Thursday, 20 April 2017

Mencari rumah sewa di Bintulu

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah, dalam tempoh 3 hari bermusafir di Bintulu atas tajaan syarikat suami sebagai tempoh mencari dan meninjau rumah sewa, telah beberapa buah rumah di tinjau. Cabaran mencari rumah sewa dengan harga berpatutan di Bintulu ini memang menduga keimanan kerana harganya memang kebanyakannya diluar kemampuan. Bayangkan rumah tanpa perabut harga dalam lingkungan RM1K hingga RM1.5K bergantung kepada lokasi. 

Rumah pertama yang kami tinjau adalah atas cadangan seorang rakan, terletak di Kampung Assyakirin Fasa 2. Rumah kampung 2 tingkat, 3 bilik dengan 1 bilik air. Bilik air terletak di tingkat bawah dan tiada sebarang kelengkapan elektrik. Kami tidak dapat meninjau ke dalam rumah kerana penyewa tiada di rumah namun berdasarkan gambar yang diberikan, ternyata rumahnya luas dan bersih. Kawasan persekitaran rumah juga selesa dan berhampiran dengan Tadika Kemas. Dari segi keluasan, rumah tersebut terlalu luas untuk keluarga kecil kami namun sewanya amat berpatutan.

Rumah kedua diperoleh melalui laman sesawang Mudah.com. juga terletak di Kampung Assyakirin Fasa 3. Rumah kampung 2 tingkat yang telah diubahsuai dengan kelengkapan lengkap namun sewanya RM1.3K. Lokasi dan kemudahan berhampiran menepati kehendak, namun disebabkan usaha memohon agar sewa dikurangkan tidak mendapat pertimbangan pemilik maka terpaksa dilepaskan.

Rumah seterusnya sebuah apartment milik seorang Cina berhampiran Kuarters Kerajaan, apabila ditinjau keadaan persekitaran, menimbulkan keraguan dari segi keselamatan memandangkan lokasi yang terletak agak jauh dari jalan utama serta keadaan persekitaran yang berisiko walaupun sewanya dalam lingkungan kemampuan kami.

Rumah keempat terletak di Kampung Pisang di laluan Coastal Miri-Bintulu kira-kira 20 km dari Bandar Bintulu. Rumah teres 1 tingkat "semi furnish",  3 bilik dengan 2 bilik air. Dari segi keluasan amat bersesuaian serta sewanya yang bersesuaian namun pemiliknya memerlukan penyewa dengan segera sedangkan kami bercadang untuk berpindah selepas hari raya. Lokasinya juga agak jauh dari pejabat suami.

Rumah seterusnya terletak di RPR Kidurong berhampiran Masjid Al Mustaqim, kami hanya berkesempatan meninjau diluar rumah dan kawasan persekitaran. Secara kasarnya menepati ciri-ciri yang dicari, in sha Allah hari ini berkesempatan meninjau dalam rumah setelah membuat temujanji dengan pemilik. 

Di antara ciri-ciri rumah sewa yang kami cari:-

    i. Kos sewa di antara RM800 - RM900 sebulan;
   ii. Dilengkapi kelengkapan asas seperti mesin basuh, peti ais dan kabinet dapur; dan
  iii. Terletak dalam kejiranan yang baik dan selamat serta berhampiran dengan masjid.

Setakat ini, kami telah mempunyai beberapa pilihan dan semoga Allah kurniakan kami yang terbaik walaupun suamiku masih berbelah bagi untuk berpindah ke Bintulu kerana jika diikutkan kami telah selesa di Miri. Sebagai isteri, tugasku adalah menyokong setiap tindakan suami selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

Sering berpindah randah disebabkan lokasi kerja suami yang sering berubah menyebabkan perkahwinan kami selalu "PJJ" (perkahwinan jarak jauh) kerana kesukaran untuk aku bertukar tempat kerja sewaktu masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Dilemma antara kerjaya dan rumahtangga sering menghantuiku sepanjang 12 tahun perkahwinan kerana pemikiran kuno ku tetap berpegang kepada kata-kata " Tempat terbaik seorang isteri adalah di sisi suaminya". Ini juga merupakan salah satu sebab utama aku bersara awal agar aku dapat berada dekat dengan suamiku walaupun hakikatnya suamiku bertugas di atas pelantar minyak di tengah lautan. Bagiku untuk berada dalam negeri yang sama dengan lokasi pelantar minyak tersebut telah cukup baik kerana sekurang-kurangnya jika berlaku sebarang kecemasan (nauzubillah himin zalik") beliau masih boleh balik dalam tempoh yang singkat.

Tiada niat untuk bermanja-manja dengan merengek untuk mengikut suami kerana hakikat hidup sebagai isteri seorang pelaut hanya difahami oleh mereka yang mengalaminya sahaja. Berdikari dalam segala hal merupakan ciri-ciri utama bakal isteri seorang pelaut. Ini menambahkan rasa hormatku kepada semua isteri anggota keselamatan seperti tentera, polis, bomba yang sanggup melepaskan suami untuk bertugas menjaga keselamatan negara walaupun "maut" seolah-olah menunggu setiap kali suami melangkah keluar. Hakikatnya apapun kerjaya suami kita, mati itu pasti termasuk diri kita. Semoga kita semua bersedia dengan bekalan yang ingin di bawa ke "sana". Dunia ini juga hanya "rumah sewa" yang sewanya dikecualikan.