Damailah Kau Di Sana Adik Mohamad Thaqif Amin bin Mohd Gaddafi

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Semalam (26 April 2017), tepat jam 2.05 petang, anak syurga Mohamad Thaqif Amin bin Mohd Gadaffi 11 tahun telah dijemput bertemu Penciptanya. Kisah beliau yang tular di media-media sosial sejak 2 minggu lepas kini menjadi perbincangan hangat. Aku amat terkesan dengan kisah anak syurga ini yang pastinya mempunyai hikmah disebaliknya. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan keluarganya diberikan kekuatan menghadapi dugaan ini. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali.

Sememangnya hati seorang ibuayah akan hancur setelah anak yang diharapkan menjadi pencen kubur telah kembali kepadaNya di awal usia dan semasa sedang berjihad menjadi seorang Al Hafiz. Sudah pasti Allah menggantikan yang lebih baik untuk keluarga arwah. Ketenangan ahli keluarga arwah menghadapi dugaan hebat Allah ini termasuk meminta agar semua spekulasi dihentikan segera amat mengagumkanku. Allah Maha Mengetahui kekuatan setiap hambaNya.

Pastinya setiap ibubapa mempunyai hasrat untuk menjadikan anaknya seorang hafiz/hafizah walaupun ibubapanya sendiri bukan seorang hafiz/hafizah, sama seperti diriku. Bercita-cita menjadikan anakku seorang Al Hafiz yang berjaya di dunia dan di akhirat. Pendapat peribadiku terhadap insiden ini adalah perlu dilakukan siasatan yang menyeluruh berdasarkan catatan peribadi arwah. Seorang anak kecil meluahkan isi hatinya di atas sekeping kertas tidak wajar diketepikan. Memukul atas dasar didikan sememangnya dibenarkan dalam Islam terutamanya dalam isu solat, namun memukul atas dasar kemarahan semata-mata adalah KEJAM.

Warden asrama berusia 29 tahun yang dituduh memukul arwah telah dilanjutkan reman dan pertuduhan telah ditukar kepada pembunuhan. Setiap orang dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan, begitulah undang-undang dunia. Keadilan sebenar adalah disisiNya. Namun aku rasa kita tidak sewajarnya terus memburukkan lagi situasi tertuduh kerana kita tidak berada ditempatnya. Mendidik seorang anak bukanlah mudah terutama jika anda terpaksa mengendalikan lebih daripada seorang anak yang bermacam-macam kerenah. Sebagai seorang ibu kepada seorang anak, sememangnya aku tidak layak memberi komen berkaitan penjagaan anak berbanding ibu-ibu hebat yang berkerjaya dengan anak yang ramai. Trend terkini menghantar anak-anak ke tahfiz seolah-olah menjadi satu kemestian dan perlumbaan dengan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada guru-guru. Sewajarnya kita membetulkan niat bahawa sesempurna manapun institusi pendidikan itu, amanah mendidik anak adalah tanggungjawab ibubapa. Ini tidak bermakna aku menyokong tindakan mana-mana pendidik yang memukul dengan amarah dan kejam.

Sekiranya setiap ibubapa menjalankan amanah masing-masing dengan sehabis baik, sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban setiap pendidik yang telah berkorban masa dan tenaga mendidik anak-anak kita sehingga kadangkala mengorbankan anak mereka sendiri. Peringatan ini adalah untuk aku seorang pendosa yang bercita-cita menjadikan anakku seorang Al Hafiz seawal usia.

Catatan arwah adik Thaqif

Comments

Topik popular