Kembali ke Miri

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah dengan izinNya maka kami berdua (aku dan anakku) selamat sampai ke rumah sewa kami di Miri setelah cukup-cukup 3 bulan meninggalkannya (27 Disember 2016 hingga 27 Mac 2017). Kenapa aku meninggalkan Miri untuk tempoh yang lama adalah berkaitan dengan kontrak kerja suamiku yang tidak dikhabarkan tidak diperbaharui setelah tamat pada penghujung Disember 2016 yang lalu, maka suamiku mencadangkan agar kami pulang sementara ke kampungku di Ipoh sementara beliau menguruskan urusan pekerjaannya. Alhamdullilah dengan izinNya, rezeki suamiku masih di Miri walaupun ada "gap" antara kontrak baru dengan kontrak sebelumnya serta pemotongan gaji sebanyak 20%. Kami tetap bersyukur kerana masih ada rakan-rakan yang menerima ujian lebih teruk seperti ditamatkan kontrak, kami berdoa agar mereka diberikan ganti rezeki yang lebih baik olehNya kerana setiap daripada kita telah ditakdirkan perjalanan hidupnya.

Memandangkan beberapa komitmen telah dibuat seperti mendaftarkan anakku di Al Baghdadi Playtime Centre (APC) Meru serta komitmen ku untuk menjalani praktikal di HOME Pusat Terapi Matematik maka suamiku mengizinkan kami tinggal sementara di Ipoh sehingga akhir Mac. Tempoh 3 bulan ini penuh dengan pelbagai episod pahit manis kelat masam dan masin. Ia bukan bermakna selama ini hidupku tiada perasa namun 3 bulan kali ini ingin ku coretkan di dalam blog ini sebagai perkongsian bersama untuk diambil teladan jika baik dan dijadikan sempadan jika sebaliknya.

Daripada urusan kerja sehingga kepada urusan peribadi, memang banyak rintangan yang kualami setelah memilih untuk bekerja sendiri dan bersara pilihan. Bersara pilihan bukan bermakna aku menikmati duit pencen setiap bulan kerana kemudahan itu akan ku nikmati sekiranya panjang umur setelah aku berumur 56 tahun (in sha Allah lagi 15 tahun). Tekad untuk keluar dari zon selesa dan melupakan cara hidup makan gaji memang penuh dengan ranjau dan onak berduri. Masih teringang-ngiang di telingaku kata-kata majikanku bahawa aku tidak boleh berjaya dalam perniagaan kerana semua peniaga kena pandai menipu. Aku tahu nasihatnya ikhlas namun aku ingin buktikan bahawa ia tidak benar kerana ramai para usahawan yang jujur. Memang aku masih belum layak digelar usahawanita yang berjaya namun bagiku kejayaan bukan sekadar keuntungan yang direkodkan dalam akaun bank semata-mata namun pengalaman yang kukutip sepanjang bergelar "self employed" ini tidak dapat kuperoleh dari mana-mana seminar dan kursus. Tiada lagi istilah setiap 25hb mencucuk kad ATM dan gembira dengan jumlah yang dilihat di skrin walaupun jumlah itu cuma bertahan 24 jam sebelum "disedekahkan" kepada pelbagai pemiutang. Aku kini lebih sedar maksud "tawakal" bahawa bukan Kerajaan atau swasta yang bagi rezeki tapi Maha Pemberi Rezeki itu Maha Kaya dan Maha Pemurah namun hambaNya yang sombong dan bongkak ini yang sering lupa. Inilah matlamat sebenar yang ingin kucapai setelah aku tekad bersara awal iaitu mendidik diriku tawakal dengan rezeki Allah. Aku tidak nafikan bahawa ia memang susah dan sering aku bermonolog sendirian. Lahaula walla quwatailla billah hil aliua'zim. Kini aku kembali ke Miri untuk meneruskan apa-apa yang telah kutinggalkan sebelum ini. 


Comments

Topik popular