Monday, 12 June 2017

Daurah Tafsir Hari Ke 31

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,



Alhamdullilah telah masuk hari ke 31, tempoh masa pengajian juga telah ditambah kerana Maulana kata kami telah ketinggalan. Alhamdullilah semakin seronok mendengar "novel cinta Allah" dikupas oleh Maulana. Seperti firman Allah, Al Quran telah diturunkan dalam bahasa yang mudah difahami namun untuk mereka yang bersedia menerimanya. Semoga Allah pilih kita semua sebagai hambaNya yang memahami dan mengamalkan syariatNya sepenuhnya. Belajar ilmu wahyu (Quran) adalah satu kewajiban pada setiap muslim kerana Allah tidak akan menerima alasan JAHIL setelah diturunkan wahyu.

Dalam Surah Al Kahfi, Allah telah menceritakan tentang Nabi Musa yang telah meminta izin dengan Allah untuk belajar setelah beliau ditegur Allah kerana dengan tegas mengatakan bahawa Baginda yang paling alim dalam zamannya. Kealiman Baginda memang tidak boleh disangkal kerana Baginda nabi Allah. Namun yang Allah tegur kerana beliau menjawab soalan umatnya dengan yakin dan tegas tanpa bersandar kepada Allah. Dengan mengatakan "Allahualam", kita sebenarnya telah mengakui bahawa ilmu kita amat terbatas waima para nabi. Ilmu Allah yang Maha Luas.

Di sini kita lihat bahawa Nabi Musa yang telah Allah anugerahkan ilmu syariat Allah yang lengkap masih mahu belajar. Inikan pula diri kita yang dhaif lagi jahil terutama ilmu akhirat. Ya Allah izinkan kami untuk mujahadah menadah ilmu wahyuMu, mengamalkannya dan mentablighkan demi mencari redhaMu. Semata-mata redhaMu. Pondok Darul Uloom, Lak Lok dalam perancangan untuk mengadakan Daurah Hadith untuk pertama kali selama 6 bulan. Ia dijadualkan selepas Hari Raya Haji. Ya Allah izinkan hambaMu yang serba kekurangan dan jahil ini untuk hadir dengan tawajjuh demi islah diri untuk lebih dekat denganMu.

Kerana tanpa ilmu, amal yang dilakukan boleh menjerumuskan kita dalam tipu daya dan perangkap syaitan. Mahukah kita jika di akhirat kelak segala amalan kita yang dirasakan baik dan soleh hilang lenyap kerana kesyirikan kita seperti firman Allah sebagai orang yang paling rugi dalam ayat 104 Surah Al Kahfi :

    " Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka mengira telah            berbuat sebaik-baiknya."