Tuesday, 28 March 2017

Dilema Memilih Tadika

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Impian untuk menjadikan zuriat kami Al Hafiz di awal usia serta seorang daie yang dapat mengembangkan agama Islam, pemilihan tadika merupakan salah satu faktor utama yang perlu diberi penekanan. Memang aku mengajar anakku di rumah namun bukan sepenuhnya kerana setakat ini anakku anak tunggal maka untuk meningkatkan kemahiran sosialnya aku perlu menghantarnya ke tadika untuk separuh hari. Memandangkan tiada Al Baghdadi Playtime Centre (APC) di Miri maka pilihan terdekat adalah Tadika PASTI.

Alhamdullilah cawangan Tadika PASTI yang keenam baru dibuka di taman kami, maka tadi aku telah ke sana untuk bertanya berkenaan yuran dan sebagainya. Apabila ditanya kepada anakku di mana dia mahu bersekolah, katanya tiada APC di Miri jadi tidak perlu ke sekolah. Tapi setelah diterangkan yang untuk pandai perlu belajar maka dia cakap hendak ke Bintang Comel iaitu taska pertamanya di Miri sewaktu aku masih bekerja dahulu. Semalam sebelum tidur aku bercerita tentang kisah seorang pelajar tahfiz yang meninggal dunia dalam kebakaran di asrama sekolahnya, walaupun badannya rentung keseluruhan namun Allah telah memelihara otaknya kerana beliau seorang tahfiz. Cerita itu berjaya menarik minat anakku untuk bersetuju memilih Tadika PASTI kerana aku maklumkan bahawa di Bintang Comel tiada pengajian Al Quran kerana ia taska kepunyaan bukan Muslim.

Walaupun usia anakku baru 3 tahun 5 bulan, namun aku sering memberinya peluang membuat keputusan bagi membina keyakinan dirinya. Semestinya aku tidak menyerahkan bulat-bulat keputusan kepadanya kerana sekiranya keputusan yang dibuat tidak bersesuaian aku akan menerangkan kenapa keputusannya tidak dapat diterima. 

Anakku juga nampaknya tertarik dengan uniform PASTI yang berwarna hijau apabila dia berkesempatan mencuba uniform untuk menentukan saiznya. In sha Allah bulan April 2017, dia akan memulakan pengajian separuh hari di Tadika PASTI Ar Rayyan, Miri. Sesungguhnya semua adalah ketentuan Allah dan aku hanya mampu berusaha dan berdoa. Pembelajaran di sekolah sahaja tidak mampu menjamin keberkesanan pembelajaran jika tiada sebarang kesinambungan di rumah. Sebagai ibubapa, kita perlu meluangkan masa untuk memperkukuhkan setiap yang dipelajari di sekolah kerana menuntut ilmu tidak terhad di sekolah sahaja. Alhamdullilah hari ini diizinkan untuk mengaplikasikan ilmu Neurofisiologi NADI Al Baghdadi untuk membantu anakku menghafaz satu lagi ayat Surah An Naba' iaitu ayat 13, walaupun hanya satu ayat namun yang penting usaha menghafal diteruskan. Ya Allah izinkan kami untuk terus bersama Al Quran setiap masa.

Doa memasuki bulan Rejab 1438H

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

In sha Allah esok (29 hb Mac), kita akan memasuki salah satu bulan haram dalam Islam iaitu bulan Rejab yang secara kiraan Islamnya telah bermula selepas solat asar hari ini. Hadith Nabi saw telah menyatakan bahawa Nabi saw telah membacakan doa berikut:



Beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rejab termasuk Israk dan Mikraj yang terjadi pada 27 Rejab dimana semasa peristiwa tersebutlah solat 5 waktu difardukan. Selain itu, Perang Tabuk juga terjadi dalam Bulan Rejab. Umat Islam juga digalakkan berpuasa dalam bulan Rejab.

Memasukki bulan Rejab juga bermakna berbaki 59 hari untuk kita bertemu dengan tetamu yang dinanti-nantikan iaitu bulan Ramadan Al Mubarak. Semoga kita ditemukan sekali lagi dengan bulan yang penuh baraqah ini. Beberapa tahun kebelakangan ini, kuperhatikan bahawa terdapat beberapa saudara serta kenalan yang telah dijemput IIlahi beberapa hari sebelum Ramadan, Ya Allah, temukanlah aku dengan Ramadan kali ini Ya Allah dan janganlah engkau jadikan ia Ramadanku yang terakhir,

Puasa gantiku telah kuselesaikan sebaik sahaja selepas Syawal tahun lepas kerana menjadi kebiasaanku untuk berbuat demikian bagi mengelakkan aku terlupa. Namun aku tetap akan cuba untuk berpuasa beberapa hari dalam bulan Rejab dan Syaaban bagi menampung sebarang kekurangan. Semoga semua amalan kita diterima Allah.