya. SubhanAllah, sesungguhNya Allah berfirman, "Mintalah hanya kepadaKu, maka Aku yang berkuasa memakbulkan segala doa". Rupanya di negara tercinta ini telah ada Daurah Tafsir yang kini telah berlangsung untuk kali ke 9. Sememangnya janji Allah itu benar. Allah Maha Pengasih malu untuk memulangkan tangan hambaNya yang hina yang menadah tangan kepadaNya. Allah gantikan dengan yang lebih baik lagi. Hanya aku hambaNya yang sering lupa apabila mendapat nikmat. Astagfirullah hala'zim. Perbaikilah segala urusan kami Ya Allah.

Hari petama minggu kedua bersekolah di PASTI Tok Motong, anakku masih menangis setiap pagi. Katanya ada kawan yang pukul di sekolah. Setelah berbincang dengan suami, suamiku mencadangkan agar kami bersedekah untuk kawan-kawannya. Dengan niat mengikut cara Rasullulah saw yang tidak membalas sebarang kezaliman yang diterima sebaliknya dibalas dengan kebaikan. Sebagaimana Rasullulah saw telah menyuap dengan lembut seorang wanita Quraisy yang buta walaupun wanita itu memang selalu mencaci dan menghina Baginda. Akhlak Rasullulah saw yang mulia ini membuka hati wanita ini untuk beriman kepadaNya selepas kewafatan baginda. Kami sebagai ibubapa juga sentiasa berdoa kepadaNya agar dicampakkan rasa gembira dan tenang kepada anak kami kerana hati manusia dalam genggamanNya. Semoga dengan usaha kami yang sedikit ini dapat melembutkan hati kawan-kawannya dengan izin Allah. 

Allah mendatangkan ujian kepada anakku untuk dia bersedia menghadapi kerenah manusia yang pelbagai. Walaupun sebenarnya kami sebagai ibubapa sedang diujiNya. Bagaimana kami bertindak atas aduan dan rungutan anak? Perlukah terus melatah? Alhamdullilah, kami sentiasa cuba sebaik mungkin mendengar "cerita" si kecil. Raikan keterujaannya berkongsi rasa. Iktiraf perasaannya yang gementar dengan kerenah kawan-kawan. Kita juga pernah mengalaminya. 

Menjadi ibubapa di zaman serba canggih ini amat mencabar tanpa ilmu yang betul. Sekadar pengalaman tidak membantu tambahan bagi kami yang baru pertama kali bergelar ibubapa. Antara tips yang kami amalkan:-

 i. Tidak memanjakan anak dengan memenuhi setiap permintaan
   - Kebiasaanya anak tunggal dikatakan manja. Hakikatnya anak kami tidak. Dia dilatih untuk tidak mendapat semua yang dipinta. Setiap permintaannya mesti diajar agar memohon dahulu kepada Allah dengan berdoa. Pasakkan ke mindanya bahawa hanya Allah Maha Kaya. Malahan anakku di ajar agar setiap kali ada barang mainan dijual dikedai, hanya "lihat" sahaja untuk lepaskan rasa teringin. Mainan dibeli sekadar keperluan dan dilihat faedah sebaliknya, dengan kata lain permainan yang meningkatkan kemahirannya dari segi minda, motor kasar dan motor halus.

ii. Tidak mempercayai bulat-bulat setiap kata-katanya tanpa usul periksa
   - Sebagai orang dewasa, kematangan kita dalam mempercayai setiap biji butir kata-kata anak boleh menyebabkan insan yang tidak berdosa teraniaya. Anak kecil memang tidak pandai menipu, namun kadang-kala dia hanya ingin meraih perhatian. Bagi kes anakku ini, dia rindukan aku kerana telah 10 hari asyik ke sekolah hingga malam tanpa ada cuti. Itu hakikat sebenar yang diakuinya sendiri "Adam rindu mummy,...." katanya setelah diselidik, walaupun mungkin benar ada kawan yang agak berkasar dengannya.

iii. Tidak boleh disentuh mahupun dijentik
  - Sayang tidak bertempat sehingga para guru tidak dibenarkan menyentuh anak waima atas dasar mendidik. Bagiku teguran tetap perlu ada kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tekankan kepada anak-anak bahawa teguran dan cubitan atas dasar sayang kerana mahu anak kita menjadi baik. In sha Allah dengan kaedah dan betulkan niat, anak akan faham walaupun seawal usia.

Semoga bermanfaat dan semoga kita dapat bersama islah diri dalam menjalankan kewajipan menjaga amanah Allah ini.

Pemilihan sedekah untuk anak-anak kecil pastikan ada khasiat sebagaimana kita mahu anak kita makan

Friday, 19 May 2017

Hari Kelapan Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Hari Jumaat yang mulia ini menandakan bahawa telah 8 hari aku diizinkanNya menuntut ilmu wahyu yakni Ilmu Al Quran dengan Maulana Abdul Hadi. In sha Allah jika diizinkanNya selesai bertalaaqi selama 42 hari, aku boleh diberikan sanad. Namun bukan sanad yang kukejar melainkan untuk meraih redhaNya dan mendalami Al Quran yang selama ini hanya kubaca tanpa kufahami sepenuhnya. Kalam Allah ini penuh dengan peringatan demi peringatan tentang akidah, risalah (kerasulan) dan akhirat. Itulah 3 isi penting Al Quran. Ya Allah semoga Engkau sempurnakan dan mantapkan akidah kami semua. Akidah yang mengikut syariatMu sepenuhnya tanpa campurtangan makhluk lain. 

Hari Jumaat di Jertih adalah cuti umum. Ini Jumaat kedua aku di Jertih. Aku amat kagum kerana pada hari Agung umat Islam ini, bandar Jertih pada keseluruhannya tutup semua perniagaan kecuali dobi layan diri 24 jam. 7 Eleven dan beberapa buah kedai makan. Gedung hypermarket seperti Giant dan Pasaraya juga turut ditutup. SubhanAllah, semuanya sebagai menghormati hari Jumaat. Golongan bukan Islam turut sama memainkan peranan. Masya Allah, amat sesuai gelaran Bandar Ulul Albab iaitu golongan yang bersedia untuk hari akhirat. Dunia ini medan ujian. Segala nikmat di dalam dunia ini menurut Hadith Sahih hanya seumpama secebis tuala wanita. Namun majoriti manusia termasuk aku menghabiskan masa 24 jam yang dikurniakan Allah untuk meraih harta dunia semata-mata. Bagaimana dengan akhirat?

Sesi pagi hari kelapan Daurah Tafsir, Maulana membincangkan surah Al Ahqaf iaitu Haa Mim 7 yang terakhir. Sempat sehingga ayat ke 19 Al Ahqaf. Surah ini membincangkan tentang kesamaran memuja selain Allah untuk mendapatkan "berkat". Hakikatnya Berkat itu milik hakiki Allah swt. Tiada yang dapat memberikan keberkatan selainNya. Astagfirullah hal azim, selama ini aku juga sering menggunakan ayat "ambil berkat" setiap kali mendukung bayi kononnya untuk cepat hamil. Maulana berpesan agar menjaga lidah daripada menggunakan kalimah "ambil berkat" itu kerana ia boleh membawa kepada syirik dan memberi ruang syaitan membisikkan kata-kata hasutanya. Nauzubillah hi min zalik. 

Bersalam dengan para ulamak untuk mengambil berkat sewajarnya dikatakan sebagai Berkat Bersalam kerana bersalam amalan sunnah. Bukannya mengambil berkat dari para ulamak kerana mereka tiada kuasa memberi berkat. Di akhirat kelak, para anbiya', para wali ini akan menjadi saksi bahawa mereka tidak pernah mengajar sesiapa untuk mengambil berkat dari mereka. Malahan mereka sendiri tidak tahu bahawa kubur mereka di sembah sebagai tempat mengambil berkat. Amalan ini banyak terjadi dalam masyarakat kita dan mohon Allah lindungi kita semua dari golongan ini. Sekiranya kita pernah mengamalkannya, hentikan serta-merta dan bertaubatlah kepadaNya.

Hari Ketujuh Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Telah genap 7 hari Daurah Tafsir berlangsung di Pondok Darul Uloom, Jertih. Hujan lebat mengiringi kuliah Maulana untuk sesi petang dan malam. Semalam selesai bertalaaqi Surah Dukhan sebanyak 59 ayat, disusuli dengan surah Al Jathiyah hingga ayat terakhir 37 ayat dan sesi malam tadabbur Surah Al Baqarah mulai ayat 21 hingga 29.

Kehadiran jemaah agak berkurang dalam 2-3 hari ini mungkin disebabkan hari kerja dan namun demikian, Daurah ini dapat juga didengari di pautan https://t.me/DaurahTafsir2017 dengan memuat turun applikasi Telegram.

Dalil aqli iaitu bukti yang dapat kita lihat dengan mata fizikal seperti langit dan bumi. Langit yang diciptakan berlapis telah berdiri dengan kukuh sebagai bumbung. Bumi pula disediakan sebagai hamparan. Di antara kedua-duanya disediakan segala tanaman dan tumbuh-tumbuhan untuk digunakan oleh manusia. Tugas manusia adalah beribadat semata-mata kepadaNya. Allah yang Maha Esa yang tiada yang lain patut disembah.

Melihat segala ciptaan ini dengan mata hati pasti membuatkan kita terfikir bahawa ada Penciptanya. Musyrikin Mekah mengakui bahawa semua ini dicipta oleh Allah. Namun, disebabkan kedegilannya, mereka turut mengatakan bahawa Allah mempunyai wakil seperti wali, para anbiya', malaikat dan jin. Perantaraan ini disembah kerana dikatakan memiliki kelebihan yang dikurniakan Allah. Ia dosa syirik yang tidak diampunkan. Mohon kita dijauhkan dari memiliki sifat ini.

Balasan yang pasti untuk golongan syirik adalah neraka. Mereka pemegang geran neraka kerana mereka kekal di dalamnya. Allah menggambarkan keadaan neraka yang terdapat pokok zaqqum iaitu pokok api yang menjadi makanan penghuni neraka. Buah zaqqum yang ditelan akan membakar segala sendiri dan isi perut akan menggelegak. Minuman neraka pula adalah air nanah/busuk yang dipenuhi pelbagai kotoran tidak terbayang oleh akal. Di neraka tiada lagi mati, sedangkan ahli neraka merayu agar mereka di matikan kerana tidak tahan dengan seksaan.Ya Allah lindungilah kami dari api neraka Jahanam yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu.


Thursday, 18 May 2017

Hari Keenam Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Semalam telah selesai bertalaaqi tafsir surah Syura' dan Surah Zukhruf serta ayat 17 hingga 20 Surah Al Baqarah yang termasuk dalam Surah Haa Mim 7. Semakin banyak belajar berkenaan Qalam Allah makin terasa banyak kesilapan yang telah kulakukan tanpa disedari. Amalan yang dilakukan sekadar ikutan dan bukan mengikut syariat yang telah Allah gariskan dengan jelas dalam kitab wahyu iaitu Al Quran.

Agama itu disertakan dengan syariat dan dalil yang jelas. Tiada sebarang keraguan padanya. Namun sifat manusia yang ragu-ragu dengan kitab wahyu memberi peluang kepada musuh utama manusia iaitu syaitan untuk membisikkan kata-katanya. Dunia yang disediakan Allah dengan segala bekalan hidup ini tidak lain sebagai medan ujian. Keputusan ujian hanya 2, syurga atau neraka. Syurga akan diwariskan kepada hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Mengapa Allah guna perkataan "wariskan" kerana syurga hanya untuk hambaNya yang berhak, Iaitu seorang pejuang agama Allah yang ikhlas. Pejuang dengan kata ikhtiar dan kesungguhan memahami, mengamalkan dan menyampaikan ayat-ayat Allah. Ya Allah pilihlah kami semua sebagai pewaris syurga FirdausMu.

Maulana berkata jangan diminta "Sabar" kerana untuk dikurniakan sifat sabar, Allah akan menghantar ujian yang besar kemungkinan tidak mampu menghadapinya kerana sabar itu susah. Sebaliknya mohonlah taufik hidayah dariNya agar istiqamah dalam jalan agamaNya yang lurus. 

Wednesday, 17 May 2017

Rayuan Seorang Anak

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah hari ini telah hari keenam Daurah Tafsir, ini juga bermakna telah 6 hari anakku ditinggalkan mulai jam 8.00 pagi sehingga 9.30 malam. Hanya berjumpa sekejap sewaktu mengambilnya dari PASTI semasa tengahari dan dihantar pula ke Taska Transit. Beberapa hari ini, dia merengek merayuku agar hantar sekolah sekejap sahaja, tidak mahu sehingga malam. Aku memujuk dengan pelbagai cara, alhamdullilah dia terima walaupun aku tahu hatinya tidak rela sepenuhnya. 

Hari ini, pagi tadi menangis lagi di PASTI kerana takut sebab ada kawan pukul. Alhamdullilah ada guru yang memujuk. Mungkin aduannya benar namun aku tidak mahu cepat melatah kerana biasalah budak-budak lelaki. Aku serahkan pada cikgu untuk uruskan. Tengahari tadi, pertama kali menangis bila hendak ditinggalkan di transit. "Adam nak mummy!!!!" sambil memeluk erat seolah-olah tidak mahu lepas. Ya Allah sayunya hati ku, namun kusembunyikan darinya. "Mummy pun rindu sangat dengan adam, sabar yer sayang, cuma sekejap jer lagi". Kupujuk dengan membeli mainan lori sampah di kedai RM2. Dalam kereta ceria lepas dapat mainan namun kolam airmatanya pecah juga di taska.

Besar pengorbananmu anakku. Demi mummy menuntut ilmu Allah ini. Semoga Allah balas segalanya dengan mengurniakan syurga buat kita semua. Inilah salah satu dugaan dan ujian yang telah dikatakan oleh Maulana di hari pertama Daurah. Ya Allah kuatkan hatiku dan berilah keceriaan dan keseronokkan kepada anakku. Hilangkan kesedihannya dan terimalah usaha kami untuk mendekatkan diri padaMu Ya Allah. 


Hari Kelima Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah hari kelima ini (16 Mei 2017), selesai surah Fusshilat dan Surah Syura' Haa Mim yang ketiga). Ia mengenai penjelasan kepada kesamaran/kekeliruan. Agama mesti ada bukti dan dalil yang jelas. Semuanya kena ada cara dan prosedur. Hukuman yang setimpal dengan bukti yang jelas dan kukuh. Agama Islam adalah agama standard. Allah bekalkan dengan segala bukti dan dalil iaitu agama yang bertamaddun. Asasnya kita semua wajib belajar untuk mendalami ilmu wahyu ini.

Semua kitab-kitab wahyu yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul adalah tauhid. Sekiranya ada pemahaman dalam mana-mana kitab wahyu yang mengajar lain dari tauhid maka ianya palsu. Allah Maha Pelindung dan tiada pelindung selain Allah. 

Antara lain berkenaan pertikaian  Musyirikin Mekah terhadap Al Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab. Allah wahyukan Al Quran untuk kesempurnaan. Nabi saw dituduh mengada-adakan cerita dan baginda yang mereka Al Quran itu. Musyrikin Mekah juga mempertikaikan Nabi saw kerana sewajarnya Rasul dilantik di kalangan malaikat atau jin dan bukan manusia biasa yang rendah tarafnya daripada mereka. Tugas rasullulah saw adalah menyampaikan dan memberi peringatan. Hari perhimpunan semula yang pasti akan berlaku, akan ada 2 puak sahaja. Puak yang dimasukkan dalam syurga dan majoriti diseksa dan dihumban ke neraka. Itu sahaja pilihan kita sebagai seorang Muslim. Maka apa persediaan kita? Semoga Allah dengan rahmatnya memilih kita untuk menghuni syurganya.

Allah menjawab di dalam surah ini bahawa Al Quran ini merupakan mukjizat sepanjang zaman dan bahasa Arab Al Quran adalah istimewa berbanding bahasa Arab perbualan kerana ia kalam Allah. Allah jadikan Al Quran ini boleh dibaca hatta oleh si buta huruf. 

Tuesday, 16 May 2017

Selamat Hari Guru 2017

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hari ini Hari Guru. Siapapun kita pada hari ini semuanya jasa seorang guru bermula dengan ibubapa kita, guru-guru taska, tadika, sekolah rendah sehinggalah ke peringkat tertinggi. Terlalu banyak jasa seorang guru, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Jazakallah hukhairan kathira. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga pendidik.

Alhamdullilah di hari ke lima Daurah Tafsir ini diizinkan Allah untuk memberikan sedikit "token" untuk guru-guru anakku di Tadika PASTI Nurul Wahidah, Kg Tok Motong, Jertih dan Taska Transit 24 jam Mami Armi. Walaupun dihimpit kekangan waktu antara rehat selepas sesi pagi dengan waktu Asar untuk slot kedua, dan menguruskan anak. Alhamdullilah diizinkan juga merealisasikan hasrat anak menghargai guru-gurunya. Tanpa restu dan doa seorang guru, hilanglah keberkatan ilmu.

Buku Belajar Sendiri Kaedah Faham Arab Al Quran menjadi rezeki guru-guru di PASTI dan kek coklat vanila rezeki pilihan anakku menjadi rezeki guru-guru Taska Transit. Kedua-duanya tiada nilainya berbanding ilmu dan titik peluh yang dicurahkan. 

Itu yang selalu ku terangkan pada anakku. Jangan lupa ucap terima kasih setiap hari kepada guru. Tidak perlu tunggu hari guru sahaja. Alhamdullilah nampaknya dia faham walaupun masih kecil.

Didoakan semua guru-guru anakku diampunkan dosa, diangkatkan darjat disisiNya dan dimasukkan ke JannahNya tanpa hisab.