Thursday, 23 March 2017

Kisah Aku Despatch dan Mat Jambang

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah dengan izinNya semasa dalam perjalanan daripada Kuala Terengganu ke Colmar Tropicale, Bukit Tinggi untuk hari ke empat Trip Pantai Timur kali ini, aku berpeluang mengikuti temubual dengan insan hebat bernama Muhd Khairul di radio IKIM fm. Rupanya sekarang ini sedang tular di laman sosial FB berkenaan kisah beliau bersama sahabat barunya Ashok (si gelandangan) yang beliau gelar sebagai Mat Jambang. Memandangkan aku agak kurang aktif di FB serta mana-mana laman sosial lain maka aku memang sering ketinggalan kisah-kisah tular ini kecuali yang diizinkanNya melalui saluran-saluran lain. 

Aku amat kagum dengan kesucian hati pemuda bernama Muhd Khairul ini yang niat asalnya hanya ingin membantu Ashok mencukur jambangnya agar kelihatan lebih kemas walaupun Ashok hanya seorang gelandangan. Asbab niat suci beliau, Allah telah memuliakan beliau dengan menularkan status di dinding FB beliau. Beliau merupakan salah satu contoh akhlak mulia di dunia yang penuh ranjau dan cubaan ini. Beliau menyatakan bahawa untuk berbuat baik tidak perlu menunggu untuk mempunyai duit yang banyak. Ia hanya memerlukan keikhlasan yang ramai daripada kita termasuk aku hanya bermain di bibir namun sukar melekat di hati. Ashok juga menurut Khairul beberapa kali menolak bantuan yang dihulurkan oleh beliau namun berkat kesungguhan Khairul, Ashok tertewas. Persahabatan kedua-duanya kini saling memberi manfaat antara satu sama lain dari segi perkongsian pengalaman hidup yang tidak ternilai harganya.

Seorang Mat Despatch tanpa berkira telah sanggup memberikan belanja harian dan duit potong jambang kepada orang asing yang baru dikenali dan seorang gelandangan selama hampir 2 tahun juga merupakan penderma darah setiap 6 bulan sekali dan telah berikrar untuk mendermakan semua organ selepas kematiannya. Aku merasa terlalu kerdil mendengar kisah ini, betapa diriku yang dikurniakan pelbagai nikmat masih tiada sebarang sumbangan malahan sering merungut dengan sedikit ujian yang diberikanNya. Ampunkan aku Ya Allah yang sering lupa akan hakikat sebenar dilahirkan ke dunia ini.

Aku masih berusaha untuk mendidik diri agar istiqamah melakukan sedekah Subuh walaupun sering kali terbabas. Aku pernah mendengar dan membaca beberapa buku berkenaan Menjemput Rezeki. Kerana hakikatnya setiap makhluk di dunia ini telah dijamin rezekinya maka istilah mencari rezeki adalah tidak bertetapan namun sebaliknya kita perlu menjemput rezeki. Setakat ini beberapa tips menjemput rezeki yang kuamalkan adalah :

   i. Sedekah subuh di mana setiap kali sebelum atau selepas solat subuh aku akan memasukkan                 sejumlah wang ke dalam tabung Sedekah Subuh;

   ii. Solat Dhuha sekurang-kurangnya 4 rakaat;

  iii. Mengutamakan ibubapa dalam segala hal;

  iv. Mengamalkan doa ayat 1000 dinar setiap kali selepas solat; dan

  v. Belanja makan ahli keluarga setiap kali berkesempatan.


Muhd khairul dan Ashok (di ambil dari FB Muhd Khairul)

No comments:

Post a Comment