Wednesday, 3 May 2017

Ujian "Brain CT Scan dan EEG" Part 1

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Yang berkobar-kobar hendak kemaskini blog semalam adalah untuk memasukkan entri ini namun disebabkan isu teknikal maka ia ditangguhkan ke hari ini. Semalam, aku telah menjalani ujian "Brain CT Scan dan EEG (Electroencephalography) di Hospital Miri.

Kenapa aku perlu menjalani ujian ini? Semuanya bermula pada tahun 2013 semasa aku sedang mengandungkan anak tunggalku (buat masa ini) di Miri. Memandangkan tarikh bersalinku secara "planned ceaserean" telah ditetapkan pada minggu ke 38 kerana anakku dianggap "precious baby" hasil "frozen embryo" untuk cubaan kedua IVF. Maka 2 minggu sebelum tarikh tersebut, kami telah menempah penerbangan pulang ke Ipoh. Penerbangan kami pada pukul 5.50 pagi iaitu penerbangan pertama yang kebiasaannya harganya jauh lebih murah (dasar perbelanjaan berhemah). 

Dipendekkan cerita, semasa aku sedang membuat persiapan terakhir pada jam 3.00 pagi hari tersebut, aku telah dikatakan telah merasuk dan bersifat agresif sehingga tenaga kelakian suamiku sendiri tidak mampu melawan kudrat seorang wanita yang sedang sarat mengandung. Disebabkan insiden tersebut, kami telah terlepas penerbangan. Aku yang masih bertindak agresif sehingga memecahkan beberapa barang rumah telah memaksa suamiku memanggil jiran sebelah rumah. Aku di bawa ke rumah seorang perawat tradisional namun disebabkan aku sedang hamil, beliau enggan meneruskan rawatan bagi mengelakkan komplikasi pada anak dalam kandungan. Ekoran aku yang masih meracau-racau dan bertindak agresif walaupun dipegang oleh 3 lelaki dan seorang perempuan, semua telah sepakat memanggil ambulans. Aku telah disuntik ubat penenang dan di bawa ke Jabatan Kecemasan. Sebaik aku sedar, aku dapati bahawa kaki dan tanganku telah diikat. Aku merasa terlalu dahaga namun suamiku memaklumkan bahawa aku tidak dibenarkan minum sedangkan belum setitik air pun ku teguk sejak jam 3 pagi dan kini telah tengahari. Aku kemudian dipindahkan ke wad untuk pemantauan. Di wad aku hanya kaku memandang dinding dengan mata yang tidak berkelip. 4 hari di wad dengan pelbagai ujian termasuk MRI dan mengambil air tulang belakang tidak termasuk berpain-pain darah diambil setiap hari untuk ujian. Badanku penuh dengan kesan jarum sehingga ke kaki. Namun aku masih kaku dan ujian juga menunjukkan aku sihat dan normal.

Aku dirujuk kepada Pakar Psikiatrik kerana dikatakan mempunyai gangguan jiwa. Rentetan daripada rawatan susulan di Jabatan Psikiatrik dan Kesihatan Mental ini yang memerlukan aku menjalani ujian "Brain CT Scan dan EEG" untuk melihat gelombang otakku. Cerita selanjutnya di entri berikutnya. Stay tune

Kerja Terjemahan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Alhamdullilah setelah 2 minggu aku bergelumang dengan tugasan menterjemah Kertas Kerja pelajar Diploma Kolej Poly-Tech MARA, ianya berjaya diselesaikan. Semoga ia memenuhi kehendak pelanggan. Kerja terjemahan yang melibatkan 5 bab secara keseluruhan adalah berkenaan Latihan Praktikal yang telah dijalani oleh pelajar tersebut. Aku mendapat tugasan ini hasil rekomen sahabat baikku. Ia merupakan tugasan terjemahan ku yang pertama dan ternyata ia banyak memberi pengajaran kepadaku tentang hakikat dunia para pelajar institusi pengajian terkini.

Tiada sekelumit niatku untuk mendabik dada mengatakan bahawa aku mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris yang hebat namun sekurang-kurangnya di zaman aku belajar dahulu di ITM dan kini UiTM yang menggunakan medium Bahasa Inggeris sepenuhnya aku masih mampu membuat laporan dalam Bahasa Inggeris tanpa bantuan sesiapa. Namun hanya melalui satu tugasan ini aku tidak sewajarnya melabelkan keseluruhan siswazah. Semoga ianya tidak seteruk yang kusangkakan.

Institusi pengajian tinggi swasta yang tumbuh bak cendawan selepas hujan ternyata menjadi pilihan ramai ibubapa yang kini rata-rata mampu menghantar anak mereka ke sana sekiranya gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam. Aku tidak mengatakan bahawa semua graduan swasta ini kurang berkualiti namun ia juga tidak wajar dibiarkan tanpa pengawasan rapi jabatan yang berkaitan.

Berdasarkan pengalaman pertamaku ini, ku dapati juga penguasaaan Bahasa Melayu agak lemah mungkin disebabkan terpengaruh dengan bahasa sms dan bahasa tanpa vokal. Aku juga sering mendengar rungutan daripada rakan-rakanku yang menjadi pensyarah tentang mutu penulisan para siswazah yang agak mengecewakan walaupun di IPTA. 

Namun jika dilihat dari sudut rezeki, kelemahan ini merupakan peluang untuk para penterjemah amatur sepertiku untuk mencuba nasib dan mengasah bakat yang terpendam dan mungkin telah berkarat. Jika ada yang berminat mencuba khidmatku sebagai penterjemah amatur dipersilakan hubungi aku di talian 017 370 6530.  Yang pastinya harganya amat mampu milik kerana ia harga pengenalan.

"Laptop Updating"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Semalam memang sangat teruja hendak mengemaskini blog dan juga menyiapakan tugasan terjemahan untuk Bab 3 bagi tugasan terjemahan ke Bahasa Inggeris yang tempoh tamatnya semakin hampir. Namun ketentuan Allah mengatasi perancanganku. Buka sahaja komputer ribaku yang banyak berjasa ini, terpampangnya mesej di atas. Mulanya aku sangkakan hanya sekejap namun penantian selama hampir sejam dan peratusan masih di bawah 50% memang mematikan keterujaanku. Tambahan pula tiba-tiba cuaca di Miri berubah, hujan lebat mencurah-curah disertai kilat dan petir. Maka hasrat asalku terbantut dan aku membuat keputusan untuk bermain-main nombor dengan anakku. Sememangnya dunia anak-anak adalah bermain dan dengan bermainlah mereka belajar.

"PC updating" ini juga mengingatkan aku bahawa setiap perkara perlu penambahbaikan terutamanya diri kita sebagai manusia. Terdapat 3 golongan manusia iaitu:-

      a. Manusia yang celaka- iaitu yang hari ini LEBIH BURUK dari hari semalam;
      b. Manusia yang rugi - iaitu yang hari ini adalah SAMA dengan hari semalam; dan
      c. Manusia yang beruntung - iaitu hari ini adalah LEBIH BAIK dari hari semalam.

Sememangnya kita wajib untuk meningkatkan prestasi diri walaupun sedikit terutamanya dalam soal ibadah kepadaNya. Untuk seorang suri rumah tangga, bagaimana meningkatkan prestasi diri? Bagiku sebagai insan yang hidupnya 24 jam dengan anak, banyak yang aku belajar daripada makhluk Allah yang masih bersifat fitrah ini. Seorang anak kecil yang masih suci jiwanya memang banyak mengajar aku setiap hari. Hatinya sangat tulus dan tiada sebarang dendam. Sesungguhnya setiap insan yang dihadirkan dalam hidup kita bukanlah secara kebetulan melainkan dalam perancanganNya dan setiap darinya memberikan pengajaran baru untuk kita.