Trip Pantai Timur - Hari Kedua
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Alhamdullilah, hari ini diberi kesempatan ini mengemaskini entri berkenaan hari kedua (21 Mac) trip ke Pantai Timur. Sebenarnya, tujuan utama trip Pantai Timur ini adalah untuk meninjau tempat yang in sha Allah bakal kami singgah untuk tempoh 42 hari bagi mengikuti Daurah Tafsir Al Quran 30 Juzuk Bersanad oleh Maulana Hadi di Madrasah Darul Uloom, Jertih, Terengganu. Program ini adalah PERCUMA dan peserta luar hanya perlu membayar yuran penginapan dalam lingkungan RM180 - RM200 setiap orang bagi penginapan berkongsi antara 8 hingga 10 orang.
Ini merupakan pengalaman pertama menggunakan LPT2 dan sampai ke Jertih, sebelum ini kami pernah menjejakkan kaki ke Kemaman, Cherating dan Kuala Terengganu. Perjalanan ke Jertih melalui LPT2 dari Bukit Gambang Resort City (BGRC) mengambil masa selama hampir 5 jam sejauh 400 km lebih. Cuaca sepanjang perjalanan adalah cerah dan lalulintas juga amat lancar memandangkan jumlah kenderaan yang kurang menggunakan LPT2.
Pada pagi itu, semasa bersarapan di BGRC, suami baru perasan ada 4 SMS yang memohon OTP Pincode untuk transaksi menggunakan Kad Kredit Citibank pada jam 4 pagi. Kami terus menghubungi pihak bank bagi memaklumkan berkenaan perkara berkenaan memandangkan transaksi terakhir adalah semasa di MATTA Fair pada 19 Mac semasa membeli pakej BGRC. Alhamdullilah transaksi berkenaan telah dibatalkan dan kad kredit telah berjaya dibatalkan dan akan digantikan dengan kad baru. Ekoran insiden tersebut, peramcangan intuk menuju ke Jertih pada jam 9 pagi tertunda hingga jam 10.30 pagi selepas selesai membuat laporan dengan Polis Bantuan BGCR kerana kami mengesyaki maklumat kad kredit berkenaan di ambil semasa kami membuat tempahan di MATTA Fair memandangkan staff BGRC mengambil masa hanpir 30 minit untuk memproses tempahan kami dengan alasan "system down". Laporan dibuat agar perkara berkenaan dapat memaklumkan pihak pengurusan BGRC agar lebih berhati-hati dengan prosedur mengendalikan kad kredit para pelanggan bagi mengelakkan sebarang penipuan.
Berbalik kepada perjalanan ke Jertih, kami berpeluang bersolat jamak di RnR Keropok Losong kepada dan menikmati hidangan keropok lekor yang pertama bagi trip pantai timur kali ini. Penginapan di Jertih adalah di One Utama Hotel di tengah-tengah Bandar Jertih. Biliknya selesa dengan harga mampu milik iaitu RM80 bagi bilik "Standard" dengan Katil Berkembar, kelengkapan dalam bilik juga telah dinaiktaraf walaupun ia merupakan bangunan hotel yang telah agak lama.
Setelah selesai berjumpa dengan Ustaz Ahmad Nordin dan keluarga beliau untuk meninjau tempat pengajian dan Homestay yang bakal dihuni di Taman Qalesya, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu sejauh 50 km. Walaupun jarak agak dekat namun perjalanan mengambil masa 1 jam lebih kerana trafik yang agak sesak. Kami singgah makan malam di Pasir Puteh dengan hidangan ala Thai yang berbaloi dengan pakej RM27, kami dapat menikmati Sup Keting, Ayam Kunyit, Kailan Ikan Masin, Kerabu Sotong dan Telur Dadar manakala air buah pula hanya bernilai RM2.50. Di Kota Bharu, kami sempat ke Pasar Malam Siti Khadijah dan membeli beberapa helai pakaian anak.
Alhamdullilah dalam masa 1 hari kami dapat berada di dua negeri iaitu Utara Terengganu dan Kota Baru, Kelantan. Perjalanan tersebut melengkapkan perjalanan seluruh Malaysia menggunakan kenderaan darat bagi zuriat kami yang baru berusia 3 tahun 4 bulan. Sememangnya kami bersyukur dikurniakan zuriat yang tahan lasak dengan perjalanan jauh menggunakan kenderaan darat termasuk di Sabah dan Sarawak. Kami berharap agar permusafiran ini dapat memberikan pengalaman berharga untuk zuriat kami dalam mensyukuri nikmat Allah dan meraikan kepelbagaian etnik dan budaya.
Comments
Post a Comment