Kerja Terjemahan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Alhamdullilah setelah 2 minggu aku bergelumang dengan tugasan menterjemah Kertas Kerja pelajar Diploma Kolej Poly-Tech MARA, ianya berjaya diselesaikan. Semoga ia memenuhi kehendak pelanggan. Kerja terjemahan yang melibatkan 5 bab secara keseluruhan adalah berkenaan Latihan Praktikal yang telah dijalani oleh pelajar tersebut. Aku mendapat tugasan ini hasil rekomen sahabat baikku. Ia merupakan tugasan terjemahan ku yang pertama dan ternyata ia banyak memberi pengajaran kepadaku tentang hakikat dunia para pelajar institusi pengajian terkini.

Tiada sekelumit niatku untuk mendabik dada mengatakan bahawa aku mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris yang hebat namun sekurang-kurangnya di zaman aku belajar dahulu di ITM dan kini UiTM yang menggunakan medium Bahasa Inggeris sepenuhnya aku masih mampu membuat laporan dalam Bahasa Inggeris tanpa bantuan sesiapa. Namun hanya melalui satu tugasan ini aku tidak sewajarnya melabelkan keseluruhan siswazah. Semoga ianya tidak seteruk yang kusangkakan.

Institusi pengajian tinggi swasta yang tumbuh bak cendawan selepas hujan ternyata menjadi pilihan ramai ibubapa yang kini rata-rata mampu menghantar anak mereka ke sana sekiranya gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam. Aku tidak mengatakan bahawa semua graduan swasta ini kurang berkualiti namun ia juga tidak wajar dibiarkan tanpa pengawasan rapi jabatan yang berkaitan.

Berdasarkan pengalaman pertamaku ini, ku dapati juga penguasaaan Bahasa Melayu agak lemah mungkin disebabkan terpengaruh dengan bahasa sms dan bahasa tanpa vokal. Aku juga sering mendengar rungutan daripada rakan-rakanku yang menjadi pensyarah tentang mutu penulisan para siswazah yang agak mengecewakan walaupun di IPTA. 

Namun jika dilihat dari sudut rezeki, kelemahan ini merupakan peluang untuk para penterjemah amatur sepertiku untuk mencuba nasib dan mengasah bakat yang terpendam dan mungkin telah berkarat. Jika ada yang berminat mencuba khidmatku sebagai penterjemah amatur dipersilakan hubungi aku di talian 017 370 6530.  Yang pastinya harganya amat mampu milik kerana ia harga pengenalan.

Comments

Topik popular