Wednesday, 29 March 2017

Entri Blog Tertunggak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Aku bermula sebagai blogger secara berguru bermula 12 Mac 2017 yang lepas melalui kelas secara offline dan online serentak dengan Sifu-sifu hebat Puan Zaila Mohamed dan Puan Masayu Ahmad. Tugasan kelas offline telah diselesaikan termasuk ulasan kelas namun aku masih mempunyai 10 entri tertunggak bagi kelas online yang bakal berakhir tempohnya pada 31 Mac 2017 ini memandangkan aku diwajibkan menyiapkan 44 entri dalam tempoh 20 hari. Kaedah ini adalah untuk membiasakan penulis blog seperti aku untuk sentiasa mengemaskini blog bagi mengelakkan blog bersawang.

Sememangnya niat asalku untuk berblogging untuk menambah pendapatan secara online namun aku membuat keputusan untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang tidak seberapa sebagai ladang pahala kerana ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang diamalkan dan ilmu yang disampaikan. Sememangnya dunia blogging ini masih baru padaku namun untuk memupuk minat memerlukan komitmen yang tinggi. Aku mengaku bahawa aku memang agak terkebelakang berbanding rakan-rakan lain namun aku sering mengatakan bahawa aku bukan bersaing dengan orang lain namun dengan diriku sendiri kerana musuh sebenar adalah diri kita sendiri. 

Memberi berbagai alasan untuk tidak menyiapkan entri memang amat mudah termasuklah kerana sibuk kononnya sedangkan sifu ku dengan anak 6 juga mampu mengemaskini bukan 1 blog tetapi 8 blog. Sungguh aku kagum dengan komitmen ibu-ibu dalam kumpulan ABDR, anda memang wanita-wanita hebat. Tangan yang menghayun buaian memang mampu menggoncang dunia. Berilah aku sedikit kemampuan mereka Ya Allah, terlalu banyak vitamin M dalam diriku yang wajib dibunuh serta-merta. Setakat ini sememangnya aku masih menyusur dan diharap aku segera merangkak dan seterusnya berjalan sebelum berlari seiring dengan blogger-blogger otai yang telah lama mewarnai dunia blogging.

Mungkin pengalaman dan pengetahuan yang aku kongsikan tidak mampu merubah kehidupan sesiapa namun diharap dapat membantu walau sekelumit dari segi pengalaman sebagai isteri pelaut, seorang hamba yang pernah diuji untuk mendapat gelaran sebagai mummy serta seorang yang diberi rezeki untuk bermusafir dan menuntut ilmu Allah yang terlalu banyak. It's better late than never. Bak kata Sifuku Puan Zaila a.k.a Mekla, blogging ini bukan untuk mendapat pulangan segera namun dengan izin Allah ia pasti menjadi salah satu platform menambah pendapatan dalam jangka masa panjang, in sha Allah kerana pengikut blog kita bakal menjadi pelanggan jangka panjang a.k.a potential and long term customer.

Mendekati Masjid

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Rezeki bukan setakat duit atau material, jika diukur rezeki setakat duit maka kami sedang diuji dengan ditarik sedikit nikmat duit terutamanya setelah aku bersara pilihan. Bermula dengan kontrak suami tidak bersambung dan selepas disambung kontrak pula mengalami pemotongan gaji sebanyak 20% ditambah pula dengan pemotongan tunggakan LHDN daripada tahun 2008 dan terkini suami tidak lagi dibenarkan ke "offshore" maka tiada lagi elaun "offshore". Namun kami redha dan menganggap bahawa ia salah satu cara Allah menyucikan yang haram sebagaimana yang sering kami doakan dalam sunat dhuha. Namun Allah itu Maha Pemurah, tiada apa yang diambil tanpa diganti dengan lebih baik, kami dikurniakan rezeki dari segi kesihatan, alhamdullilah kami sihat tanpa sebarang sakit serius kecuali batuk dan selsema. Selain itu kami juga dikurniakan rezeki waktu bersama bertiga yang lebih lama kerana suamiku kini bertugas di pejabat sahaja dan lebih masa untuk beliau melakukan tugasan kelas Sarjananya. Anakku dapat bermesra dengan daddy lebih lama dan doaku agar anakku dekat dengan masjid termakbul kerana apabila daddynya ada di rumah, aku akan menyuruh anakku mengikut daddynya ke masjid untuk solat jemaah terutamanya solat subuh, maghrib dan isyak.

Bagiku, kebiasaan untuk bersolat di masjid perlu dimulakan seawal usia agar hatinya lekat dengan masjid. Memang beberapa kali anakku cuba memujuk untuk tidak ke masjid kerana ingin bermain di rumah namun aku katakan bahawa solat di masjid lebih banyak pahala iaitu 27 kali ganda dan malaikat sedang tulis di bahu kanan semua pahalanya. Aku telah memperkenalkan konsep Malaikat Raqib dan Atib padanya agar dia sentiasa tahu bahawa dia sentiasa diperhatikan oleh CCTV Allah. Kalau mummy tak nampak tapi Allah nampak adalah kata-kata yang sering aku pasakkan dalam mindanya. Aku berdoa agar anakku melakukannya kerana Allah dan bukan kerana Mummy suruh. Dilemma seorang isteri pelayar apabila mempunyai anak lelaki adalah kesukaran semasa mahu menyuruh anak lelaki solat semasa kita sedang uzur kerana soalan wajib adalah kenapa mummy tak solat dan mengaji. Sebelum ini sewaktu anakku baru berumur 2 tahun, aku sering berpura-pura solat dengan memakai telekung sewaktu mengajakknya solat setiap kali selepas azan. Namun kini aku telah terangkan bahawa mummy uzur dan tidak boleh solat untuk sementara waktu, pada awalnya dia cakap dia pun uzur jugak, setelah beberapa kali diterangkan bahawa uzur hanya untuk perempuan nampaknya dia telah menerimanya. Alhamdullilah semoga Allah menerima usaha kami yang sedikit ini untuk menjadikan anak kami dekat dengan masjid. Hidayah itu milik mutlakMu Ya Allah, pilihlah kami untuk menerima taufik hidayahMu. Jadikanlah anak kami sebagai hamba dan khalifahMu yang berjaya di dunia dan di akhirat, sesungguhnya hanya dialah harta kami yang tiada ternilai harganya. Perbaikilah setiap urusan berkaitan zuriat keturunan kami.



Mendamba Gelaran Mummy

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Musim cuti sekolah baru sahaja selesai,  sinonim dengannya adalah kenduri kahwin di mana-mana walaupun kini telah ada yang mengadakan kenduri kahwin di luar cuti sekolah. Semua manusia normal pasti mendambakan perkahwinan, ia merupakan fasa selepas fasa remaja. Soalan "Bila nak kahwin?" mula menjadi soalan popular apabila seseorang wanita mencapai umur 25 tahun dan 30 tahun bagi lelaki. Rasanya soalan begini tidak sepopular zaman 90an dulu kerana budaya "bercouple" sekarang seolah-olah telah menjadi wajib dan bukan lagi sesuatu yang pelik. Sesungguhnya ia sesuatu yang perlu diperbetulkan kerana bak kata Datuk Prof Dr Muhaya, jika kita "bercouple" tanpa bertujuan untuk mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat maka JANGAN BERCOUPLE kerana ia jalan-jalan mendekati zina.

Alhamdullilah aku ditakdirkan untuk bertemu jodoh di usia 25 tahun dengan seorang lelaki yang terlalu istimewa, kami tidak pernah bercinta dan secara jujurnya kami tidak pernah bersua muka. Hanya panggilan telefon jarak jauh (Amerika - Malaysia) yang menghubungkan kami. Perkenalan bermula secara suka-suka melalui seorang junior sewaktu zaman ITM Segamat yang kini telah bergelar adik iparku di mana kami sebagai senior sering mengusik junior yang mempunyai abang. Hendak dijadikan cerita kami berempat rakan sebilik yang menggelarkan diri kami Along, Angah (aku), Achik dan Adik bergurau untuk bercakap dengan abang junior kami yang menurutnya berada di Amerika kerana berlayar. Bila dikenangkan saat kami berempat bergayut di telefon awam di bawah asrama semata-mata untuk bercakap dengan jejaka yang hanya dikenali melalui suara memang sesuatu yang melucukan. Itulah dunia remaja kami, terlalu manis untuk dikenang. Mungkin sudah jodoh, perkenalan yang bermula di alam maya tanpa internet berakhir ke jinjang pelamin. Sewaktu aku memaklumkan bahawa aku bakal berkahwin, majoriti rakanku terkejut kerana aku tergolong dalam golongan "underdog" tidak pernah "bercouple" maklumlah muka tiada unsur komersil. Namun aku yakin bahawa jodoh pertemuan telah tertulis di Luh Mahfuz.

Setiap kesenangan pasti ada kesusahan dan begitulah sebaliknya sebagaimana dijanjikan Allah, dugaan dan ujian menimpa kami berdua saat kami berdua mengikat tali pertunangan. Pelbagai rintangan kami hadapi, sehingga ke hari kami bakal dinikahkan. Namun sekiranya telah tertulis bahawa jodoh kami berdua maka pernikahan tetap dijalankan sebagaimana dirancang. Kisahnya terlalu peribadi untuk dikongsikan namun aku bersyukur dengan segala ketentuanNya. Ujian dan dugaan yang kami rasa telah berakhir selepas dinikahkan rupanya tidak berakhir di situ. Sekali lagi kami diuji dengan ketiadaan zuriat selama hampir 12 tahun. Pelbagai usaha dan ikhtiar telah kami lakukan samada secara tradisional mahupun moden. Setiap kali kami mendengar berkenaan sesuatu rawatan maka kami akan pergi walaupun jaraknya yang jauh terpencil. Aku pernah disuruh memakan 1 kilo bawang besar mentah sehingga mulutku terasa kebas kerana kepedasannya, alasannya adalah untuk mencuci rahim. Aku redha asalkan ia halal di sisiNya. Memang ramai yang mengatakan aku gila dan bodoh namun demi zuriat untuk suamiku, aku pasrah. Melihat saudara-mara dan rakan-rakan yang kebanyakkan bunting pelamin sememangnya menambahkan lagi bebanan jiwa namun aku kuatkan hati dan pekakkan telinga dengan soalan-soalan "cliche", Bila nak beranak ni? Umur dan lanjut, tak payahlah nak merancang......antara dialog-dialog yang memang telah ku agak akan ditanya terutamanya setiap kali hari raya atau kenduri kahwin. 

Perubatan moden yang memerlukan pemeriksaan darah setiap kali ujian menyebabkan seluruh tanganku lebam-lebam kerana uratku jenis yang halus sehingga menyukarkan untuk mengambil darah kecuali bagi mereka yang pakar. Kami telah mencuba di Hospital Putrajaya, LPPKN, klinik Swasta bersama Hamid Arshat dan juga di Hospital Ipoh. Semua ujian menunjukkan kami normal dan tergolong dalam kumpulan 10% "undetermined causes". Pengambilan hormon menyebabkan berat badanku naik mendadak walaupun tidak makan dengan banyak kerana itulah salah satu kesan sampingan pengambilan hormon kesuburan. Perubatan alternatif pula memaklumkan bahawa kami ada "gangguan" namun kami berfikiran positif dan tidak mahu bersangka buruk. Aku memang pernah beberapa kali menyuarakan kepada suamiku untuk berkahwin lagi kerana aku rasa bersalah tidak mampu merealisasikan impiannya bergelar daddy. Namun suamiku sering mengelakkan dan mengatakan dengan yakin bahawa satu hari nanti kami pasti dapat menimang zuriat darah daging kami sendiri. Cadanganku untuk mengambil anak angkat juga tidak dipersetujuinya kerana beliau bimbang tidak mampu memberi kasih sayang yang sama rata sekiranya kami dikurniakan zuriat sendiri kelak.

Perjuangan menjadi mummy tidak dirasai oleh semua orang, terutamanya mereka yang dianugerahkan kelebihan bunting pelamin dan yang bersalin setiap tahun. Bersyukurlah dengan nikmat yang telah dikurniakan olehNya dan janganlah memandang hina kami yang sedang berjuang. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa peritnya perjuangan itu namun aku bersyukur kerana aku hanya diuji selama 12 tahun sedangkan masih ada yang telah berpuluh tahun masih berdua. Masihkah kita ingat kisah Nabi Zakaria yang diuji untuk mendapat zuriat sedangkan beliau telah tua serta uzur manakala isterinya pula mandul, namun jika Allah berkata "Kun Fayakun' maka jadilah. Aku sememangnya kagum dengan pasangan yang telah berpuluh tahun diuji dengan ketiadaan zuriat namun mereka masih kekal bersama dan itulah nikmat sebenarnya. Kami yang diuji dengan TTC ini juga mempunyai "Secret Group" untuk saling memberi sokongan kepada rakan-rakan senasib kerana hanya yang melaluinya sahaja memahami keperitan dan kepahitan yang dialami.