Thursday, 30 March 2017

Multi Level Pahala

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Setiap daripada kita pastinya mendambakan balasan pahala namun sememangnya jalannya penuh liku dan ranjau terutamanya untuk bertarung dengan musuh utama iaitu diri sendiri. Nafsu yang diberikan Allah bukan untuk dihapuskan namun untuk diurus agar ia dapat dipacu ke jalan yang diredhaiNya.

Perniagaan sememangya menjanjikan 9 daripada 10 keuntungan sebagaimana hadith Nabi SAW. Namun perniagaan yang tidak akan rugi selama-lamanya adalah perniagaan dengan Allah. Bagaimana menjadi usahawan akhirat? Berjual beli dengan Allah? Atau berjual beli kerana Allah. 

Muamalat dalam Islam amat indah namun ia dicemari dengan pelbagai unsur terutamanya riba yang dibenci Allah. Ilmu Allah amat luas dan tidak mampu dipelajari dan dihuraikan walaupun telah bertahun belajar dan sehingga kini masih belajar. Hakikatnya semakin banyak ilmu baru yang kupelajari semakin jahil diri ini kurasakan. Rupanya maksud ilmu bermanfaat adalah ilmu yang bukan sahaja diamalkan malahan ilmu yang dikongsi bersama. Berkongsi ilmu ini adalah salah satu platform untuk menjadi usahawan akhirat dengan menyemai benihnya di dunia dan menuai hasilnya di akhirat kelak. Keuntungannya tidak dapat dinyatakan di dalam penyata bank dan tidak perlu diaudit serta tidak perlu dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk dicukaikan. Ia juga tidak tertakluk kepada GST. 

Berkongsi ilmu yang berfaedah dan sekiranya diamalkan oleh pendengar/pembacanya maka si penyampai akan mendapat pahala sama seperti pelaku tanpa mengurangkan pahala pelaku walaupun sedikit. Namun si penyampai ilmu WAJIB memahatkan di dalam hati untuk mengamalkan ilmu yang disampaikan dan bukan sekadar menyampaikan untuk mengelakkan sifat munafik. Ya Allah pilihlah kami untuk menjadi salah seorang pengamal dan penyampai ilmuMu untuk manfaat umat Islam khasnya dan seluruh umat manusia amnya. Pilihlah kami untuk syahid ketika menuntut dan menyampaikan ilmuMu  Ya Allah. Tiada pengakhiran sebaik pengakhiran di jalanMu. 

Perkongsian ilmu adalah perniagaan MLM yang tidak terhitung keuntungannya di sisi Allah namun ia penuh dengan ujian sebagaimana janji Allah dalam Surah Al Mulk ayat 2, hambaNya yang terbaik amalnya yang bakal menerima keuntungan berganda di sana. Percaya kepada perkara ghaib salah satu Rukun Iman yang perlu dihadam sepenuhnya kerana keuntungan bersifat ghaib. Tiada rungutan dan keluhan bagi seorang usahawan akhirat kerana majikannya adalah Yang Maha Berkuasa. Marilah bersama-sama merebut tawaran perniagaan ini dan mohon Allah kekalkan kita dalam keikhlasan.


Produk Pengurusan Berat Badan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Aku merupakan Pengedar Bebas Herbalife di kawasan Miri dan aku bersama Kelab Nutrisi Happiness Home, Miri mempunyai misi yang sama iaitu menjadikan gaya hidup sihat satu matlamat kerana Kesihatan Adalah Kekayaan Hakiki. Tiada wang ringgit yang mampu membeli kesihatan. Produk Herbalife telah lebih 30 tahun dalam pasaran dan semakin kukuh dengan pelan pemakanan yang bukan semata-mata berfokus kepada penurunan berat badan namun juga sesuai untuk menambahkan berat badan kerana ia merupakan nutrisi dan bukan produk kurus.

Produk Herbalife yang boleh didapati melalui Pengedar Bebas yang berdaftar sahaja untuk memastikan kualiti produk. Terdapat produk palsu di pasaran yang dijual lebih murah dan boleh dibeli secara atas talian. Untuk mengelakkan anda tertipu, jangan berlengah untuk hubungi 017 370 6530 untuk mendapatkan produk anda serta konsultansi PERCUMA. Kami mempunyai pakej-pakej yang bersesuaian dengan bajet anda. Kesihatan satu pelaburan bukan pembaziran.


Perkhidmatan Mencuci Karpet

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Khas untuk warga Miri, kami menawarkan perkhidmatan mencuci karpet samada karpet rumah, karpet kereta mahupun karpet pejabat. Istimewanya perkhidmatan yang ditawarkan adalah anda TIDAK PERLU MENGHANTAR. Kami akan AMBIL, CUCI dan HANTAR ke lokasi anda tanpa sebarang caj pengangkutan.

Harga yang ditawarkan amat kompetetif. Kami juga turut menawarkan perkhidmatan dobi pakaian serta melipat pakaian tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Jangan berlengah lagi, segera hubungi 017 370 6530 untuk mendapatkan perkhidmatan kami.


Tongkang Pecah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,



Pemandangan di atas adalah pemandangan biasa setiap kali anakku bermain walaupun telah disediakan playground namun setelah pandai keluar sendiri daripada playground maka padang permainannya adalah di ruang tamu. Ini baru anak seorang, bayangkan rakan-rakan yang mempunyai lebih dari seorang maka pastinya suasananya lebih hebat lagi. Bak kata Pakar Kanak-kanak, rumah yang bersepah dengan mainan walaupun baru seminit dikemaskan bermakna kita mempunyai anak-anak yang sihat dan mampu bermain kerana ramai kanak-kanak di luar sana yang diuji dengan sakit yang teruk hingga mereka tidak mampu bermain.

Bermain adalah dunia kanak-kanak dan kanak-kanak belajar melalui bermain. Janganlah disekat keinginan semulajadi kanak-kanak untuk bermain semata-mata kita inginkan rumah yang sentiasa kemas kerana mereka hanya menjadi kanak-kanak SEKALI SEUMUR HIDUP. Mereka bakal tinggalkan kita suatu hari nanti. Jadikanlah zaman kanak-kanak mereka zaman yang penuh kenangan manis untuk seorang kanak-kanak. "Mummy, mainlah dengan Adam" adalah ungkapan yang lebih 10 kali aku dengar dari mulut anakku. Anak-anak kita sememangnya hanya mahu kita meluangkan masa bermain bersama mereka walaupun sekadar bermain laga kepala. Aku akan sentiasa meminta izin anakku sekiranya aku ada urusan untuk dilakukan sekiranya dia mendesak untuk aku bermain dengannya. Setakat ini cara itu amat berkesan bagi membolehkan aku mempunyai ruang masa seketika untuk menyelesaikan beberapa tugasan sebelum aku mendengar " Mummy dah siap kerja?" setiap 5 minit sekali sehingga akhirnya aku mengalah.

Anakku telah dilatih untuk menyimpan semula setiap permainannya selepas selesai bermain seawal umurnya 1 tahun 5 bulan dengan cara menunjukkan cara menyimpan dan dia akan ikut. Lama-kelamaan ia menjadi tabiat semulajadinya yang akan mengemas semula mainan sebaik selesai bermain atau sekiranya diminta berbuat demikian, alhamdullilah. Sesungguhnya menanam rasa bertanggungjawab di awal usia amat penting kerana anak akan berasa mereka berkemampuan. Sememangnya tidak sekemas mana namun yang perlu diraikan adalah usahanya bukan hasilnya. 

Kita sebagai ibubapa bertanggungjawab memberikan permainan yang membina minda anak-anak seperti puzzle, alat binaan seperti lego dan sebagainya kerana ia membantu membangunkan motor kasar dan motor halus mereka yang amat penting ketika ingin dilatih menulis kelak. Buku yang mempunyai sticker dan perlu ditampal juga merupakan salah satu permainan ilmiah yang membantu motor halus kerana mencabut sticker tanpa koyak juga satu kemahiran yang perlu diterapkan. Ia mungkin nampak remeh namun kesannya amat besar. Warnailah dunia anak-anak kita dengan kepelbagaian mainan, bukan harga yang menjadi keutamaan namun kemahiran yang dipelajari dari setiap permainan. Selain itu, aku juga sering meminta anakku menyedekahkan barang permainan lama yang masih elok untuk memupukkan rasa berkongsi dan mengelakkan rasa keakuan jika dibiarkan berterusan.

Menyukat cinta kita

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Berikut abstrak daripada majlis ilmu pada 11 Julai 2013 bersamaan 2 Ramadhan 1435H Pakar Motivasi Keluarga Dr Robiah K Hamzah.

  • Sukatlah cinta kita kepada Pencipta, utusanNya, keluarga dan diri sendiri;
  • Tanya diri sendiri jika kita LEBIH TAKUT hilang harta, hilang jawatan, hilang keluarga daripada hilang cinta Allah;
  • Adakah cinta keluarga atas perintah Allah atau sebab balasan atau pujian?;
  • Adakah kita ingin membawa keluarga ke syurga hakiki?'
  • Adakah anak kita telah diajar mencintai Rasullulah saw?;
  • Adakah cinta anak kepada kita kerana Allah?;
  • Adakah anak saham akhirat kita?;
  • Sudahkah kita mencintai alam kubur/ alam barzakh?.
Sesungguhnya jawapan ikhlas ku kepada setiap soalan di atas adalah "Aku sendiri tidak pasti namun aku sedang berusaha memperbaiki diri dan keluarga walaupun sering tersasar daripada matlamat." Ya Allah pimpinlah hati-hati kami untuk tetap dan istiqamah di jalanMu. 

  • Bangunkan syurga dalam hati dan keluarga;
  • Diri kita dan keluarga adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan kelak;
  • Jadikan rumah kita sebagai benih-benih syurga Allah;
  • Bangunkan cinta kepada malaikat dalam keluarga.
Renung-renungkan dan muhasabah diri agar sentiasa sedar bahawa hakikat sebenar dunia ini adalah sementara dan medan ujian untuk alam yang kekal abadi. Nasihat ini untuk diriku sendiri yang penuh aib dan kelemahan.

Hebatnya cinta Allah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Tiada cinta sehebat cinta Allah walaupun pelbagai cerita-ceita cinta hebat yang sering kita dengar seperti cinta hebat Shah Jehan mahupun Mohabattein. Nikmat Allah terlalu banyak sepertimana dinyatakan dalam Surah Ar Rahman. Cinta manusia tidak kekal, tidak tulen dan bersifat "plastik". Allah mempunyai 100 rahmat dan Allah cuma turunkan 1 rahmat dan menyimpan 99 lagi rahmat untuk orang-orang yang beriman. Bagi yang sedang menerima ujian, ramai termasuk aku yang tidak dapat baca hikmahNya dan asyik mengeluh sedangkan kita lupa bahawa ujian Allah jua adalah satu nikmat.

Nikmat musibah adalah untuk menambahkan kesabaran dan meningkatkan daya ketahanan diri. Jangan mengeluh kerana ia mungkin menyebabkan kita tidak redha dengan Allah. Disebalik setiap musibah adalah supaya kita lebih dekat dengan Allah. Satu langkah kita mendekatiNya, 1000 langkah Allah mendekati kita. Setinggi mana cinta kita tidak mampu menyaingi cinta Allah. 

Hadith Nabi Saw : Akan tiba zaman di mana manusia lebih suka 5 benda dari benda lain iaitu:-

  • menyayangi makhluk melebihi menyayangi Allah;
  • menyayangi harta/makhluk melebihi perhitungan/hisab Allah;
  • mencintai dosa melebihi taubat;
  • mencintai dunia melebihi akhirat; dan
  • menyukai rumah yang besar hingga lupa rumah terakhir/kecil (kubur)
Semoga Allah pelihara kita semua daripada perkara di atas. Lazimkan ucapan Alhamdullilah di mulut dan serapkan ke hati agar cinta Allah kekal pada kita semua. Jangan sampai kita semua hilang cinta Allah, nauzubillahimin zalik.


Kampung Budaya Sarawak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Bagi sesiapa yang mempunyai masa yang singkat namun ingin mempelajari sebanyak mungkin ingin mengetahui berkenaan budaya masyarakat Sarawak yang berbilang bangsa dan kaum, maka lawatan ke Kampung Budaya Sarawak adalah wajib. Bagiku dan suami, ini merupakan lawatan kali kedua, dan kali pertama untuk anak kami pada bulan Disember 2014. 

Di dalam Kampung Budaya ini, bukan sahaja terdapat rumah-rumah tradisi pelbagai kaum di Sarawak malahan setiap rumah menyediakan persembahan dan makanan masing-masing yang dicuba dan dirasa secara percuma. Namun ada beberapa permainan yang dikenakan sedikit bayaran minima seperti permainan sumpit. Suamiku tidak terkecuali mencuba skil menyumpit.

Kawasannya amat luas dan memerlukan lebih separuh hari lawatan sehingga kita dapat menyaksikan persembahan kebudayaan di akhir lawatan. Kemudahan surau dan kedai makanan juga turut tersedia di dalam kawasan Kampung Budaya. Kerana terlalu teruja dengan pelbagai tarikan, kita tidak terasa masa yang berlalu dan perut juga turut terisi dengan makanan percuma di setiap rumah tradisi. In sha Allah jika diizinkan Allah ingin kembali ke sini apabila anakku telah besar agar beliau lebih menghayati kepelbagaian budaya sementara kami masih diizinkan untuk bermastautin sementara di bumi Sarawak ini.









Pelayaran Islamik 4.0

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Syukur ke hadrat IIlahi dengan kurniaanya yang tidak pernah putus kepada kami sekeluarga. Pada bulan Mac 2015, kami telah berkesempatan mengikuti Pelayaran Islamik 4.0 dengan destinasi Pulau Pinang - Phuket - Krabi bersama para asatizah seperti Datuk Dr Prof Muhaya, Ustaz Haslin a.k.a Ustaz Bollywood, Ustaz Norhisham Tuan Padang dan Imam Muda Asraf. Niat asal ingin menaiki pelayaran Islamik bersama Datuk Ustaz Kazim Elias namun perancangan Allah lebih baik, berpeluang menimba ilmu dengan 4 orang asatizah hebat. Sesungguhnya perancangan Allah sentiasa yang terbaik.

Kami berpeluang menaiki pelayaran Islamik ini bersama-sama kedua-dua ibubapaku yang dikurnikan kesihatan untuk turut serta. Pelayaran ini sepatutnya menggunakan Kapal Virgo namun atas sebab yang tidak dielakkan telah ditukarkan ke Kapal Libra yang lebih kecil. Ini menyebabkan peserta mempunyai lebihan bayaran kerana saiz kapal yang lebih kecil termasuk kami. Lebihan bayaran tidak dipulangkan dalam bentuk tunai namun dalam bentuk token untuk dibelanjakan di atas kapal. Bagi kami pertukaran kapal ini tidak memberi kesan namun satu hikmah kerana kini kami mempunyai wang untuk berbelanja di atas kapal persiaran mewah ini. Ini merupakan pengalaman pertama kami menaiki kapal persiaran mewah dan mungkin juga yang terakhir. 

Jadual dalam pelayaran tidak terlalu padat namun penuh pengisian yang bermanfaat. Kebanyakan peserta adalah dalam lingkungan umur 30 tahun ke atas sehingga ke warga emas. Pakej yang diberikan turut termasuk sehelai sejadah tebal, 2 helai T-shirt untuk dipakai semasa lawatan luar bagi memudahkan pengecaman kerana jumlah peserta yang ramai. Di Phuket kami telah singgah ke sebuah masjid yang dibina sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai dan disediakan makan tengahari secara gotong-royong. Ukhwah masyarakat Islam di sini amat rapat kerana jumlah mereka yang bersifat minoriti. 

Di Krabi, suasana yang amat panas menyebabkan ibuku tidak turut sama dalam lawatan luar. Suasana pantai di Krabi menyebabkan kehidupan malam di sana hidup dengan pelbagai macam hiburan yang biasa menghanyutkan nafsu jika tidak dibendung. Jadi kami membuat keputusan untuk pulang ke kapal lebih awal berbanding tinggal di pantai Krabi. Pilihan di tangan masing-masing.











Pesta Babulang 2015

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Kali ini aku nak berkongsi berkenaan Pesta Babulang kaum Bisaya yang berlangsung di Limbang, Sarawak. Pesta ini adalah bagi meraikan Pesta Menuai oleh Kaum Bisaya. Kami memang berminat untuk mengetahui budaya-budaya tempatan terutamanya di Sarawak yang penuh dengan etnik pelbagai bangsa namun disatukan dengan kesatuan hati. Satu keluarga besar dengan pelbagai kepercayaan dan pegangan hidup boleh hidup dengan harmoni. Kami sekeluarga berpeluang menyaksikan Pesta Babulang untuk kali pertama pada tahun 2015. Untuk tahun 2016, kami tidak dapat menyaksikannya kerana pesta diadakan semasa bulan Ramadhan.

Semasa berlangsungnya pesta ini, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk Lumba Kerbau, pertandingan Kereta Kerbau Berhias, pertandingan masakan tradisional, pertandingan Ratu Cantik serta gerai-gerai yang menjual makanan tempatan. Terdapat juga khemah khas yang didirikan untuk setiap kampung bagi mempromosikan makanan kampung masing-masing. Pertandingan kampung ini juga disediakan. Apa yang mengagumkan adalah penduduk pelbagai peringkat umur turut terlibat dan golongan muda juga tidak ketinggalan. Budaya seperti ini telah semakin pudar di bandar-bandar besar terutamanya di Semenanjung di mana ramai anak muda lebih gemar meniru budaya barat.

Pakaian tradisional yang digayakan oleh Kaum Bisaya ini juga amat menarik namun tiada rezeki untuk membeli kerana tiada saiz untuk anakku. Tujuan kami adalah untuk anak kami merasi sendiri pengalaman melihat kerbau secara langsung dan cuaca panas terik tidak menghalang keseronokan menyaksikan keunikan pesta tersebut.

Kami menetap di Hotel Purnama yang terletak di Pekan Limbang yang jaraknya dalam 15 km ke Kampung Danau di mana pesta berlangsung. Semoga kami berkesempatan untuk menyaksikan Pesta Babulang 2017.