Masa Berkualiti Bersama Anak

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Masa adalah rezeki yang Allah kurniakan samarata kepada semua makhluknya iaitu 24 jam sehari namun mengapa ada sesetengah manusia yang diizinkan melakukan pelbagai perkara dalam satu-satu masa atau dalam masa yang singkat manakala tidak bagi yang lain. Ia dinamakan keberkatan waktu. Ya Allah kurniakanlah kami keberkatan waktu dan keberkatan ilmu seperti Imam Syafie yang umurnya singkat namun legasinya kekal sehingga kini.

Begitu juga dengan anak, sebagai isteri kepada pelaut, masa adalah amat terhad untuk bersama suami. Kini dengan hadirnya zuriat yang telah lama dinantikan maka anakku juga terpaksa berkorban rasa rindu kepada daddynya seawal usia 22 hari. Sewaktu pertama kali daddynya keluar bekerja, anakku demam kerana rindu dan trip seterusnya aku akan memastikan baju terakhir yang dipakai suami sebelum bekerja di simpan berhampiran tempat tidur anakku sebagai petua orang tua untuk mengubat rindu. Ini salah satu sebab yang menguatkan lagi keinginanku untuk berhenti kerja kerana tidak mahu anakku yang masih kecil ditinggalkan pula oleh mummy yang sibuk dengan tugasannya.

Sesungguhnya anak-anak hanya perlukan masa dan perhatian daripada kita kerana mereka kecil hanya sekali. Anak-anak yang setiap masa merengek memanggil nama kita itu akan membesar satu hari nanti dan kita mungkin akan dipinggirkan jika kita juga meminggirkan mereka di usia kecil ini. Tiada mainan mahal yang dapat membeli masa berkualiti dengan anak-anak.

Gunakanlah waktu bersama walaupun sekejap cuma untuk memberikan makanan jiwa untuk anak-anak. Ambillah peluang untuk mengajarnya membawa Al Fatihah kerana ia merupakan satu surah yang wajib di baca sepanjang hayatnya. 


Comments

Topik popular