Friday, 24 March 2017

Perginya sebutir bintang seni

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Pagi ini, kita dikejutkan dengan berita kematian Komposer Johan Nawawi pada pukul 6.20 pagi. Kembalinya kepada Pencipta adalah pada penghulu segala hari iaitu Jumaat yang mulia. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan dimasukkan ke dalam JannahMu tanpa hisab. Sesungguhnya mati itu pasti dan Ustaz Dasuki sering mengatakan bahawa apabila berlaku kematian sememangnya waris akan terkejut terutamanya jika kematian yang bersifat mengejut tanpa sebarang tanda namun sebenarnya si mati itu lebih terkejut kerana kini segala yang telah disampaikan oleh Rasullah saw dan diceritakan dalam Al Quran dan Hadis sedang di alami oleh si mati. Ya Allah, ambillah nyawa kami ketika kami redha denganMu dan Engkau redha dengan kami dan janganlah Engkau ambil nyawa kami sebelum Engkau menerima taubat kami.

Menurut isterinya, arwah hanya mengalami demam biasa sahaja dan beliau tidak menjangka bahawa suaminya akan pergi untuk selama-lamanya. Itulah namanya ajal. Ustaz pernah berkata, jika seseorang lelaki itu ingin mengetahui samada dia adalah suami yang baik atau sebaliknya, tanyalah kepada isterinya dan ternyata arwah sememangnya seorang suami dan ayah yang baik sebagaimana kata isterinya dan tiada pengganti sebaiknya. Semoga Allah memberi kekuatan kepada Nora dan keluarga serta meneruskan legasi beliau yang banyak menghasilkan karya-karya bercorak kerohanian terutamanya lagu makna Al Fatihah yang menjadi siulan anak-anak kecil. Semoga ia menjadi pencen kubur beliau yang berpanjangan.

Hargailah pasangan kita setiap masa kerana kita tidak tahu berapa lama lagi Allah pinjamkan dia untuk kita. Jodoh kita telah tertulis di Luh Mahfuz dan sememangnya jodoh yang terbaik diberikan Allah walaupun kita sering berbeza pendapat kerana yang berbeza itulah perlu dilengkapi oleh pasangan. Bagi pasangan yang tinggal berjauhan, hargailah kualiti masa bersama-sama walaupun singkat kerana hakikatnya walaupun duduk serumah namun tiada komunikasi maka ia tidak bermakna. Hubungan suami isteri adalah hubungan jiwa bukan hanya hubungan fizikal. Pastinya kita bermatlamat untuk terus bersama hingga ke JannahNya dan sebaik-baik suami adalah yang memelihara dirinya dan ahli keluarganya dari panas api neraka.


No comments:

Post a Comment