Syahid Bintang Syurga
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
12 Ramadhan yang lalu, seorang anak kecil seusia anakku, hanya berbeza 2 hari lebih muda. Telah djemput Allah menjadi penghuni syurgaNya. Sungguh kuat anak kecil ini melawan dugaan Allah. Kanser limfoma. Kemoterapi kali keempat. Kau sungguh istimewa wahai anak. Lebih istimewa lagi ibu dan ayahmu yang sungguh gigih dan tabah. Malah ibumu masih mampu tersenyum di kala mendukung jenazahmu. Sememangnya Allah tidak pernah membebani hambaNya melebihi kemampuan. Ayah dan Ibumu memang hebat hingga layak diberi ujian sekuat ini. Mereka ternyata redha dengan pemergiaanmu di bulan mulia ini.
Mereka telah mendidikmu sebaik mungkin. Dikala kau sedang menahan kesakitan, ayahmu istiqamah membaca ayat-ayat Quran bersamamu. Engkau telah hafaz beberapa surah. Istimewa sungguh engkau di sisiNya. Makcik termalu sendiri. Dikurniakan rezeki sihat namun gagal menghafaz ayat-ayat Allah. Ya Allah ampuni aku.
Sesuai dengan namamu, engkau "syahid" menempuh ujian Allah yang sementara untuk berada kekal di syurgaNya. Makcik cemburu denganmu nak. Cemburu dengan ibubapa mu. Makcik tahu makcik tidak layak berada seinci pun ditempat ibubapamu. Kerana luka di jari yang sedikit makcik sudah mengeluh. Masya Allah, pemergian mu mengajar makcik erti ketabahan sebenar.
Bermain dan berlarilah engkau di syurga wahai Syahid. Kehidupan abadi yang tiada lagi kesakitan dan penderitaan. Ya Allah bagaimana dengan persiapanku menghadap Mu Ya Allah. Aku yang sering mengelak untuk memikirkan tentang MATI YANG PASTI namun cuba menipu diri sendiri dengan fikirkan tentang HARI ESOK yang tidak pasti.
Bak kata Ustaz Pahrol, mengingati mati menghidupkan hati. Nampaknya hatiku mati tanpa kusedari. Astagfirullah hala'zim. Ya Allah pimpinlah kami menuju ke syurgaMu, janganlah Engkau biarkan kami bergantung kepada diri kami sendiri walaupun sesaat. Al Fatihah buat Syahid
Comments
Post a Comment