Wednesday, 17 May 2017

Rayuan Seorang Anak

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah hari ini telah hari keenam Daurah Tafsir, ini juga bermakna telah 6 hari anakku ditinggalkan mulai jam 8.00 pagi sehingga 9.30 malam. Hanya berjumpa sekejap sewaktu mengambilnya dari PASTI semasa tengahari dan dihantar pula ke Taska Transit. Beberapa hari ini, dia merengek merayuku agar hantar sekolah sekejap sahaja, tidak mahu sehingga malam. Aku memujuk dengan pelbagai cara, alhamdullilah dia terima walaupun aku tahu hatinya tidak rela sepenuhnya. 

Hari ini, pagi tadi menangis lagi di PASTI kerana takut sebab ada kawan pukul. Alhamdullilah ada guru yang memujuk. Mungkin aduannya benar namun aku tidak mahu cepat melatah kerana biasalah budak-budak lelaki. Aku serahkan pada cikgu untuk uruskan. Tengahari tadi, pertama kali menangis bila hendak ditinggalkan di transit. "Adam nak mummy!!!!" sambil memeluk erat seolah-olah tidak mahu lepas. Ya Allah sayunya hati ku, namun kusembunyikan darinya. "Mummy pun rindu sangat dengan adam, sabar yer sayang, cuma sekejap jer lagi". Kupujuk dengan membeli mainan lori sampah di kedai RM2. Dalam kereta ceria lepas dapat mainan namun kolam airmatanya pecah juga di taska.

Besar pengorbananmu anakku. Demi mummy menuntut ilmu Allah ini. Semoga Allah balas segalanya dengan mengurniakan syurga buat kita semua. Inilah salah satu dugaan dan ujian yang telah dikatakan oleh Maulana di hari pertama Daurah. Ya Allah kuatkan hatiku dan berilah keceriaan dan keseronokkan kepada anakku. Hilangkan kesedihannya dan terimalah usaha kami untuk mendekatkan diri padaMu Ya Allah. 


Hari Kelima Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah hari kelima ini (16 Mei 2017), selesai surah Fusshilat dan Surah Syura' Haa Mim yang ketiga). Ia mengenai penjelasan kepada kesamaran/kekeliruan. Agama mesti ada bukti dan dalil yang jelas. Semuanya kena ada cara dan prosedur. Hukuman yang setimpal dengan bukti yang jelas dan kukuh. Agama Islam adalah agama standard. Allah bekalkan dengan segala bukti dan dalil iaitu agama yang bertamaddun. Asasnya kita semua wajib belajar untuk mendalami ilmu wahyu ini.

Semua kitab-kitab wahyu yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul adalah tauhid. Sekiranya ada pemahaman dalam mana-mana kitab wahyu yang mengajar lain dari tauhid maka ianya palsu. Allah Maha Pelindung dan tiada pelindung selain Allah. 

Antara lain berkenaan pertikaian  Musyirikin Mekah terhadap Al Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab. Allah wahyukan Al Quran untuk kesempurnaan. Nabi saw dituduh mengada-adakan cerita dan baginda yang mereka Al Quran itu. Musyrikin Mekah juga mempertikaikan Nabi saw kerana sewajarnya Rasul dilantik di kalangan malaikat atau jin dan bukan manusia biasa yang rendah tarafnya daripada mereka. Tugas rasullulah saw adalah menyampaikan dan memberi peringatan. Hari perhimpunan semula yang pasti akan berlaku, akan ada 2 puak sahaja. Puak yang dimasukkan dalam syurga dan majoriti diseksa dan dihumban ke neraka. Itu sahaja pilihan kita sebagai seorang Muslim. Maka apa persediaan kita? Semoga Allah dengan rahmatnya memilih kita untuk menghuni syurganya.

Allah menjawab di dalam surah ini bahawa Al Quran ini merupakan mukjizat sepanjang zaman dan bahasa Arab Al Quran adalah istimewa berbanding bahasa Arab perbualan kerana ia kalam Allah. Allah jadikan Al Quran ini boleh dibaca hatta oleh si buta huruf.