Tuesday, 4 April 2017

Rezeki kitar semula

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Selesai urusan menghantar anak ke Tadika pada hari pertama semalam, aku menuju ke pusat kitar semula untuk menghantar bekas-bekas kontena produk Herbalife. Ini satu lagi kebaikan produk ini, bukan sahaja produknya berkesan dan berkualiti malahan bekasnya juga boleh dikitar semula.

Setiba di pusat kitar semula, ramai yang sedang beratur menunggu giliran menimbang barangan masing-masing. Suasana yang diluar jangkaan namun di zaman ekonomi kurang memberangsangkan ini, segala-galanya menjadi punca rezeki asalkan rajin berusaha. Barangan yang paling banyak kulihat adalah tin-tin kosong, kotak-kotak kosong serta besi-besi buruk. Insan-insan yang rajin mengutip besi buruk serta tin-tin kosong yang kebanyakan bertaburan di merata tempat atau di tong-tong sampah ini sebenarnya memberi sumbangan besar kepada negara kita. Tanpa mereka dan hanya mengharapkan pihak berkuasa yang berkenaan maka tidak hairan jika kita ditimbuni sampah-sarap satu hari nanti.

Selain membantu membersihkan persekitaran, mereka juga memperoleh pendapatan yang pada sesetengah orang dianggap tidak berbaloi dengan usaha. Setiap manusia dikurniakan rezeki yang pelbagai dan kita akan rasa bersyukur sekiranya melihat mereka yang kurang daripada kita. Namun jika kita sering membandingkan hidup dengan mereka yang lebih daripada kita, dibimbangi kita akan termasuk dalam golongan yang kufur nikmat.

Bisnes kitar semula ini telah lama beroperasi dan masih bertahan, nampaknya ketika ekonomi agak suram ini, bisnes kitar semula bercahaya dengan terang. Berbanding kebanyakan bisnes yang kelihatan sofistikated dan canggih namun tidak berdaya tahan. 






Hari Pertama di PASTI Ar Rayyan Miri

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Semalam (3 April), hari pertama anakku mula bersekolah di Tadika PASTI Ar Rayyan yang baru beroperasi berhampiran rumah. Tips-tips yang aku praktikkan setiap kali ingin menghantar ke taska atau tadika baru :
  • sentiasa menceritakan hal-hal yang seronok di tempat baru seperti dapat jumpa kawan baru; dapat main bersama-sama kawan;
  • memuji perlakuannya yang rajin ke sekolah kerana Allah sayang orang yang rajin bangun awal;
  • bertanya bekal makanan yang ingin dibawa agar dia bergembira untuk berkongsi makanan dengan kawan-kawan;
  • malam sebelum ke taska/tadika baru, sekali lagi diberitahu bagaimana suasana pagi esok seperti perlu bangun jam 6.30 pagi (spesifik), sarapan pagi (beritahu menu, biasanya telur separuh masak dan roti), mandi dan pakai uniform lengkap. Gambaran yang jelas ini akan dirakam di dalam minda bawah sedarnya; dan
  • berdoa agar Allah permudahkan segala urusan.
Alhamdullilah dengan izin Allah, kebiasaanya kekecohan di pagi hari persekolahan memang dapat dielakkan kerana aku percaya pagi hari yang ceria amat membantu anak-anak apabila di sekolah. Tips-tips ini juga aku amalkan ketika kami ingin bermusafir di mana-mana dengan memberi gambaran awal suasana perjalanan agar mindanya bersedia dan mengurangkan kerenah sewaktu dalam permusafiran. 

Cuma daddynya yang pertama kali terlibat untuk menghantar anak ke tadika di HARI PERTAMA yang kelihatan agak kelam kabut. Mungkin kerana terlalu gembira kerana sering berada di lautan sebelum ini.

Dialog selepas kembali dari tadika:

Mummy : Macam mana sekolah hari ini? Best tak?

Anak      : Best-best

Mummy : Apa nama cikgu adam, kawan-kawan adam?

Anak      : Entah mana adam tahu. Tadi tangan adam sakit sebab terkena bekas makanan.

Mummy : Ooo ye ke? Kesian anak mummy mesti sakitkan. Adam kuatkan? Nanti mummy ajar ye                      cara nak tutup bekas tu, boleh?

Anak      : Ok mummy. Cikgu rotan tangan adam tadi, adam tak bising pun, tak kacau kawan pun,                        Kenapa cikgu pukul tangan adam?

Mummy : Esok mummy tanya cikgu yer? (ayat memujuk hati anak). Mari mummy bacakan doa kat                    tangan adam minta Allah sembuhkan. 

Bila anak mengadu sesuatu kita sepatutnya mengambil berat kata-katanya kerana perkara yang kecil pada kita itu adalah besar pada mereka. Namun tidak mempercayai membabi buta sebaliknya bersifat matang. Alhamdullilah hari kedua, anakku lebih ceria dan memaklumkan yang dia tidak malu-malu lagi.