Sunday, 19 March 2017

Bengkel Teknik FATABA

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Kali ini aku ingin berkongsi berkenaan majlis ilmu seterusnya berkenaan Teknik Faham Al Quran Tanpa Asas Bahasa Arab (FATABA) dan Bengkel Memperbaiki Solat yang disampaikan oleh Puan Rasyiqah dari Putrajaya yang kujemput khas ke Miri. Beliau berkongsi teknik yang diasaskan oleh Dr Nadiyah Elias salah seorang pensyarah di UUM juga pengasas Yayasan Nusrah di Jitra. Sebagai peserta yang pernah mengikuti bengkel tersebut serta tidak mempunyai asas Bahasa Arab, aku dapati teknik ini sangat mudah diaplikasikan dan dikuasai dalam masa yang singkat. Sehubungan itu, aku membuat keputusan untuk menjemput Puan Rasyiqah dan beliau bersetuju memandangkan beliau juga mempunyai saudara yang menetap di Miri. Maka ia menjadi pakej musafir 2 dalam 1, menyampaikan ilmu disamping menyambung silaturrahim.

Bengkel ini dibuat selama 3 hari berturut-turut di 3 lokasi berbeza untuk kemudahan penduduk di Miri. Alhamdullilah sambutan yang diberikan memberansangkan termasuk dari peserta luar Miri seperti Brunei. Ramai yang menghafal Al-Quran namun bacaan tidak mampu menyentuh hati kerana tidak faham dengan makna ayat-ayat cinta Allah yang dibaca. Alhamdullilah, aku juga telah menjadi salah seorang Trainer Bengkel FATABA hasil bimbingan Puan Rasyiqah. In sha Allah bengkel di Miri akan diteruskan semula setelah terhenti sementara atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Niatku agar ilmu yang dipelajari dapat digunakan untuk manfaat semua. Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang diamalkan dan disampaikan kepada khalayak. Semoga Allah menerima amalanku yang amat sedikit ini.

Al Baghdadi Playtime Centre (APC) Meru Perdana

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hartaku yang paling bernilai yang menjadi inspirasi utama untuk aku menjadi SAHM ("Stay At Home Mom") adalah zuriat yang telah 11 tahun kami nantikan. Liku-liku usaha semasa kami berTTC ("Trying To Conceive") terasa terlalu ringan setelah dikau dilahirkan wahai anakku. Sesungguhnya Allah itu telah mengaturkan waktu terbaik untuk kami bergelar "Mummy and Daddy". Terima kasih Allah di atas anugerahMu ini. Ketika aku menyatakan hasrat ingin berhenti kerja untuk menjaga anak, pelbagai persepsi kuterima. Anak baru seorang sudah mahu berhenti kerja? Ya kerana anakku seorang (setakat ini, semoga dikurniakan lagi zuriat) di usiaku yang telah mencecah 4 series maka niatku semakin bulat kerana jika yang seorang inipun aku tidak mampu didik menjadi saham akhirat maka aku telah mengkhianati tanggungjawab yang telah Allah berikan kepadaku. Aku tabik kepada wanita-wanita hebat yang masih bekerjaya atau surirumah yang dikurniakan zuriat lebih dari seorang kerana puan-puan memang wanita hebat berbanding aku yang kurasakan mendidik anak yang baru berusia 3 tahun 5 bulan ini lebih sukar kerana aku perlu mendidik diriku dahulu yang ternyata banyak kekhilafan.Ya Allah perbaikilah segala urusan berkaitan zuriat keturunan kami.

Berbalik kepada APC Meru Perdana, semasa aku dikampung menjalani beberapa siri kursus, kami telah membuat keputusan untuk mendaftarkan zuriat kami ke APC dengan niat agar beliau dapat mempelajari ilmu Al Quran walaupun singkat. Alhamdullilah walaupun hanya sekejap (15 Jan hingga 17 Mac), namun zuriat kami berjaya menghafal  Surah An-Naba' ayat 1-10 dan paling mengagumkan hafazan boleh ditebuk-tebuk di mana-mana ayat dan berlaku secara santai. Zuriatku juga berjaya di ajar menulis huruf-huruf rumi dengan baik. Dua wanita hebat yang besar jasanya pada kami sekelurga adalah Umi Sha (pemilik APC Meru Perdana) dan Ustazah Husna, hanya Allah sahaja mampu membalas jasa kalian. Kaedah Al-Baghdadi amat berkesan dan aku amat mengesyorkan dan semoga niatku untuk menyambung usaha Umi Sha dan Ustazah Husna di Miri kelak dimakbulkan Allah kerana di Miri masih belum ada cawangan APC.



MATTA Fair 2017


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah semalam (18 Mac 2017), selepas mengambil suami di KLIA dan COD 5 kotak Safety Shoes kepada rakan suami di Putrajaya kami meneruskan perjalanan ke PWTC menaiki LRT untuk ke MATTA Fair. Kami berdua memang suka berjalan-jalan a.k.a melancong sejak belum dikurniakan zuriat lagi. Namun kami hanya melancong dalam negara sahaja kerana pada kami kita perlu mengenali setiap penjuru dalam negara kita terlebih dahulu sebelum menjelajah ke luar negara. Kami bercita-cita pada satu hari nanti kami akan bermusafir dalam negara selama 30 hari/ sebulan. Jauh perjalanan luas pandangan dan semoga tanah yang menjadi saksi tempat sujud kami kelak menjadi saksi pemusafiran kami. Namun suamiku pernah berada di luar negara ketika beliau masih bekerja dengan kapal kargo sebelum ini seperti di Jepun, Iraq, Doha dan Amerika Syarikat maka aku pun turut sama berangan seperti berada di tempat-tempat itu ketika beliau bercerita pengalaman beliau. Berangan pun salah satu hobi aku, berangankan percuma.

Luar negara yang pernah kami lawati bersama adalah Thailand, Indonesia, Singapura dan semasa menunaikan umrah. Bagi diriku, pengalaman berjalan keluar negara yang sedikit itu tidak dapat menandingi pengalaman pertama menunaikan umrah pada tahun 2010 sempena hari lahir suamiku yang ke 40. SubhanAllah ia kenangan yang terindah dan rindunya aku pada Baitullah hanya Allah sahaja tahu. Semalam di MATTA Fair, tujuan utama adalah mencari pakej umrah yang paling berbaloi dan bersesuaian dengan tarikh kerja suami, in sha Allah trip umrah kali ini kami bertiga juga (sebelum ini aku membawa emak bersama kerana abah kurang sihat semasa itu) iaitu dengan cahayamata yang telah ditunggu selama 11 tahun. Aku juga berniat agar trip umrah kali ini aku dapat melengkapkan praktikal sebagai mutawifah setelah lulus ujian teori sijil asas mutawif pada April 2016. Batch ku telah selesai praktikal pada bulan Disember 2016 yang lepas dan menerima sijil dari Mufti Johor pada bulan Januari lepas. Praktikal ku tertangguh disebabkan peraturan terkini berkenaan kewajipan membawa mahram bagi jemaah wanita bawah 45 tahun serta tidak dibenarkan lagi mahram tumpang. Disebabkan perancangan asal, praktikal hanya aku seorang yang pergi maka bila tahu berkenaan syarat baru, urusan praktikal terpaksa ditangguh disebabkan kekangan bajet serta jadual kerja suami yang tidak sesuai dengan tarikh praktikal batchku. Aku tidak nafikan memang agak kecewa namun aku yakin pasti Allah akan beri yang lebih baik kerana kita hanya merancang dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Ya Allah, hambaMu yang hina dan daif ini berhajat untuk menjadi mutawiffah bagi membantu para jemaah wanita serta menunaikan fardu kifayah kerana kekurangan mutawwifah di saat ini. Ya Allah Ya Barri yang Maha Mengatur, aku ingin juga jika suamiku terbuka hati untuk turut sama menjadi mutawwif agar kami dapat bersama-sama mengunjungi rumahMu. Sesungguhnya satu umrah ke satu umrah yang lain itu penghapus dosa terutama buat diriku yang penuh dosa dan noda ini. Perkenan doaku Ya Allah.

Selain, pakej umrah kami juga dapat beberapa pakej yang berbaloi sempena cuti sekolah ini. Kali ini kami membuat keputusan untuk makan angin ke Pantai Timur kerana anak kami belum pernah ke Pantai Timur. Memang berbaloi pakejnya kerana tiada sebarang surcaj walaupun cuti sekolah namun tawaran hanya semasa MATTA Fair sahaja. Jadi perancangannya, perjalanan bermula KL-Putrajaya- Gambang Resort-Jertih ( Madrasah Darul Uloom)-Kuala Terengganu-Colmar, Bukit Tinggi-Gombak-Miri (Home Sweet Home). Semoga pemusafiran kami dikira sebagai ibadat disisiMu Ya Allah.



Sikap Suka Menunda Kerja

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Telah 2 hari kau tidak membuat sebarang entri dalam blog yang baru berusia 7 hari ini. Kesibukan kononnya menjadi alasan "cliche" padaku. 2 hari lepas memang jadual agak penuh dengan urusan untuk kembali ke Miri setelah berada di kampung selama lebih 3 bulan atas urusan menjalani beberapa siri kursus dan ditakdirkan juga emak kesayangan dimasukkan ke hospital selama seminggu kerana jatuh bilik air dan tidak dapat berjalan. Alhamdullilah Allah izinkan aku berkampung di hospital menjaga emak dan kini alhamdullilah beliau sudah boleh berjalan walaupun masih menggunakan tongkat. Semoga Allah jadikan ia sebagai penghapus dosa emak dan dikurniakan ganti yang lebih baik kerana setiap ujian itu pasti ada hikmah disebaliknya yang akal kita tidak terduga, apa yang penting terus bersangka baik dengan Allah.

Berbalik kepada tidak membuat sebarang entri dalam blog, aku bermonolog sendirian bahawa aku perlu berubah dan cuba sehabis baik untuk mengistiqamahkan diri membuat coretan harian kerana setiap orang dikurniakan 24 jam sehari. Jadi kenapa aku masih terus beralasan jika yang lain telah laju memicu ke hadapan dalam kelas asas penulisan blog bagi bulan Mac 2017. Niat aku bukan untuk bersaing dengan sesiapa tetapi aku perlu bersaing dengan diri sendiri kerana musuh utama adalah diriku sendiri. Ya Allah bantulah hambaMu yang lemah ini yang Allah, aku tiada apa-apa tanpa bantuan dan belas ihsanMu.

Alhamdullilah semalam, suamiku telah selamat tiba dari Miri untuk cuti onshore selama 1 minggu. Waktu yang singkat inilah digunakan oleh keluarga kecil kami untuk melepaskan rindu dan membuat aktiviti bersama-sama. Setiap isteri pasti ingin suami selalu di sisi namun kita tidak dapat menolak ketentuan jodoh. Ada yang hubungan PJJ atau "weekend husband" dan tidak kurang juga para suami yang bertugas mempertahankan keselamatan negara yang tidak ketentuan jadualnya. Apa yang penting kita sebagai isteri WAJIB mendoakan keselamatan dan kesejahteraan suami kita yang jauh di mata dan semoga sentiasa dekat di hati. Jangan dipandang remeh KUASA DOA seorang isteri.

Peluang bila suami dan balik, baton bermain dengan anak diserahkan sekejap buat suami dan minta izin untuk mengemaskini blog ini sebelum sawang semakin bertambah. Aku cuba untuk tidak lagi menunda sebarang entri bagi memastikan cabaran 44 entri dalam masa 20 hari tercapai. Yang paling utama, sikap aku untuk menulis blog dan in sha Allah sehingga melahirkan karya yang bakal menjadi pencen kuburku tercapai. Ya Allah makbulkan permintaan hambaMu ini.

Waktu adalah seperti pedang tajam yang memakan tuannya jika tidak dijaga dengan betul, Ia tidak dapat diputar kembali dan menunda kerja adalah satu sikap yang perlu dibuang dengan segera kerana ia gunting dalam lipatan. Ajal maut tidak pernah menunggu kita, bertangguh membayar hutang termasuk dalam kategori yang amat dibenci oleh Allah terutamanya sekira ia disengajakan. Maka benarlah sabda Nabi S.A.W, mengingati mati itu menghidupkan hati yang suka bertangguh terutamanya dalam urusan ibadat.