Trip Pantai Timur - Hari Pertama

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Seperti entri sebelum ini, hasil tangkapan di MATTA Fair, pakej pertama adalah penginapan 2 hari 1 malam di Bukit Gambang Resort berjumlah RM238 yang meliputi 1 bilik Studio Suite, sarapan untuk 2 orang dan 2 tiket dewasa untuk "Safari Park" dengan tambahan RM28 untuk 1 tiket kanak-kanak bagi "Safari Park". 

Perjalanan daripada Bangi diiringi dengan hujan lebat bermula jam 10 pagi. Lalulintas di MRR2 masih sesak namun tidak seperti hari-hari biasa kerana musim cuti sekolah namun hujan lebat menyebabkan traffik agak perlahan. Perjalanan menjadi semakin lancar di LPT dan anakku yang pertama kali menjejakkan kaki ke Pantai Timur amat teruja sehingga asyik bertanya "Kita dah sampai ke mummy" setiap 10 minit sehingga akhirnya dia tertidur setelah berhenti mengisi minyak di RnR Bentong. Sepanjang perjalanan, seperti biasa aku akan memasang "USB Player" yang mengandungi ayat-ayat lazim dan nyanyian doa serta nasyid untuk halwa telinga kami sekeluarga. Disebabkan telah menjadi kelaziman, maka kebanyakan doa-doa serta nasyid dan zikir-zikir tersebut telah menjadi siulan anakku yang berusia 3 tahun 4 bulan. Semoga ia kekal dalam ingatannya dan terus menjadi amalannya. Ya Allah lindungilah anakku dan tetapkanlah hatinya dan akidahnya.

Kami juga selalu menggunakan masa bermusafir untuk membolehkan zuriat kami belajar tentang ilmu pemusafiran dengan perancangan masa terutamanya berkenaan menepati masa solat. Perjalanan sejauh 240 km tersebut memakan masa hampir 5 jam kerana hujan lebat. Sesampai di Plaza Tol Gambang, azan zohor bergema dan kami terus berhenti untuk menunaikan panggilanNya. Kami berusaha untuk memastikan kami tidak melewat-lewatkan solat dengan sentiasa berniat untuk solat di awal waktu, In sha Allah dengan izinNya, Setelah selesai solat kami meneruskan perjalanan dan berhenti untuk makan tengahari di sebuah warung bersebelahan Pejabat Pos Gambang, harganya murah RM12 (untuk 3 orang) nasi campur.

Sebaik tiba di Bukit Gambang Resort kami terus mendaftar masuk namun tidak masuk ke bilik sebaliknya terus ke "Safari Park" memandangkan jam telah pukul 3.00 petang. Aktiviti di "Safari Park" sememangnya penuh dan menarik. Antaranya "Animal Feeding" untuk arnab dan kambing, bermain dengan anak Singa Putih yang berusia 3 bulan, pertunjukkan burung, Persembahan tarian api dan pertunjukan "Tarzan". Kemudahan surau yang disediakan di "Safari Park" juga memudahkan untuk menunaikan tanggungjawab padaNya tanpa perlu balik ke bilik hotel. Alhamdullilah diizinkan juga menunaikan solat secara berjemaah. Aktiviti di "Safari Park" selesai jam 8.45 malam dan terus menaiki trem ke blok penginapan. 

Turun dari trem terus ke "Coffee House" untuk mengisi perut. Selesai makan baru perasan yang kami tersalah blok, sepatutnya kami turun di Blok Carribean sebaliknya kami telah turun di Blok Arabian, penangan terlalu teruja di tambah dengan perut yang lapar. Dengan itu selepas makan terpaksalah menapak ke blok kami, alhamdullilah anggaplah ia sebagai satu senaman selepas makan lewat malam. Alhamdullilah diizinkan juga mengemaskini blog agar ia menjadi satu tabiat meluangkan sedikit masa setiap hari seperti saranan puan guru (Pn Masayu Ahmad).



Comments

Topik popular