Hari Kelapan Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Hari Jumaat yang mulia ini menandakan bahawa telah 8 hari aku diizinkanNya menuntut ilmu wahyu yakni Ilmu Al Quran dengan Maulana Abdul Hadi. In sha Allah jika diizinkanNya selesai bertalaaqi selama 42 hari, aku boleh diberikan sanad. Namun bukan sanad yang kukejar melainkan untuk meraih redhaNya dan mendalami Al Quran yang selama ini hanya kubaca tanpa kufahami sepenuhnya. Kalam Allah ini penuh dengan peringatan demi peringatan tentang akidah, risalah (kerasulan) dan akhirat. Itulah 3 isi penting Al Quran. Ya Allah semoga Engkau sempurnakan dan mantapkan akidah kami semua. Akidah yang mengikut syariatMu sepenuhnya tanpa campurtangan makhluk lain. 

Hari Jumaat di Jertih adalah cuti umum. Ini Jumaat kedua aku di Jertih. Aku amat kagum kerana pada hari Agung umat Islam ini, bandar Jertih pada keseluruhannya tutup semua perniagaan kecuali dobi layan diri 24 jam. 7 Eleven dan beberapa buah kedai makan. Gedung hypermarket seperti Giant dan Pasaraya juga turut ditutup. SubhanAllah, semuanya sebagai menghormati hari Jumaat. Golongan bukan Islam turut sama memainkan peranan. Masya Allah, amat sesuai gelaran Bandar Ulul Albab iaitu golongan yang bersedia untuk hari akhirat. Dunia ini medan ujian. Segala nikmat di dalam dunia ini menurut Hadith Sahih hanya seumpama secebis tuala wanita. Namun majoriti manusia termasuk aku menghabiskan masa 24 jam yang dikurniakan Allah untuk meraih harta dunia semata-mata. Bagaimana dengan akhirat?

Sesi pagi hari kelapan Daurah Tafsir, Maulana membincangkan surah Al Ahqaf iaitu Haa Mim 7 yang terakhir. Sempat sehingga ayat ke 19 Al Ahqaf. Surah ini membincangkan tentang kesamaran memuja selain Allah untuk mendapatkan "berkat". Hakikatnya Berkat itu milik hakiki Allah swt. Tiada yang dapat memberikan keberkatan selainNya. Astagfirullah hal azim, selama ini aku juga sering menggunakan ayat "ambil berkat" setiap kali mendukung bayi kononnya untuk cepat hamil. Maulana berpesan agar menjaga lidah daripada menggunakan kalimah "ambil berkat" itu kerana ia boleh membawa kepada syirik dan memberi ruang syaitan membisikkan kata-kata hasutanya. Nauzubillah hi min zalik. 

Bersalam dengan para ulamak untuk mengambil berkat sewajarnya dikatakan sebagai Berkat Bersalam kerana bersalam amalan sunnah. Bukannya mengambil berkat dari para ulamak kerana mereka tiada kuasa memberi berkat. Di akhirat kelak, para anbiya', para wali ini akan menjadi saksi bahawa mereka tidak pernah mengajar sesiapa untuk mengambil berkat dari mereka. Malahan mereka sendiri tidak tahu bahawa kubur mereka di sembah sebagai tempat mengambil berkat. Amalan ini banyak terjadi dalam masyarakat kita dan mohon Allah lindungi kita semua dari golongan ini. Sekiranya kita pernah mengamalkannya, hentikan serta-merta dan bertaubatlah kepadaNya.

Comments

Topik popular