Pakej "Boat Tour" dan Makan Tengahari di Lamin Dana
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Seterusnya sebagaimana yang dijanjikan kami menuju ke Lamin Dana yang terletak kira-kira 5 km daripada hotel bagi mengikuti pakej "Boat Tour" dan makan tengahari masakan tradisional Melanau. Lamin bermaksud rumah manakala Dana bermaksud tradisional atau lama, Lamin Dana merupakan rumah tradisional masyarakat Melanau namun binaan sedikit rendah berbanding rumah asalnya. Ia merupakan "homestay" / rumah inap Melanau yang dibangunkan oleh seorang wanita gigih bernama Puan Rose, beliau merupakan generasi ke 9 dalam keturunannya. Beliau membangunkan rumah itu sebagai satu usaha mengekalkan segala tinggalan masyarakat Melanau disamping memperkenalkannya kepada pelancong terutama pelancong luar negara yang amat meminati kebudayaan dan keunikan masyarakat Sarawak yang berbilang bangsa. Bagiku, rakyat Malaysia sewajarnya lebih menghargai khazanah negara kita berbanding berbangga dengan pencapaian negara luar yang kurang nilai ketamadunannya. Disebabkan itu, kami memang berniat untuk menjelajah seluruh Sarawak sementara kami direzekikan untuk berada di Bumi Kenyalang ini. Ia merupakan peluang untuk bermusafir di Bumi Kenyalang tanpa kos menaiki belon namun sebaliknya menggunakan MyVi hitamku yang telah menjelajah keseluruhan bumi Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Walaupun tiada kereta mewah namun yang pasti direzekikan bermusafir ke seluruh negara. Ia juga sudah terlalu mewah bagiku kerana kereta tetap sebuah kereta tanpa mengira jenama, asalkan ia berfungsi membawaku tanpa sebarang masalah dari satu tempat ke satu tempat.
Berbalik kepada "boat tour", kami menaiki bot kecil yang hanya cukup-cukup memuatkan kami 4 orang. Perjalanan diteruskan dengan menyusur sungai Telian, cuaca panas tidak terasa kerana redupnya laluan sungai dengan pohon-pohon rendang terutamanya pokok nipah. Pemandangan kami disajikan dengan kehidupan masyarakat setempat yang menikmati waktu-waktu senggang makan beramai-ramai secara santai di pangkin belakang rumah menghadap sungai. Anakku yang ramah tidak putus-putus menyapa setiap orang dijumpai. Keramahan masyarakat kampung terserlah apabila turut melambai setiap kali kami melalui di belakang rumah mereka. Pemandangan yang tidak lagi berlaku di kota-kota besar metropolitan di mana kadang kala jiran sendiri pun tidak dikenali. Aku bersyukur di tempatkan di Sarawak dan anakku berpeluang membesar di sini. Sekurang-kurangnya dia tidak kekok berada dalam suasana kampung. Malahan dia amat teruja dengan pelbagai soalan keluar dari mulut mungilnya. Ini juga merupakan satu pelajaran untuknya, kerana setiap inci bumi Allah ini adalah satu pengajaran untuk mereka yang ingin berfikir.
Kami turut berpeluang singgah di salah sebuah "belanga" iaitu tempat membuat sagu, iaitu salah satu kegiatan utama penduduk di sini. Menurut Puan Rose, kebiasaanya tiada yang bekerja membuat sagu pada hari Ahad namun nampaknya ia rezeki kami. Seorang wanita sedang giat mengeringkan sagunya. Menurutnya beliau mula bekerja jam 3.30 pagi, waktu ramai antara kita sedang lena diulit mimpi. Tugas menyiapkan sagu mengambil masa lebih kurang 8 jam dan ia dilakukan secara sendiri. Anakku amat seronok apabila diberi peluang untuk mengayak sagu. Kagum melihat kegigihan wanita ini menyiapkan sagu tersebut dan apabila mengenangkan harga jualannya di pasar hanya RM5 sebungkus, aku rasa sungguh tidak berbaloi dengan usaha yang dilakukannya. Kita sering tawar menawar apabila membeli produk hasil keluaran warga kampung ini sedangkan kita tidak merasai perit jerih mereka mengusahakannya. Namun kita tidak berkira apabila ingin membeli segelas kopi berjenama yang berharga RM15 segelas, Ya Allah ampunkan kami dan Kau lipat gandakan lah pendapatan para penduduk kampung khasnya yang bertungkus lumus meneruskan kehidupan.
Kehidupan di sini amat sederhana, dan jauh dari kekalutan yang sering melanda hidup di bandar. Sepanjang laluan "boat tour", ramai yang memancing termasuk seorang wanita yang memancing dari atas jambatan dengan 4 batang pancing. Kecekapan pemandu bot kami turut teruji apabila enjin bot tersangkut pada mata kail salah seorang pemancing. Beliau dengan cekapnya berjaya merungkaikan mata kail yang tersangkut di enjin bot sebelum kami meneruskan perjalanan. Suasana sepanjang sungai yang redup dengan pohon-pohon rendang menyebabkan kami leka sehingga tidak sedar sudah waktu untuk makan tengahari.
Di Lamin Dana telah tersedia hidangan tengahari menu tradisional Melanau iaitu terung belacan, umai ikan pirang, "fish cake homemade", labu masak lemak campur sayur manis, udang atau payak rebus dan yang paling istimewa linut yang dimakan bersama sambal belacan. Kami meninggalkan Lamin Dana dengan perut yang kenyang dan kenangan manis yang sukar dilupakan.

Comments
Post a Comment