Sunday, 19 March 2017

Sikap Suka Menunda Kerja

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Telah 2 hari kau tidak membuat sebarang entri dalam blog yang baru berusia 7 hari ini. Kesibukan kononnya menjadi alasan "cliche" padaku. 2 hari lepas memang jadual agak penuh dengan urusan untuk kembali ke Miri setelah berada di kampung selama lebih 3 bulan atas urusan menjalani beberapa siri kursus dan ditakdirkan juga emak kesayangan dimasukkan ke hospital selama seminggu kerana jatuh bilik air dan tidak dapat berjalan. Alhamdullilah Allah izinkan aku berkampung di hospital menjaga emak dan kini alhamdullilah beliau sudah boleh berjalan walaupun masih menggunakan tongkat. Semoga Allah jadikan ia sebagai penghapus dosa emak dan dikurniakan ganti yang lebih baik kerana setiap ujian itu pasti ada hikmah disebaliknya yang akal kita tidak terduga, apa yang penting terus bersangka baik dengan Allah.

Berbalik kepada tidak membuat sebarang entri dalam blog, aku bermonolog sendirian bahawa aku perlu berubah dan cuba sehabis baik untuk mengistiqamahkan diri membuat coretan harian kerana setiap orang dikurniakan 24 jam sehari. Jadi kenapa aku masih terus beralasan jika yang lain telah laju memicu ke hadapan dalam kelas asas penulisan blog bagi bulan Mac 2017. Niat aku bukan untuk bersaing dengan sesiapa tetapi aku perlu bersaing dengan diri sendiri kerana musuh utama adalah diriku sendiri. Ya Allah bantulah hambaMu yang lemah ini yang Allah, aku tiada apa-apa tanpa bantuan dan belas ihsanMu.

Alhamdullilah semalam, suamiku telah selamat tiba dari Miri untuk cuti onshore selama 1 minggu. Waktu yang singkat inilah digunakan oleh keluarga kecil kami untuk melepaskan rindu dan membuat aktiviti bersama-sama. Setiap isteri pasti ingin suami selalu di sisi namun kita tidak dapat menolak ketentuan jodoh. Ada yang hubungan PJJ atau "weekend husband" dan tidak kurang juga para suami yang bertugas mempertahankan keselamatan negara yang tidak ketentuan jadualnya. Apa yang penting kita sebagai isteri WAJIB mendoakan keselamatan dan kesejahteraan suami kita yang jauh di mata dan semoga sentiasa dekat di hati. Jangan dipandang remeh KUASA DOA seorang isteri.

Peluang bila suami dan balik, baton bermain dengan anak diserahkan sekejap buat suami dan minta izin untuk mengemaskini blog ini sebelum sawang semakin bertambah. Aku cuba untuk tidak lagi menunda sebarang entri bagi memastikan cabaran 44 entri dalam masa 20 hari tercapai. Yang paling utama, sikap aku untuk menulis blog dan in sha Allah sehingga melahirkan karya yang bakal menjadi pencen kuburku tercapai. Ya Allah makbulkan permintaan hambaMu ini.

Waktu adalah seperti pedang tajam yang memakan tuannya jika tidak dijaga dengan betul, Ia tidak dapat diputar kembali dan menunda kerja adalah satu sikap yang perlu dibuang dengan segera kerana ia gunting dalam lipatan. Ajal maut tidak pernah menunggu kita, bertangguh membayar hutang termasuk dalam kategori yang amat dibenci oleh Allah terutamanya sekira ia disengajakan. Maka benarlah sabda Nabi S.A.W, mengingati mati itu menghidupkan hati yang suka bertangguh terutamanya dalam urusan ibadat. 

No comments:

Post a Comment