Saturday, 22 April 2017

Mukah- Kau Tunggu Aku Datang

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Mukah adalah salah satu daerah yang menjadi sasaran kami untuk dijelajahi seterusnya. Alhamdullilah dengan berada di Bintulu kami dapat menjimatkan jarak perjalanan sejauh  220 km berbanding jika bertolak dari Miri. Kebetulan niat kami untuk merasai "Pesta Kaul Mukah" diizinkan Allah pada tahun ini. Pesta tahunan kaum Melanau ini bermula 22 April sehingga 20 April 2017.

Memulakan perjalanan sejauh 230 km bermula jam 9.30 pagi diiringi hujan renyai-renyai sepanjang jalan. Lalulintas agak perlahan disebabkan cuaca serta banyak kenderaan berat. Sepanjang laluan juga dapat dilihat proses menaiktaraf jalanraya sebagai sebahagian Lebuhraya Pan Borneo. Pengalaman yang tidak dapat kulupakan sepanjang kami menjelajah di sekitar Sarawak adalah bersedia menahan pundi kencing kerana tidak seperti di Semenanjung, tiada RnR sepanjang perjalanan kecuali kedai makan yang kebiasaannya antara lebih 100 km antara satu sama lain. Aku juga pernah terpaksa menebalkan muka melepaskan hajat kecil di tepi jalan semasa dalam perjalanan Miri-Sibu setelah bertahan lebih 1 jam. Pundi kencingku rasa tidak dapat ditahan lagi. Keindahan pemandangan yang kehijauan sepanjang perjalanan diikuti dengan pelbagai jenis rumah panjang yang kebanyakannya telah diubahsuai menjadi lebih moden amat mempersonakan. 

Setiap kali memulakan permusafiran, kami sentiasa berniat agar diizinkan bersolat di awal waktu dan agar Allah Ya Baari mengaturkan perjalanan kami untuk berjumpa dengan rumahNya untuk bersolat seawal waktu. DiizinkanNya menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Surau Kampung Penipah lebih kurang 40 km dari Bandar Mukah. Kami tiba di Mukah lebih kurang jam 1.30 petang dan terus ke tapak Pesta Kaul 2017. Kebetulan, semasa itu sedang berlangsung pertandingan saringan "Lubak Salui Lukut" ala-ala sampan longkang besar yang dibuat dengan daun Pepakis Besar. Sangat unik dan menarik. Selain itu, terdapat ramai yang sedang menghias gerai-gerai komuniti masing-masing. Sungguh meriah. Itulah keunikan Sarawak yang masih mengekalkan adat budaya yang telah bertahun-tahun sebati di jiwa tanpa mengira usia.

Perbualan dengan salah seorang peserta menyatakan bahawa setiap penyertaan Lubak Salui Lukut dikenakan bayaran RM21 dan terdapat lebih 380 kapal yang dipertandingkan, bayangkan terdapat 68 peringkat saringan. Kemeriahannya amat terasa.

Kami singgah untuk makan tengahari di Restoran Nor Azmiza yang kusangka restoran masyarakat tempatan namun rupanya ia milik peniaga keturunan India Muslim. Aku agak terkejut juga apabila mendapati banyak restoran dan kedai kepunyaan masyarakat India dan Pakistan di Mukah sedangkan di Miri dan Sarawak amnya agak kurang golongan tersebut. 

Sebelum "check in" di Kingwood Hotel, kami mencarai "Lamin Dana" yang merupakan homestay Rumah Melanau Asli sebagaimana cadangan rakan suamiku. Cadangan asalnya untuk menginap di sama 1 hari namun disebabkan kami tidak membuat tempahan awal, penginapan telah penuh. Namun demikian, kami bersetuju untuk mengikut "boat tour" dan jamuan tengahari makanan Melanau esok dengan harga RM120 setiap seorang dan percuma untuk anakku yang berjaya menawan hati pemilik homestay Puan Rose, alhamdullilah. Malahan beliau menjanji akan memberikan lebih diskaun lagi untuk esok.

Setelah menikmati "movie marathon" : White House Down, Captain America dan London Has Fallen melalui Channel Fox Movie Premium di Kingwood Hotel maka perut yang menjerit-jerit minta diisi telah dimurahkan rezeki olehNya untuk menjamu selera di Riverside Seafood. Restoran Muslim yang sangat menarik susunaturnya ala-ala restoran "High Class". Bukan sahaja suasananya menarik, masakannya juga amat sedap terutamanya Udang Butter Basahnya. Kami memilih menu Ambal Masak Halia, Midin Masak Bawang Putih dan Telur Dadar. Midin dan Ambalnya memang segar dan perkhidmatannya juga cepat. Amat berpuas hati malahan telah bercadang untuk datang lagi esok, in sha Allah. Jika anda ke Mukah, kami amat mengesyorkan anda ke Riverside Seafood, anda pasti menggemarinya.

In sha Allah nanti sambung lagi tentang kisah di Mukah. Tunggu!!!!



MYVI Hitamku yang telah berbedak akibat keadaan jalan yang berhabuk, Sungguh banyak jasamu MyVi kesayanganku.

Sebahagian dekorasi dalam Restoran Riverside Seafood.