Tuesday, 13 June 2017

Daurah Tafsir Hari Ke-32

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Sesi pagi ini telah selesai Surah Anbiya' dan beberapa surah lain. Namun aku tertarik untuk berkongsi tentang surah Anbiya'. Sesuai dengan namanya, surah ini menghimpun kisah-kisah pelbagai nabi yang diringkas dalam 112 ayat.

Yang paling terkesan padaku adalah berkenaan doa-doa para nabi. Firman Allah berulang kali dalam "novel cintaNya" ini bahawa semua nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan telah diuji. Pelbagai ujian dan cabaran di hadapi. Malahan nabi kita Muhammad saw sendiri pernah diuji dengan sihir, cubaan membunuh dan dibaling najis serta batu. Persamaan kesemua utusan Allah ini selain diuji adalah tentang cara mereka menghadapi ujian.

Mereka istiqamah BERDOA hanya pada Allah. 

Memohon hanya pertolongan Allah. Mengharap hanya pada Allah untuk menyelesaikan segala kesulitan. Dalam surah Anbiya'. kisah nabi Ayub yang telah diuji dengan sakit tanpa penawar. Baginda sabar dan terus ikhtiar. Doa Baginda pada ayat 83 Surah Anbiya'

             "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit padahal Engkau Tuhan Yang Maha                   Penyayang daripada semua yang Penyayang".

Amalkan doa ini sekiranya kita ditimpa sebarang penyakit namun jangan ditinggalkan ikhtiar iaitu usaha dari pihak kita.

Malahan kisah nabi Yunus yang telah ditelan ikan Nun ekoran ijtihad Baginda yang meninggalkan kaum kerana merajuk. Nabi Yunus telah diajar Allah untuk munajat dengan ayat 87 Surah Anbiya'

     "Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan              yang zalim"

Munajat doa ini mengandungi doa dan istighfar kepada Allah dan merupakan salah satu zikir yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah. Tiada bilangan spesifik jumlah perlu diulang baca. Namun yang penting wajib YAKIN bahawa hanya Allah tempat memohon pertolongan setelah kita menzalimi diri sendiri. Mulai dengan taubat atas perbuatan dan baca zikir ini dengan penuh yakin. Munajat nabi Yunus dalam 3 kegelapan ini iaitu dalam kegelapan perut ikan, kegelapan malam dan kegelapan laut yang dalam telah dimakbulkan Allah asbab doa ini. Jika Allah tidak makbulkan nescaya Nabi Yunus akan kekal dalam perut ikan hingga kiamat.

Ujian nabi Zakaria yang tidak dikurniakan zuriat walaupun telah berusia beratus tahun serta isteri yang mandul. Tidak pernah putus asa dengan rahmat Allah. Doa Baginda dalam ayat 89 Surah Anbiya'

    "Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri tanpa keturunan dan Engkaulah ahli waris yang terbaik"

Doa yang aku sendiri pernah amalkan sewaktu diuji Allah. Sesungguhnya ini adalah doa-doa makbul yang Allah telah rakam dalam Quran untuk kita amalkan bersama. Doa itu otak ibadah. Dan untuk memustajabkan doa, perlu dimulai dengan amalan soleh seperti mentabligh ilmu Allah, infaq rezeki dan memberi khidmat sukarela. In sha Allah dengan keyakinan pada Allah, setiap yang dimohon akan dimakbulkan dan jika tidak akan diganti dengan yang lebih baik atau ditangguhkan di akhirat. Yang pasti Allah tidak akan sia-siakan setiap permohonan hambaNya.

      

No comments:

Post a Comment