Sunday, 2 April 2017

Review Wayang "The Boss Baby"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah selesai bertungkus-lumus ber"spring cleaning" tadi, kami keluar selepas zohor untuk membawa anak kami menonton "The Baby Bos" di TGV Permaisuri Mall, sebagai menunaikan janji dia telah menonton iklan wayang tersebut sebelum ini dan daddynya telah berjanji membawanya menonton. Setakat ini, kami seboleh mungkin akan menunaikan semua janji kepadanya dan jika tidak dapat maka kami akan memohon maaf kepadanya dan menyatakan sebab janji tersebut tidak dapat ditunaikan. Walaupun masih kecil namun kita tidak sewajarnya memandang kecil sebarang janji dengannya.

Panggung memang penuh dan kami dapat 3 tempat terakhir di hadapan sekali. Ceritanya sarat dengan mesej tentang dunia kanak-kanak yang penuh dengan imaginasi terutamanya tentang penerimaan seorang anak tunggal selama 7 tahun terhadap adik lelaki barunya. Betapa sebelum ini, Timothy mendapat sepenuh perhatian daripada kedua-dua ibubapanya namun kehadiran "Baby Boss" mengubah segalanya. Adik baru dianggap sebagai perampas kehidupannya yang sempurna sebelum ini. Namun "Baby Boss" bukan sekadar adik lelaki biasa, dia datang bersama misi. Kita juga sering mengenepikan perasaan anak selepas kita mendapat anak kecil yang baru. Kekadang setiap kesalahan adik sering diletakkan kepada abang/kakak yang dianggap sudah "dewasa", hakikatnya mereka masih lagi dahagakan perhatian kita. Memberontak merupakan jalan termudah untuk menunjukkan protes. 

Bagaimana bayi dilahirkan memang tidak digambarkan dalam situasi sebenar dalam cerita ini sebaliknya bayi dikatakan dihasilkan oleh sebuah syarikat "Babyco". Elemen ini memerlukan bimbingan ibubapa sekiranya anak-anak bertanya untuk mengelakkan salah faham.

Secara keseluruhannya, cerita ini menghiburkan dan menyelitkan mesej yang amat mendalam bahawa "Kasih sayang itu terlalu istimewa dan tidak akan berkurang sekiranya ia dikongsi malah akan lebih menguntungkan. Bak kata "Sharing is caring and caring is loving". Ia juga memberikan panduan kepada ibubapa yang bakal menerima anak baru bagaimana untuk menangani perasaan abang/kakak daripada perspektif si kecil.

Hasil "Spring a.k.a Rejab Cleaning"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Rumah yang telah 3 bulan ditinggalkan perlu dibersihkan luar dalam, rumput dan lalang tumbuh dengan jayanya tanpa sebarang baja. Hari Ahad ini kami membuat keputusan untuk mengemas tempat mainan anak kami yang telah berusia 3 tahun 5 bulan. "Indoor playground" yang telah dibeli 3 tahun lepas tidak lagi relevan. Dulu kami membelinya sebagai satu "kandang" untuk mengawalnya sewaktu aku sedang melakukan kerja rumah, maklumlah kami hanya tinggal berdua sahaja semasa daddynya offshore. Di dalam "kandang" itulah kami melakukan aktiviti bersama sehinggalah anakku telah pandai berjalan jatuh dan pandai membuka pintu "kandangnya" sendiri. Terlalu banyak kenangan, semoga catatan ini dapat membantu anakku mengenang memorinya kelak bersama "indoor playground"nya




Selesai "spring a.k.a Rejab Cleaning", kami berjaya mengumpulkan item-item yang diasingkan kepada 3 kategori, mainan untuk disimpan, mainan untuk disedekah dan mainan untuk dijual. Anakku memang membebel juga sepanjang tempoh kami memilih bersama-sama mainannya, namum setelah dimaklumkan bahawa kita perlu ruang untuk dia bermain dengan kawan-kawan sekolah yang akan datang ke rumah kelak, maka dia bersetuju. Kami juga memberitahu jika dia banyak sedekah mainan, in sha Allah nanti Allah ganti mainan lebih banyak di syurga. Bertambah bersemangat dia mendengarnya. Semoga tertanam dalam minda sedarnya kelebihan bersedekah dengan lafaz niat "Lillahi Taala".

Kami bersetuju memilih 4 item ini untuk dijual di dalam Miri Community. Alhamdullilah dalam tempoh satu jam selepas dimuatnaik di dalam FB Group Miri Community. 3 item telah berjaya dijual, hanya tinggal Baby Rocker jenama Baby Fisher yang masih belum ada pembeli namun telah ada beberapa orang yang bertanya. "Indoor playground" merupakan item paling hangat di tawar menawar. Semoga semua item ini memberi manfaat kepada para pembeli sebagaiman ia telah berjasa kepada kami sekeluarga. Diharap Baby Rocker juga ada pembelinya dalam masa terdekat,aamiin.





Item untuk disedekah juga akan dihantar di hantar kepada mereka yang bertuah, in sha Allah esok. Ia termasuk My First Lego, Vacuum Cleaner, buku-buku kanak-kanak, Islamic Lego, Bowling Set dan Puzzle. Semoga anak-anak yang menerima sumbangan ini kelak dapat merasai kegembiraan sebagaimana anakku. Serta semoga ilmu yang dipelajari oleh anakku melalui buku yang disedekah dapat dipelajari juga oleh anak-anak yang lain, in sha Allah. 

Rezeki Gadis Cilik

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hujung minggu pertama setelah balik Miri setelah bermusafir selama 3 bulan. Kami hanya bersantai dirumah dan hanya keluar untuk berjemaah Maghrib dan Isyak di Masjid At Taqwa yang terletak di tengah bandar Miri kerana bercadang untuk terus makan malam selepas Isyak. Kebiasaannya kami cuma ke Masjid Lutong dalam kariah kami. Semasa ke masjid, aku membaca bersama Buku 7 hari mengingat makna bacaan solat sekiranya ada yang berminat.

Kami sampai ke masjid sewaktu azan Maghrib sedang berkemundang. Masjid tersebut meriah dengan kehadiran ramai jemaah kerana kedudukannya yang berhampiran pusat membeli belah Permaisuri Mall dan ia merupakan malam minggu. Ia merupakan malam warga Brunei memenuhi Bandaraya Miri. Ramai keluarga bersantai namun masih mengutamakan solat, alhamdullilah. Di bahagian jemaah wanita, ramai yang membawa anak-anak kecil. Syukur alhamdullilah telah ramai ibubapa yang membiasakan membawa anak-anak kecil ke masjid. Semoga ia memberi rahmat kepada semua kerana anak-anak ini adalah ahli syurga.

Selesai solat maghrib, aku meletakkan 3 naskah buku yang kubawa di hadapan saf. Sementara menunggu solat isyak, kami beriktikaf di masjid. Anakku telah seperti biasa membawa begnya yang penuh dengan buku-buku pilihannya untuk dibaca semasa menunggu isyak. Alah bisa tegal biasa, anakku tidak lagi berlari-lari di dalam masjid berbanding sewaktu kecil dahulu. Sekurang-kurangnya dia sudah tahu serba sedikit etika di masjid.

Berbalik kepada naskah Cikgu Razali Kamaruddin itu, tidak lama selepas buku tersebut kususun di depan saf, seorang anak gadis cilik membelek salah satu naskah. Aku hanya memerhati tingkahnya yang kulihat amat tekun meneliti buku itu. Beliau kelihatan amat berminat sehingga tidak menghiraukan aku yang memerhatinya. Sedang beliau mentelaah buku itu, muazzin melaungkan azan isyak.

Usai solat isyak, gadis cilik itu terus menyambung urusannya membelek buku tersebut namun kali ini cuma sebentar. Mungkin kerana beliau bergegas pulang. Aku pulang mengambil semula ketiga-tiga naskah tersebut dan bersiap untuk meninggalkan masjid. Semasa aku sedang membuka telekung, gadis tersebut kulihat menjeling ke arah buku tersebut lagi tanpa sebarang kata. Aku terus bertanya, "Kitak minat kah dengan buku tok?" tanyaku dalam dialek Miri. Pantas beliau menjawab dengan anggukan yang pantas, "Auk makcik". "Kitak datang sitok, sorang jak ka?"(Awak datang sini, berseorangan ke?". "Sik, kamek datang ngan bapak kamek". (Tidak, saya datang dengan bapa saya). Aku pun pantas menyerahkan buku tersebut kepada gadis tersebut dengan niat sedekah memandangkan beliau tidak membawa wang dan yang paling penting beliau amat berminat dengan buku tersebut. Kerana kesungguhannya untuk belajar, Allah telah membuka hatiku untuk bersedekah padanya. Semoga ia menjadi ilmu bermanfaat dan sesungguhnya rezeki setiap orang dalam genggamanNya.