Wednesday, 3 May 2017

"Laptop Updating"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Semalam memang sangat teruja hendak mengemaskini blog dan juga menyiapakan tugasan terjemahan untuk Bab 3 bagi tugasan terjemahan ke Bahasa Inggeris yang tempoh tamatnya semakin hampir. Namun ketentuan Allah mengatasi perancanganku. Buka sahaja komputer ribaku yang banyak berjasa ini, terpampangnya mesej di atas. Mulanya aku sangkakan hanya sekejap namun penantian selama hampir sejam dan peratusan masih di bawah 50% memang mematikan keterujaanku. Tambahan pula tiba-tiba cuaca di Miri berubah, hujan lebat mencurah-curah disertai kilat dan petir. Maka hasrat asalku terbantut dan aku membuat keputusan untuk bermain-main nombor dengan anakku. Sememangnya dunia anak-anak adalah bermain dan dengan bermainlah mereka belajar.

"PC updating" ini juga mengingatkan aku bahawa setiap perkara perlu penambahbaikan terutamanya diri kita sebagai manusia. Terdapat 3 golongan manusia iaitu:-

      a. Manusia yang celaka- iaitu yang hari ini LEBIH BURUK dari hari semalam;
      b. Manusia yang rugi - iaitu yang hari ini adalah SAMA dengan hari semalam; dan
      c. Manusia yang beruntung - iaitu hari ini adalah LEBIH BAIK dari hari semalam.

Sememangnya kita wajib untuk meningkatkan prestasi diri walaupun sedikit terutamanya dalam soal ibadah kepadaNya. Untuk seorang suri rumah tangga, bagaimana meningkatkan prestasi diri? Bagiku sebagai insan yang hidupnya 24 jam dengan anak, banyak yang aku belajar daripada makhluk Allah yang masih bersifat fitrah ini. Seorang anak kecil yang masih suci jiwanya memang banyak mengajar aku setiap hari. Hatinya sangat tulus dan tiada sebarang dendam. Sesungguhnya setiap insan yang dihadirkan dalam hidup kita bukanlah secara kebetulan melainkan dalam perancanganNya dan setiap darinya memberikan pengajaran baru untuk kita. 

No comments:

Post a Comment