Rayuan Seorang Anak

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah hari ini telah hari keenam Daurah Tafsir, ini juga bermakna telah 6 hari anakku ditinggalkan mulai jam 8.00 pagi sehingga 9.30 malam. Hanya berjumpa sekejap sewaktu mengambilnya dari PASTI semasa tengahari dan dihantar pula ke Taska Transit. Beberapa hari ini, dia merengek merayuku agar hantar sekolah sekejap sahaja, tidak mahu sehingga malam. Aku memujuk dengan pelbagai cara, alhamdullilah dia terima walaupun aku tahu hatinya tidak rela sepenuhnya. 

Hari ini, pagi tadi menangis lagi di PASTI kerana takut sebab ada kawan pukul. Alhamdullilah ada guru yang memujuk. Mungkin aduannya benar namun aku tidak mahu cepat melatah kerana biasalah budak-budak lelaki. Aku serahkan pada cikgu untuk uruskan. Tengahari tadi, pertama kali menangis bila hendak ditinggalkan di transit. "Adam nak mummy!!!!" sambil memeluk erat seolah-olah tidak mahu lepas. Ya Allah sayunya hati ku, namun kusembunyikan darinya. "Mummy pun rindu sangat dengan adam, sabar yer sayang, cuma sekejap jer lagi". Kupujuk dengan membeli mainan lori sampah di kedai RM2. Dalam kereta ceria lepas dapat mainan namun kolam airmatanya pecah juga di taska.

Besar pengorbananmu anakku. Demi mummy menuntut ilmu Allah ini. Semoga Allah balas segalanya dengan mengurniakan syurga buat kita semua. Inilah salah satu dugaan dan ujian yang telah dikatakan oleh Maulana di hari pertama Daurah. Ya Allah kuatkan hatiku dan berilah keceriaan dan keseronokkan kepada anakku. Hilangkan kesedihannya dan terimalah usaha kami untuk mendekatkan diri padaMu Ya Allah. 


Comments

Topik popular