Monday, 20 March 2017

Hutang

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan Salam sejahtera,


Sememangya hutang di masa kini sukar untuk dipisahkan namun hutang juga ada 2 jenis iaitu hutang yang baik seperti hutang rumah manakala hutang kad kredit adalah hutang yang seboleh mungkin cuba dielakkan. Mempunyai kad kredit kadang-kala menjadi satu keperluan terutamanya untuk kami yang sering kali membeli tiket penerbangan melalui atas talian yang lebih mudah menggunakan kredit kad berbanding perbankan internet. Hutang wajib dicatatkan walaupun hutang sesama suami isteri, ibubapa dan adik beradik yang sering dipandang sebelah mata dengan alasan bersaudara. 

Rasullulah saw pernah pada satu ketika tidak jadi mengimamkan solat jenazah salah seorang pengikutnya setelah mendapati bahawa si polan mempunyai hutang. Sebegitu sekali amaran kepada seseorang yang masih berhutang. Tambahan bagi yang berhutang tanpa niat untuk membayar. Kewajiban menunaikan hutng melebihi tuntutan menunaikan umrah dan haji kerana roh orang yang berhutang tidak akan diterima. Hutang WAJIB dibayar walaupun tidak dituntut oleh pemiutang. 

Selain itu, kita juga WAJIB menunaikan segala hutang ibadah seperti solat yang sebelum ini culas serta puasa yangyuk semenjak akil baligh. Ya Allah janganlah kau tarik nyawaku sebelum aku selesai melunaskan segala hutangku Ya Allah. Bantulah aku Ya Allah kerana orang yang bebas dari hutang adalah orang yang benar-benar kaya dan bebas jiwanya.

Trip Pantai Timur - Hari Pertama

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Seperti entri sebelum ini, hasil tangkapan di MATTA Fair, pakej pertama adalah penginapan 2 hari 1 malam di Bukit Gambang Resort berjumlah RM238 yang meliputi 1 bilik Studio Suite, sarapan untuk 2 orang dan 2 tiket dewasa untuk "Safari Park" dengan tambahan RM28 untuk 1 tiket kanak-kanak bagi "Safari Park". 

Perjalanan daripada Bangi diiringi dengan hujan lebat bermula jam 10 pagi. Lalulintas di MRR2 masih sesak namun tidak seperti hari-hari biasa kerana musim cuti sekolah namun hujan lebat menyebabkan traffik agak perlahan. Perjalanan menjadi semakin lancar di LPT dan anakku yang pertama kali menjejakkan kaki ke Pantai Timur amat teruja sehingga asyik bertanya "Kita dah sampai ke mummy" setiap 10 minit sehingga akhirnya dia tertidur setelah berhenti mengisi minyak di RnR Bentong. Sepanjang perjalanan, seperti biasa aku akan memasang "USB Player" yang mengandungi ayat-ayat lazim dan nyanyian doa serta nasyid untuk halwa telinga kami sekeluarga. Disebabkan telah menjadi kelaziman, maka kebanyakan doa-doa serta nasyid dan zikir-zikir tersebut telah menjadi siulan anakku yang berusia 3 tahun 4 bulan. Semoga ia kekal dalam ingatannya dan terus menjadi amalannya. Ya Allah lindungilah anakku dan tetapkanlah hatinya dan akidahnya.

Kami juga selalu menggunakan masa bermusafir untuk membolehkan zuriat kami belajar tentang ilmu pemusafiran dengan perancangan masa terutamanya berkenaan menepati masa solat. Perjalanan sejauh 240 km tersebut memakan masa hampir 5 jam kerana hujan lebat. Sesampai di Plaza Tol Gambang, azan zohor bergema dan kami terus berhenti untuk menunaikan panggilanNya. Kami berusaha untuk memastikan kami tidak melewat-lewatkan solat dengan sentiasa berniat untuk solat di awal waktu, In sha Allah dengan izinNya, Setelah selesai solat kami meneruskan perjalanan dan berhenti untuk makan tengahari di sebuah warung bersebelahan Pejabat Pos Gambang, harganya murah RM12 (untuk 3 orang) nasi campur.

Sebaik tiba di Bukit Gambang Resort kami terus mendaftar masuk namun tidak masuk ke bilik sebaliknya terus ke "Safari Park" memandangkan jam telah pukul 3.00 petang. Aktiviti di "Safari Park" sememangnya penuh dan menarik. Antaranya "Animal Feeding" untuk arnab dan kambing, bermain dengan anak Singa Putih yang berusia 3 bulan, pertunjukkan burung, Persembahan tarian api dan pertunjukan "Tarzan". Kemudahan surau yang disediakan di "Safari Park" juga memudahkan untuk menunaikan tanggungjawab padaNya tanpa perlu balik ke bilik hotel. Alhamdullilah diizinkan juga menunaikan solat secara berjemaah. Aktiviti di "Safari Park" selesai jam 8.45 malam dan terus menaiki trem ke blok penginapan. 

Turun dari trem terus ke "Coffee House" untuk mengisi perut. Selesai makan baru perasan yang kami tersalah blok, sepatutnya kami turun di Blok Carribean sebaliknya kami telah turun di Blok Arabian, penangan terlalu teruja di tambah dengan perut yang lapar. Dengan itu selepas makan terpaksalah menapak ke blok kami, alhamdullilah anggaplah ia sebagai satu senaman selepas makan lewat malam. Alhamdullilah diizinkan juga mengemaskini blog agar ia menjadi satu tabiat meluangkan sedikit masa setiap hari seperti saranan puan guru (Pn Masayu Ahmad).



Sanah Helwah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Tepat jam 6.04 pagi ini "ringing tone" Alhamdullilah yang dikhaskan untuk emak dan abah bergema di bilik hotelku di Best View Hotel Bangi, panggilan daripada emak yang kucintai untuk mengucapkan "Selamat Harijadi" untuk anaknya yang kini telah berusia 41 tahun. Begitulah kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah berkurang walaupun umur anaknya telah memasuki fasa 4 series. Mak cakap tiada hadiah cuma doa dari emak yang mengiringi harijadiku. Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibubapaku, kasihani dan sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangi dan memeliharaku sejak kecil dan masukkanlah mereka ke dalam JannahMu tanpa hisab. Tiada hadiah yang lebih istimewa daripada doa seorang ibubapa yang merupakan wali-wali dari syurga.

Umur 40 telah disebutkan dalam Al-Quran yang membayangkan bahawa Allah telah memberi amaran agar hambaNya yang diizinkan untuk mencecah usia tersebut agar meningkatkan amalan kepadaNya. Ya Allah bagaimana dengan amalanku yang sememangnya sedikit dan hambaMu yang serba lemah ini tiada apa-apa tanpa lindungan rahmat dan kasih sayangMu. 

Di usia ini memang tiada hadiah yang diharapkan dan setiap tahun sememangnya aku sentiasa berniat untuk memberi semasa harijadiku terutamanya kepada ibubapaku dan tahun ini merupakan tahun pertama aku hidup tanpa pendapatan tetap sejak tahun 1997. Pendapatan sebagai usahawanita yang baru setahun jagung sememangnya hanya "breakeven" setakat ini agak menggusarkanku, namun pengaduanku kepadaNya yang Maha Kaya memungkinkan kelaziman ku diteruskan walaupun emak dan abah tidak pernah meminta. Malah Allah itu sememangnya Maha Mendengar kerana aku juga diizinkan untuk memberi hadiah a.k.a bersedekah kepada orang asing setelah mendapat tiket "Safari Park" Bukit Gambang Resort percuma sempena harijadiku pada hari ini. Sedekah yang terbaik adalah kepada orang yang kita pasti bahawa dia tidak akan dapat membalasnya sebagai salah satu cara memupuk ikhlas dalam diriku. Selain itu, aku berniat memberi hadiah kerana mengikuti amalan sunnah Nabi S,A.W yang gemar memberi hadiah.

Selain itu, ucapan "selamat harrijadi" dari rakan-rakan sekolah serta seuniversiti yang hanya berhubung sekali-sekala kerana kami sememangnya kurang menggunakan media sosial. Padaku sahabat sejati tidak perlu bermesej dan ber"whatsapp" sepanjang masa namun ingatan dan doa sentiasa tidak lekang di hati. Doa kepada sahabat tanpa beliau mengetahuinya pasti akan dimakbulkan Allah. Ya Allah temukan kami di syurgaMu Ya Allah walaupun kami amat jarang bertemu di dunia nyata mahupun di dunia maya.
Sedekah tiket percuma pada orang asing