Friday, 24 March 2017

Amalan Sunnah Hari Jumaat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Pada hari Jumaat yang mulia ini, bersama-samalah kita mengamalkan sunnah Nabi Saw sebagai salah satu tanda kita menyayangi Baginda. Selain sunnah di atas, kita juga digalakkan memotong kuku dan bulu kemaluan di hari Jumaat serta memperbanyakkan bersedekah. Bagi diriku, masih belum istiqamah membaca surah Al Insan dan Surah Sajadah, hanya membaca 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah Al Kahfi sahaja itupun belum masih belum di hafaz. Maafkan hambaMu yang sering bertangguh ini seolah-olah aku menongkat dunia. 

Tanda cinta dan sayang pada Rasullulah saw sememangnya perlu dizahirkan kerana tidak beriman seseorang itu sehingga ia mencintai Rasullullah saw lebih daripada dirinya. Ya Allah terlalu jauh diriku dari KPI Mu Ya Allah, aku sering terbabas walaupun sering menyanyikan lagu Tangisan Sepohon Tamar. Betapa kerasnya hatiku sebagaimana lirik lagu itu. Seorang Rasul mulia yang menyayangi umat Baginda walaupun tidak pernah bersua muka. Hadirnya untuk menyempurnakan akhlak dan tiada "role model" selain baginda. Aku masih bertatih mengajar anakku mengenali mu Ya Rasullulah saw kerana diri ini juga hanya di mulut merindui mu wahai kekasih Allah namun hatiku masih keras. Semoga dengan asbab mengamalkan sunnah-sunnahmu dapat memasakkan cinta kami pada mu Ya Rasullulah saw.

Niatku ingin menulis blog juga antaranya untuk belajar menyampaikan ajaranmu Ya Rasullulah saw, bukan kerana aku telah sempurna namun kerana aku juga sedang bertarung membersihkan diriku. Bak kata Ustaz Pahrol, kita mengajak orang ke arah kebaikan seolah-olah tangan yang kotor sedang membasuh pakaian. Akulah tangan yang kotor itu, yang tidak sempurna itu. Hanya rahmat Allah yang memisahkan kita kerana tiada amalan yang menjamin kita ke syurga. Jangan dipandang hina seorang pendosa kini kerana mungkin di pengakhiran hidupnya Allah telah pilih beliau ke syurga. Seperti kisah seorang penganut tegar agama Kristian yang ditakdirkan menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa jam melafazkan syahadah, sesungguhnya hidayah itu milik mutlak Allah. Tiada kehilangan yang paling besar dalam hidup ini selain kehilangan rahmat dan kasih sayang Mu Ya Allah.

Perginya sebutir bintang seni

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Pagi ini, kita dikejutkan dengan berita kematian Komposer Johan Nawawi pada pukul 6.20 pagi. Kembalinya kepada Pencipta adalah pada penghulu segala hari iaitu Jumaat yang mulia. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan dimasukkan ke dalam JannahMu tanpa hisab. Sesungguhnya mati itu pasti dan Ustaz Dasuki sering mengatakan bahawa apabila berlaku kematian sememangnya waris akan terkejut terutamanya jika kematian yang bersifat mengejut tanpa sebarang tanda namun sebenarnya si mati itu lebih terkejut kerana kini segala yang telah disampaikan oleh Rasullah saw dan diceritakan dalam Al Quran dan Hadis sedang di alami oleh si mati. Ya Allah, ambillah nyawa kami ketika kami redha denganMu dan Engkau redha dengan kami dan janganlah Engkau ambil nyawa kami sebelum Engkau menerima taubat kami.

Menurut isterinya, arwah hanya mengalami demam biasa sahaja dan beliau tidak menjangka bahawa suaminya akan pergi untuk selama-lamanya. Itulah namanya ajal. Ustaz pernah berkata, jika seseorang lelaki itu ingin mengetahui samada dia adalah suami yang baik atau sebaliknya, tanyalah kepada isterinya dan ternyata arwah sememangnya seorang suami dan ayah yang baik sebagaimana kata isterinya dan tiada pengganti sebaiknya. Semoga Allah memberi kekuatan kepada Nora dan keluarga serta meneruskan legasi beliau yang banyak menghasilkan karya-karya bercorak kerohanian terutamanya lagu makna Al Fatihah yang menjadi siulan anak-anak kecil. Semoga ia menjadi pencen kubur beliau yang berpanjangan.

Hargailah pasangan kita setiap masa kerana kita tidak tahu berapa lama lagi Allah pinjamkan dia untuk kita. Jodoh kita telah tertulis di Luh Mahfuz dan sememangnya jodoh yang terbaik diberikan Allah walaupun kita sering berbeza pendapat kerana yang berbeza itulah perlu dilengkapi oleh pasangan. Bagi pasangan yang tinggal berjauhan, hargailah kualiti masa bersama-sama walaupun singkat kerana hakikatnya walaupun duduk serumah namun tiada komunikasi maka ia tidak bermakna. Hubungan suami isteri adalah hubungan jiwa bukan hanya hubungan fizikal. Pastinya kita bermatlamat untuk terus bersama hingga ke JannahNya dan sebaik-baik suami adalah yang memelihara dirinya dan ahli keluarganya dari panas api neraka.


Kembara Ilmu Mac 2017

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hari ini (24 Mac 2017), maka selesailah trip Pantai Timur kami hasil tangkapan semasa MATTA Fair 2017. Kami bertolak meninggalkan Colmar Tropicale, Bukit Tinggi pada pukul 9 pagi selepas selesai menikmati sarapan pagi di Le Baron. Perjalanan menuju ke Kuala Lumpur sekali lagi diiringi oleh hujan renyai-renyai dan disusuli hujan lebat sebagaimana sewaktu kami memulakan perjalanan pada hari pertama trip ini. Semoga hujan yang turun membawa rahmat ke sekalian alam. Anakku telah dilatih untuk membaca doa " Allahuma Soiyibban Nafia'" setiap kali hujan turun. 

Perjalanan kami diteruskan ke UTM Jalan Semarak memandangkan suami perlu membuat beberapa urusan berkenaan pengajian beliau. Setelah selesai lebih kurang jam 11.00 pagi kami menuju ke Herbalife Distribution Centre di Jalan Raja Chulan. Aku adalah pengedar bebas Herbalife dan pengguna tegar sejak April 2016. Kisahnya akan aku kongsikan dalam entri akan datang. Selesai mengambil pesanan di Herbalife, kami meneruskan perjalanan ke Prima, Seri Gombak kerana esok dan lusa kami akan menghadiri pengajian masing-masing. Suami akan ke UTM di Bangi manakala aku dan anakku akan menghadiri Kursus Teknik Perunding NADI Al-Baghdadi di Prima Seri Gombak. Semoga Allah memberkati permusafiran kami untuk menuntut ilmuNya dan yang paling penting mengamalkan segala yang dipelajari dengan izinNya. Kami tinggal di SOHO Hotel yang sebaris dengan Ibu Pejabat Al Baghdadi. Aku membuat keputusan menyertai kursus ini setelah melihat keberkesanan teknik tersebut ke atas anakku walaupun dalam tempoh yang singkat. Semoga Allah izinkan aku mengajar anakku serta rakan-rakannya di Miri memandangkan masih tiada cawangan Al Baghdadi Playtime Centre di Miri. Aku dimaklumkan bahawa sesi kursus kali ini akan dikendalikan oleh pengasas teknik ini sendiri iaitu Ustaz Jalaludin.

Aku sering mendengar bahawa untuk mencari akhirat perlu dengan ilmu begitu juga dengan dunia, alhamdullilah Allah telah memudahkan setiap perjalanan kami dalam menuntut ilmu. Ya Allah sekiranya ajal kami diambil ketika dalam perjalanan menuntut ilmu maka jadikanlah pengakhirannya sebagai mati syahid. Ya Allah terlalu banyak nikmat yang Engkau kurniakan kepada pendosa ini yang acapkali merungut dan mengeluh. Perjuangan melawan nafsu liar dalam diri merupakan jihad yang paling sukar bagiku. Aku sering tergelincir dalam perjalanan ini terutamanya semasa mengamalkan ilmu yang Kau izinkan aku mempelajarinya. Aku berniat untuk mengamal dan menyampaikan ilmuMu  Ya Allah namun keyakinan diriku sering tergugat. Ya Allah izinkan aku, bantulah aku, pimpinlah aku Ya Allah. Jika aku berniat menjadikan anakku seorang hafiz maka aku juga perlu menjadi hafizah kerana aku adalah madrasahnya. Sesungguhnya aku perlu berubah dan berhijrah semata-mata keranaNya, hati yang keras ini kumohon agar Engkau lembutkan sebagaimana Kau lakukan pada Saidina Umar Al-Khattab, pilihlah kami Ya Allah. 
Teknik Hafazan Neurofisiologi