Sunday, 14 May 2017

Hari Ketiga Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Syukur telah masuk hari ke tiga namun hari ini hari petama anakku ke PASTI Nurul Wahidah, Kampung Tok Motong. Drama air mata di awal pagi telah kuduga. Alhamdullilah dengan teknik memujuk gaya "reward" dan kecekapan ustazah, drama hanya kurang seminit.

Untuk sesi pagi, Maulana membincangkan tentang Surah Ghafir (Mukmin) surah ke 40 dalam Juzuk 24. Ia permulaan Haa Mim 7. Sesi pagi sempat bertalaaqi hingga ayat 30. Bak kata Maulana, ini baru guna gear 1. SubhanAllah bagi aku yang tiada asas, memang berpeluh. Mohon pada Allah dipermudahkan. Rabbi Yasir Walla Tuasir, Wa Tamam Bil Khair. 

Daurah tafsir kali pertama tertutup kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja. Namun Daurah kedua pada tahun 2010 dibuka kepada umum termasuk yang tiada asas tafsir. Setelah dikaji, Maulana dapati untuk Daurah Tafsir tidak perlu asas tafsir. Kerana beliau sendiri yang pakar tafsir, namun apabila hadir Daurah Tafsir Bersanad di Pakistan, terasa bagai orang yang tiada asas tafsir.

Ini kerana Al Quran Mukjizat sepanjang zaman diturunkan untuk semua. Hatta mereka yang buta huruf. Ada peserta Daurah yang tidak tahu mengaji, namun mahir apabila ditanya kefahamannya walaupun sekadar menyebut nombor ayat dan surah. SubhanAllah, apa lagi alasan kita untuk tidak cuba mempelajarinya. 




Hari Kedua Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah untuk hari kedua, Ujian hari kedua adalah jarak yang jauh untuk ke kelas kerana bermalam di Pengkalan Chepa untuk menghantar suami pulang ke Miri. Ujian kedua, kuliah dimulakan agak lewat iatu jam 10.00 pagi. Sepatutnya 9.30 pagi, Ini ekoran banyak sangat iklan "mengalih kereta". Disebelah petang, hujan lebat beserta kilat dan petir. Gangguan suara di bilik Muslimat, kuliah yang sebenarnya telah bermula jam 5.00 petang, hanya didengari audionya selepas 1/2 jam. Ini lah dinamakan rezeki, telah hadir namun 1/2 jam pertama tidak diizinkan mendengar jika memang bukan rezeki. Syukur ada rakaman dalam Group Telegram.

Maulana Hadi membincangkan tentang Risalah di bawah tajuk Tauhid. Sebelum memulakan pembelajaran tafsir, setiap pelajar mesti tahu hal ehwal Arab Jahiliah Mekah.  Semoga dengan mempelajari hal ehwal mereka maka kita dapat mengelakkan diri daripada termasuk dalam golongan mereka yang digelar Musyrikin Mekah.

Golongan Musyrikin Mekah ini adalah golongan beragama yang mengikut ajaran Nabi Ibrahim cuma mereka tidak dikurniakan kitab wahyu seperti Al Quran, Taurat, Injil dan Zabur. Hanya segelintir mereka yang mengamalkan kepercayaan "Tidak Bertuhan" atau kini digelar "Ateis". Musyrikin Mekah mengamalkan solat, puasa, zakat, haji, berkhitan dan munakahat (urusan nikah dan kahwin). Maknanya secara kasarnya, amalam mereka bersamaan dengan amalan Umat Islam.

Namun mengapa mereka menentang hebat Rasullulah saw sehingga sanggup ingin membunuh Baginda?

Ia adalah kerana kalimah "La Illa Hailla Allah", kalimah syahadah yang diajar oleh Nabi saw. Pada mereka, Tuhan ada lebih daripada satu iaitu termasuk golongan nabi, wali dan orang yang diberi keistimewaan atau qaramah yang dianggap sebagai wakil kepada Allah. Inilah isu tauhid yang menyebabkan mereka digelar Musyrikin golongan yang syirik. 

Merenung kembali pada diri kita, marilah kita sama-sama bermuhasabah. Mohon Allah jauhkan kita daripada tergolong dalam golongan syirik. Zaman kini, walaupun semakin ramai bijak pandai. Namun semakin ramai juga cenderung mengamalkan syirik. Nauzubillah himin zallik