Mendekati Masjid

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Rezeki bukan setakat duit atau material, jika diukur rezeki setakat duit maka kami sedang diuji dengan ditarik sedikit nikmat duit terutamanya setelah aku bersara pilihan. Bermula dengan kontrak suami tidak bersambung dan selepas disambung kontrak pula mengalami pemotongan gaji sebanyak 20% ditambah pula dengan pemotongan tunggakan LHDN daripada tahun 2008 dan terkini suami tidak lagi dibenarkan ke "offshore" maka tiada lagi elaun "offshore". Namun kami redha dan menganggap bahawa ia salah satu cara Allah menyucikan yang haram sebagaimana yang sering kami doakan dalam sunat dhuha. Namun Allah itu Maha Pemurah, tiada apa yang diambil tanpa diganti dengan lebih baik, kami dikurniakan rezeki dari segi kesihatan, alhamdullilah kami sihat tanpa sebarang sakit serius kecuali batuk dan selsema. Selain itu kami juga dikurniakan rezeki waktu bersama bertiga yang lebih lama kerana suamiku kini bertugas di pejabat sahaja dan lebih masa untuk beliau melakukan tugasan kelas Sarjananya. Anakku dapat bermesra dengan daddy lebih lama dan doaku agar anakku dekat dengan masjid termakbul kerana apabila daddynya ada di rumah, aku akan menyuruh anakku mengikut daddynya ke masjid untuk solat jemaah terutamanya solat subuh, maghrib dan isyak.

Bagiku, kebiasaan untuk bersolat di masjid perlu dimulakan seawal usia agar hatinya lekat dengan masjid. Memang beberapa kali anakku cuba memujuk untuk tidak ke masjid kerana ingin bermain di rumah namun aku katakan bahawa solat di masjid lebih banyak pahala iaitu 27 kali ganda dan malaikat sedang tulis di bahu kanan semua pahalanya. Aku telah memperkenalkan konsep Malaikat Raqib dan Atib padanya agar dia sentiasa tahu bahawa dia sentiasa diperhatikan oleh CCTV Allah. Kalau mummy tak nampak tapi Allah nampak adalah kata-kata yang sering aku pasakkan dalam mindanya. Aku berdoa agar anakku melakukannya kerana Allah dan bukan kerana Mummy suruh. Dilemma seorang isteri pelayar apabila mempunyai anak lelaki adalah kesukaran semasa mahu menyuruh anak lelaki solat semasa kita sedang uzur kerana soalan wajib adalah kenapa mummy tak solat dan mengaji. Sebelum ini sewaktu anakku baru berumur 2 tahun, aku sering berpura-pura solat dengan memakai telekung sewaktu mengajakknya solat setiap kali selepas azan. Namun kini aku telah terangkan bahawa mummy uzur dan tidak boleh solat untuk sementara waktu, pada awalnya dia cakap dia pun uzur jugak, setelah beberapa kali diterangkan bahawa uzur hanya untuk perempuan nampaknya dia telah menerimanya. Alhamdullilah semoga Allah menerima usaha kami yang sedikit ini untuk menjadikan anak kami dekat dengan masjid. Hidayah itu milik mutlakMu Ya Allah, pilihlah kami untuk menerima taufik hidayahMu. Jadikanlah anak kami sebagai hamba dan khalifahMu yang berjaya di dunia dan di akhirat, sesungguhnya hanya dialah harta kami yang tiada ternilai harganya. Perbaikilah setiap urusan berkaitan zuriat keturunan kami.



Comments

Topik popular