"Direct" Jertih - Ipoh - Jertih

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

Blog tidak dikemaskini sejak 21 Mei ekoran beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan. Memang ketagihan blogging amat terasa namun redha dengan keadaan "line internet" yang amat mencabar keimanan. Alhamdullilah, hari ini setelah beberapa kali percubaan dan pertukaran lokasi, signal nampak stabil. Semoga kestabilannya berkekalan.

Daurah Tafsir kini telah masuk hari ke 26. Entriku tertangguh sejak hari ke 8 daurah. Bak kata Maulana, kami kini sedang menurun bukit, maka "kelajuan" Maulana dalam ceramah beliau amat terasa. Terutama untuk aku yang jahil.

Pada hari ke 10 Daurah, Maulana telah mengumumkan "cuti ehsan" untuk sesi petang dan malam bermakna hanya ada sesi pagi sahaja. Maka memandangkan ia peluang keemasan maka telah berjanji dengan anak syurga untuk bawa berjalan-jalan. Sebagai pengubat hatinya yang setiap hari ke sekolah dan transit hingga 9.30 malam. Berbagai "plan" dibuat termasuk hendak ke PCB (Pantai Cahaya Bulan). Bersama-sama adik-adik seDaurah. Namun kita hanya merancang. Sedang enak menikmati makan tengahari di Giant Jertih, panggilan telefon diterima dari ibuku. "Abah warded, jantung bengkak". Dalam dilemma kini, tunaikan janji dengan anak syurga atau balik Ipoh melawat abah.?

Lalu pantas menelefon suami. Minta izin untuk memandu balik ke Ipoh dan balik semula sebelum kelas bermula esok kerana tidak mahu "miss" kelas. Suami tidak izinkan memandu sendiri. Sebaliknya beliau mencadangkan agar naik teksi. Alhamdullilah suamiku masih menyimpan nombor telefon "Haji" pemandu teksi yang kami temui semasa menginap di Emma Guest House.

Maka dengan restu suami, kami bertolak jam 3.30 petang dari Jertih. "Haji" membawa isterinya bersama sebagai teman kerana suami telah beritahu bahawa hanya aku dan anak akan balik ke Ipoh. Masya Allah, dalam musafir ini aku melihat kesetiaan seorang isteri. Isteri "Haji" rupanya sakit tulang belakang dan penghidap kencing manis yang memerlukan suntikan insulin. Walaupun diuji dengan sakit, tetap setia menenami suaminya. Kata "Haji" memang telah menjadi kebiasaan beliau untuk membawa isteri setiap kali berjalan jauh. Inilah cinta sejati dunia yang Allah janjikan. Isteri sebagai penenang dan peneman suami. 

Selamat sampai di Hospital Ipoh jam 9.30 malam. Alhamdullilah dibenarkan naik sebentar. Apabila seorang cucu berjumpa atoknya maka terubatlah "sakit" si atok. Ceria muka abah melihat kami walaupun suaranya sebak kerana terkejut. Beliau tidak tahu kami akan balik. Kami minta izin untuk balik setelah diarah doktor untuk biarkan abah berehat. Kami kembali ke Jertih jam 12.30 mlm yang sama. Alhamdullilah sampai semula ke Jertih jam 6.30 pagi. Sepanjang perjalanan pulang ke Jertih, anak syurgaku tidur lena dalam teksi. Aku pula gelisah mengenangkan "Haji" yang tidak berapa fasih dengan jalan terutamanya dari Ipoh ke Gerik. Beliau mohon bantuanku agar tidak tidur dulu. Aku yang letih cuba bertahan untuk tidak lelap. 

Sungguh kagum aku dengan "Haji" yang gigih memandu tanpa pengganti untuk perjalanan "direct" Jertih - Ipoh - Jertih. Beliau hanya berhenti tidur 1 jam semasa dalam perjalanan balik ke Jertih. Laluan berbukit yang berkabus tebal amat mencabar pandangan mataku tapi beliau masih mampu memandu 70km/j. Semoga Allah pelihara "Haji" dan isteri. Berkat doa anak syurgaku, abah discaj selepas 2 hari. Alhamdullilah diizinkan Allah melawat abah walau sekejap dan juga tidak "miss" kelas keesokkan harinya. Semoga Allah izinkan aku mengamal dan mentablighkan ilmu wahyu ini.



Comments

Topik popular