Durian Musang King

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Tiba-tiba hari ini anakku asyik menyebut hendak makan durian selepas kami makan "tester" kek lapis Sarawak dari Serian yang berperisa durian. Dialong biasanya jika mahukan sesuatu adalah ayat-ayat syahdu, "Dah lama kita tak makan durian, kan mummy?". "Dah lama kita tak minum air durian". Ayat itu buat mummy tercengang seketika, "Bila masa kita minum air durian?" "Mummy dah lupa ker? Yang kita minum kat rumah atuk macam Upin Ipin dalam Kampung Durian Runtuh tu...."

Rezeki anakku, kami berjaya berjumpa dengan penjaja menjual durian di tepi jalan berhampiran Pustaka Miri. Namun keterujaan mummy daddy yang hampir berjaya menunaikan permintaan anak tergendala sebentar setelah melihat harganya. Paling murah RM75 sebiji, durian musang king yang diimport dari Thailand. Terkulat-kulat si daddy, tidak sampai hati nak hampakan si anak namun ternyata harganya di luar kemampuan. Kami terus cuba tawar menawar namun hampa. Akhirnya kami cuba mengumpan si tauke untuk menjualkan sampelnya yang ada 4 ulas durian, awalnya beliau menolak. Tapi setelah merayu dan memaklumkan bahawa hanya ingin memenuhi keinginan si anak kecil dan anakku pula tidak habis-habis merengek "Nak durian, mummy, nak durian", si tauku menyerah kalah. Kami berjaya membeli 4 ulas durian musang king dengan harga RM20, alahai anak.

Begitulah juga pastinya ibubapa kita sebelum ini yang bergolok bergadai menunaikan setiap permintaan anak-anaknya. Sedangkan kita sebagai anak dulunya tetap merengek sehingga kemahuan dipenuhi. Ya Allah ampunilah dosa kedua ibubapa kami, Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami sejak kecil dan masukkanlah mereka dalam syurga FirdausMu tanpa hisab.

Setelah selesai menghabiskan durian, barulah aku tahu bahawa air durian yang dimaksudkan adalah air yang diminum dalam kulit durian sebagai petua menghilangkan "panas" makan durian. Itulah secebis memori indah anakku 3 tahun 6 bulan dengan durian dan air duriannya.

4 ulas musang king RM20

Menikmati "air durian"

Comments

Topik popular