Daurah Tafsir Hari ke 28

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah sesi pagi di hari Jumaat yang mulia bermula jam 9.00 pagi. Kelas selalunya habis jam 11 pagi untuk laluan solat Jumaat namun hari ini lewat 30 minit. Maulana terpaksa memanjangkan waktu kelas termasuk kelas petang yang bermula sebelum asar. Katanya kami sudah agak ketinggalan dari jadual. Baki tinggal 16 hari lagi, in sha Allah.

Kagum dengan kegigihan Maulana menyampaikan ilmu wahyu ini. Beliau bercakap tanpa henti tanpa rungutan keletihan. Inilah contoh kekuatan yang Allah beri kepada mereka yang menolong agamaNya. Dalam surah Hud, terdapat 7 kisah para nabi dengan umatnya. 

Nabi Nuh yang telah 950 tahun berdakwah namun hanya segelintir umatnya yang beriman kepada Allah. Begitulah salah satu contoh yang Allah telah rakamkan dalam Quran, istiqamah menyampaikan wahyu Allah.

Berkali-kali Maulana mengingatkan tentang tanggungjawab kami peserta Daurah selepas selesai Daurah kelak. Tablighkan, tablighkan, sampaikan dengan sempurna. Sambung tugas nabi kita. Islam tidak akan pupus dek kerana angkara si kafir, tapi Islam akan pupus disebabkan umat Islam sendiri meninggalkan TUGAS HAKIKInya. Nauzubillah himin zallik.

Maulana kata mulakan dengan orang yang terdekat dengan kita seperti isteri, suami dan anak-anak. Alhamdullilah telah aku praktikkan dengan menceritakan semula dengan anakku apa yang kupelajari setiap hari. Alhamdullilah kesannya telah nampak kini, anakku kini tidak sabar bertanya "Hari ni ustaz Mummy cerita pasal apa?" sebaik sahaja ku ambilnya di transit. Itulah mukjizat Al Quran. Ya Allah berikanlah kami rasa cinta kepada ayat-ayatMu dan rezekikan kami mengamal dan menyampaikannya mengikut kemampuan kami, Aamiin".

Sesungguhnya Allah amat menyayangi hambaNya, kasih sayang Allah dikatakan berkali-kali ganda kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Namun disebabkan cinta dunia yang sementara, kita sering leka dan lalai dengan segala syariat Allah. Allah telah menyempurnakan ciptaanNya dan menyediakan segala kemudahan serta menyeru hambaNya ke syurga. Namun, majoriti hambaNya memilih atas ikhtiar sendiri untuk memasuki neraka. Semoga Allah Taala lindungi kita semua.

Comments

Topik popular