Sanah Helwah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Tepat jam 6.04 pagi ini "ringing tone" Alhamdullilah yang dikhaskan untuk emak dan abah bergema di bilik hotelku di Best View Hotel Bangi, panggilan daripada emak yang kucintai untuk mengucapkan "Selamat Harijadi" untuk anaknya yang kini telah berusia 41 tahun. Begitulah kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah berkurang walaupun umur anaknya telah memasuki fasa 4 series. Mak cakap tiada hadiah cuma doa dari emak yang mengiringi harijadiku. Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibubapaku, kasihani dan sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangi dan memeliharaku sejak kecil dan masukkanlah mereka ke dalam JannahMu tanpa hisab. Tiada hadiah yang lebih istimewa daripada doa seorang ibubapa yang merupakan wali-wali dari syurga.

Umur 40 telah disebutkan dalam Al-Quran yang membayangkan bahawa Allah telah memberi amaran agar hambaNya yang diizinkan untuk mencecah usia tersebut agar meningkatkan amalan kepadaNya. Ya Allah bagaimana dengan amalanku yang sememangnya sedikit dan hambaMu yang serba lemah ini tiada apa-apa tanpa lindungan rahmat dan kasih sayangMu. 

Di usia ini memang tiada hadiah yang diharapkan dan setiap tahun sememangnya aku sentiasa berniat untuk memberi semasa harijadiku terutamanya kepada ibubapaku dan tahun ini merupakan tahun pertama aku hidup tanpa pendapatan tetap sejak tahun 1997. Pendapatan sebagai usahawanita yang baru setahun jagung sememangnya hanya "breakeven" setakat ini agak menggusarkanku, namun pengaduanku kepadaNya yang Maha Kaya memungkinkan kelaziman ku diteruskan walaupun emak dan abah tidak pernah meminta. Malah Allah itu sememangnya Maha Mendengar kerana aku juga diizinkan untuk memberi hadiah a.k.a bersedekah kepada orang asing setelah mendapat tiket "Safari Park" Bukit Gambang Resort percuma sempena harijadiku pada hari ini. Sedekah yang terbaik adalah kepada orang yang kita pasti bahawa dia tidak akan dapat membalasnya sebagai salah satu cara memupuk ikhlas dalam diriku. Selain itu, aku berniat memberi hadiah kerana mengikuti amalan sunnah Nabi S,A.W yang gemar memberi hadiah.

Selain itu, ucapan "selamat harrijadi" dari rakan-rakan sekolah serta seuniversiti yang hanya berhubung sekali-sekala kerana kami sememangnya kurang menggunakan media sosial. Padaku sahabat sejati tidak perlu bermesej dan ber"whatsapp" sepanjang masa namun ingatan dan doa sentiasa tidak lekang di hati. Doa kepada sahabat tanpa beliau mengetahuinya pasti akan dimakbulkan Allah. Ya Allah temukan kami di syurgaMu Ya Allah walaupun kami amat jarang bertemu di dunia nyata mahupun di dunia maya.
Sedekah tiket percuma pada orang asing

Comments

Topik popular