Mendamba Gelaran Mummy

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Musim cuti sekolah baru sahaja selesai,  sinonim dengannya adalah kenduri kahwin di mana-mana walaupun kini telah ada yang mengadakan kenduri kahwin di luar cuti sekolah. Semua manusia normal pasti mendambakan perkahwinan, ia merupakan fasa selepas fasa remaja. Soalan "Bila nak kahwin?" mula menjadi soalan popular apabila seseorang wanita mencapai umur 25 tahun dan 30 tahun bagi lelaki. Rasanya soalan begini tidak sepopular zaman 90an dulu kerana budaya "bercouple" sekarang seolah-olah telah menjadi wajib dan bukan lagi sesuatu yang pelik. Sesungguhnya ia sesuatu yang perlu diperbetulkan kerana bak kata Datuk Prof Dr Muhaya, jika kita "bercouple" tanpa bertujuan untuk mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat maka JANGAN BERCOUPLE kerana ia jalan-jalan mendekati zina.

Alhamdullilah aku ditakdirkan untuk bertemu jodoh di usia 25 tahun dengan seorang lelaki yang terlalu istimewa, kami tidak pernah bercinta dan secara jujurnya kami tidak pernah bersua muka. Hanya panggilan telefon jarak jauh (Amerika - Malaysia) yang menghubungkan kami. Perkenalan bermula secara suka-suka melalui seorang junior sewaktu zaman ITM Segamat yang kini telah bergelar adik iparku di mana kami sebagai senior sering mengusik junior yang mempunyai abang. Hendak dijadikan cerita kami berempat rakan sebilik yang menggelarkan diri kami Along, Angah (aku), Achik dan Adik bergurau untuk bercakap dengan abang junior kami yang menurutnya berada di Amerika kerana berlayar. Bila dikenangkan saat kami berempat bergayut di telefon awam di bawah asrama semata-mata untuk bercakap dengan jejaka yang hanya dikenali melalui suara memang sesuatu yang melucukan. Itulah dunia remaja kami, terlalu manis untuk dikenang. Mungkin sudah jodoh, perkenalan yang bermula di alam maya tanpa internet berakhir ke jinjang pelamin. Sewaktu aku memaklumkan bahawa aku bakal berkahwin, majoriti rakanku terkejut kerana aku tergolong dalam golongan "underdog" tidak pernah "bercouple" maklumlah muka tiada unsur komersil. Namun aku yakin bahawa jodoh pertemuan telah tertulis di Luh Mahfuz.

Setiap kesenangan pasti ada kesusahan dan begitulah sebaliknya sebagaimana dijanjikan Allah, dugaan dan ujian menimpa kami berdua saat kami berdua mengikat tali pertunangan. Pelbagai rintangan kami hadapi, sehingga ke hari kami bakal dinikahkan. Namun sekiranya telah tertulis bahawa jodoh kami berdua maka pernikahan tetap dijalankan sebagaimana dirancang. Kisahnya terlalu peribadi untuk dikongsikan namun aku bersyukur dengan segala ketentuanNya. Ujian dan dugaan yang kami rasa telah berakhir selepas dinikahkan rupanya tidak berakhir di situ. Sekali lagi kami diuji dengan ketiadaan zuriat selama hampir 12 tahun. Pelbagai usaha dan ikhtiar telah kami lakukan samada secara tradisional mahupun moden. Setiap kali kami mendengar berkenaan sesuatu rawatan maka kami akan pergi walaupun jaraknya yang jauh terpencil. Aku pernah disuruh memakan 1 kilo bawang besar mentah sehingga mulutku terasa kebas kerana kepedasannya, alasannya adalah untuk mencuci rahim. Aku redha asalkan ia halal di sisiNya. Memang ramai yang mengatakan aku gila dan bodoh namun demi zuriat untuk suamiku, aku pasrah. Melihat saudara-mara dan rakan-rakan yang kebanyakkan bunting pelamin sememangnya menambahkan lagi bebanan jiwa namun aku kuatkan hati dan pekakkan telinga dengan soalan-soalan "cliche", Bila nak beranak ni? Umur dan lanjut, tak payahlah nak merancang......antara dialog-dialog yang memang telah ku agak akan ditanya terutamanya setiap kali hari raya atau kenduri kahwin. 

Perubatan moden yang memerlukan pemeriksaan darah setiap kali ujian menyebabkan seluruh tanganku lebam-lebam kerana uratku jenis yang halus sehingga menyukarkan untuk mengambil darah kecuali bagi mereka yang pakar. Kami telah mencuba di Hospital Putrajaya, LPPKN, klinik Swasta bersama Hamid Arshat dan juga di Hospital Ipoh. Semua ujian menunjukkan kami normal dan tergolong dalam kumpulan 10% "undetermined causes". Pengambilan hormon menyebabkan berat badanku naik mendadak walaupun tidak makan dengan banyak kerana itulah salah satu kesan sampingan pengambilan hormon kesuburan. Perubatan alternatif pula memaklumkan bahawa kami ada "gangguan" namun kami berfikiran positif dan tidak mahu bersangka buruk. Aku memang pernah beberapa kali menyuarakan kepada suamiku untuk berkahwin lagi kerana aku rasa bersalah tidak mampu merealisasikan impiannya bergelar daddy. Namun suamiku sering mengelakkan dan mengatakan dengan yakin bahawa satu hari nanti kami pasti dapat menimang zuriat darah daging kami sendiri. Cadanganku untuk mengambil anak angkat juga tidak dipersetujuinya kerana beliau bimbang tidak mampu memberi kasih sayang yang sama rata sekiranya kami dikurniakan zuriat sendiri kelak.

Perjuangan menjadi mummy tidak dirasai oleh semua orang, terutamanya mereka yang dianugerahkan kelebihan bunting pelamin dan yang bersalin setiap tahun. Bersyukurlah dengan nikmat yang telah dikurniakan olehNya dan janganlah memandang hina kami yang sedang berjuang. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa peritnya perjuangan itu namun aku bersyukur kerana aku hanya diuji selama 12 tahun sedangkan masih ada yang telah berpuluh tahun masih berdua. Masihkah kita ingat kisah Nabi Zakaria yang diuji untuk mendapat zuriat sedangkan beliau telah tua serta uzur manakala isterinya pula mandul, namun jika Allah berkata "Kun Fayakun' maka jadilah. Aku sememangnya kagum dengan pasangan yang telah berpuluh tahun diuji dengan ketiadaan zuriat namun mereka masih kekal bersama dan itulah nikmat sebenarnya. Kami yang diuji dengan TTC ini juga mempunyai "Secret Group" untuk saling memberi sokongan kepada rakan-rakan senasib kerana hanya yang melaluinya sahaja memahami keperitan dan kepahitan yang dialami.



Comments

Topik popular