Sedekah Melembutkan Hati

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hari ini telah masuk hari ke 10 kami bermusafir di Bandar Ulul Albab ini demi menimba ilmu wahyu yakni Quran. Bermula dengan niat dihati untuk menyertai Daurah Harmain di Mekah selama sebulan di bulan Ramadhan. Namun menyedari kekangan bajet, aku merintih padaNya. Yang Maha Kaya. SubhanAllah, sesungguhNya Allah berfirman, "Mintalah hanya kepadaKu, maka Aku yang berkuasa memakbulkan segala doa". Rupanya di negara tercinta ini telah ada Daurah Tafsir yang kini telah berlangsung untuk kali ke 9. Sememangnya janji Allah itu benar. Allah Maha Pengasih malu untuk memulangkan tangan hambaNya yang hina yang menadah tangan kepadaNya. Allah gantikan dengan yang lebih baik lagi. Hanya aku hambaNya yang sering lupa apabila mendapat nikmat. Astagfirullah hala'zim. Perbaikilah segala urusan kami Ya Allah.

Hari petama minggu kedua bersekolah di PASTI Tok Motong, anakku masih menangis setiap pagi. Katanya ada kawan yang pukul di sekolah. Setelah berbincang dengan suami, suamiku mencadangkan agar kami bersedekah untuk kawan-kawannya. Dengan niat mengikut cara Rasullulah saw yang tidak membalas sebarang kezaliman yang diterima sebaliknya dibalas dengan kebaikan. Sebagaimana Rasullulah saw telah menyuap dengan lembut seorang wanita Quraisy yang buta walaupun wanita itu memang selalu mencaci dan menghina Baginda. Akhlak Rasullulah saw yang mulia ini membuka hati wanita ini untuk beriman kepadaNya selepas kewafatan baginda. Kami sebagai ibubapa juga sentiasa berdoa kepadaNya agar dicampakkan rasa gembira dan tenang kepada anak kami kerana hati manusia dalam genggamanNya. Semoga dengan usaha kami yang sedikit ini dapat melembutkan hati kawan-kawannya dengan izin Allah. 

Allah mendatangkan ujian kepada anakku untuk dia bersedia menghadapi kerenah manusia yang pelbagai. Walaupun sebenarnya kami sebagai ibubapa sedang diujiNya. Bagaimana kami bertindak atas aduan dan rungutan anak? Perlukah terus melatah? Alhamdullilah, kami sentiasa cuba sebaik mungkin mendengar "cerita" si kecil. Raikan keterujaannya berkongsi rasa. Iktiraf perasaannya yang gementar dengan kerenah kawan-kawan. Kita juga pernah mengalaminya. 

Menjadi ibubapa di zaman serba canggih ini amat mencabar tanpa ilmu yang betul. Sekadar pengalaman tidak membantu tambahan bagi kami yang baru pertama kali bergelar ibubapa. Antara tips yang kami amalkan:-

 i. Tidak memanjakan anak dengan memenuhi setiap permintaan
   - Kebiasaanya anak tunggal dikatakan manja. Hakikatnya anak kami tidak. Dia dilatih untuk tidak mendapat semua yang dipinta. Setiap permintaannya mesti diajar agar memohon dahulu kepada Allah dengan berdoa. Pasakkan ke mindanya bahawa hanya Allah Maha Kaya. Malahan anakku di ajar agar setiap kali ada barang mainan dijual dikedai, hanya "lihat" sahaja untuk lepaskan rasa teringin. Mainan dibeli sekadar keperluan dan dilihat faedah sebaliknya, dengan kata lain permainan yang meningkatkan kemahirannya dari segi minda, motor kasar dan motor halus.

ii. Tidak mempercayai bulat-bulat setiap kata-katanya tanpa usul periksa
   - Sebagai orang dewasa, kematangan kita dalam mempercayai setiap biji butir kata-kata anak boleh menyebabkan insan yang tidak berdosa teraniaya. Anak kecil memang tidak pandai menipu, namun kadang-kala dia hanya ingin meraih perhatian. Bagi kes anakku ini, dia rindukan aku kerana telah 10 hari asyik ke sekolah hingga malam tanpa ada cuti. Itu hakikat sebenar yang diakuinya sendiri "Adam rindu mummy,...." katanya setelah diselidik, walaupun mungkin benar ada kawan yang agak berkasar dengannya.

iii. Tidak boleh disentuh mahupun dijentik
  - Sayang tidak bertempat sehingga para guru tidak dibenarkan menyentuh anak waima atas dasar mendidik. Bagiku teguran tetap perlu ada kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tekankan kepada anak-anak bahawa teguran dan cubitan atas dasar sayang kerana mahu anak kita menjadi baik. In sha Allah dengan kaedah dan betulkan niat, anak akan faham walaupun seawal usia.

Semoga bermanfaat dan semoga kita dapat bersama islah diri dalam menjalankan kewajipan menjaga amanah Allah ini.

Pemilihan sedekah untuk anak-anak kecil pastikan ada khasiat sebagaimana kita mahu anak kita makan

Comments

Topik popular