Sunday, 21 May 2017

Sedekah Melembutkan Hati

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hari ini telah masuk hari ke 10 kami bermusafir di Bandar Ulul Albab ini demi menimba ilmu wahyu yakni Quran. Bermula dengan niat dihati untuk menyertai Daurah Harmain di Mekah selama sebulan di bulan Ramadhan. Namun menyedari kekangan bajet, aku merintih padaNya. Yang Maha Kaya. SubhanAllah, sesungguhNya Allah berfirman, "Mintalah hanya kepadaKu, maka Aku yang berkuasa memakbulkan segala doa". Rupanya di negara tercinta ini telah ada Daurah Tafsir yang kini telah berlangsung untuk kali ke 9. Sememangnya janji Allah itu benar. Allah Maha Pengasih malu untuk memulangkan tangan hambaNya yang hina yang menadah tangan kepadaNya. Allah gantikan dengan yang lebih baik lagi. Hanya aku hambaNya yang sering lupa apabila mendapat nikmat. Astagfirullah hala'zim. Perbaikilah segala urusan kami Ya Allah.

Hari petama minggu kedua bersekolah di PASTI Tok Motong, anakku masih menangis setiap pagi. Katanya ada kawan yang pukul di sekolah. Setelah berbincang dengan suami, suamiku mencadangkan agar kami bersedekah untuk kawan-kawannya. Dengan niat mengikut cara Rasullulah saw yang tidak membalas sebarang kezaliman yang diterima sebaliknya dibalas dengan kebaikan. Sebagaimana Rasullulah saw telah menyuap dengan lembut seorang wanita Quraisy yang buta walaupun wanita itu memang selalu mencaci dan menghina Baginda. Akhlak Rasullulah saw yang mulia ini membuka hati wanita ini untuk beriman kepadaNya selepas kewafatan baginda. Kami sebagai ibubapa juga sentiasa berdoa kepadaNya agar dicampakkan rasa gembira dan tenang kepada anak kami kerana hati manusia dalam genggamanNya. Semoga dengan usaha kami yang sedikit ini dapat melembutkan hati kawan-kawannya dengan izin Allah. 

Allah mendatangkan ujian kepada anakku untuk dia bersedia menghadapi kerenah manusia yang pelbagai. Walaupun sebenarnya kami sebagai ibubapa sedang diujiNya. Bagaimana kami bertindak atas aduan dan rungutan anak? Perlukah terus melatah? Alhamdullilah, kami sentiasa cuba sebaik mungkin mendengar "cerita" si kecil. Raikan keterujaannya berkongsi rasa. Iktiraf perasaannya yang gementar dengan kerenah kawan-kawan. Kita juga pernah mengalaminya. 

Menjadi ibubapa di zaman serba canggih ini amat mencabar tanpa ilmu yang betul. Sekadar pengalaman tidak membantu tambahan bagi kami yang baru pertama kali bergelar ibubapa. Antara tips yang kami amalkan:-

 i. Tidak memanjakan anak dengan memenuhi setiap permintaan
   - Kebiasaanya anak tunggal dikatakan manja. Hakikatnya anak kami tidak. Dia dilatih untuk tidak mendapat semua yang dipinta. Setiap permintaannya mesti diajar agar memohon dahulu kepada Allah dengan berdoa. Pasakkan ke mindanya bahawa hanya Allah Maha Kaya. Malahan anakku di ajar agar setiap kali ada barang mainan dijual dikedai, hanya "lihat" sahaja untuk lepaskan rasa teringin. Mainan dibeli sekadar keperluan dan dilihat faedah sebaliknya, dengan kata lain permainan yang meningkatkan kemahirannya dari segi minda, motor kasar dan motor halus.

ii. Tidak mempercayai bulat-bulat setiap kata-katanya tanpa usul periksa
   - Sebagai orang dewasa, kematangan kita dalam mempercayai setiap biji butir kata-kata anak boleh menyebabkan insan yang tidak berdosa teraniaya. Anak kecil memang tidak pandai menipu, namun kadang-kala dia hanya ingin meraih perhatian. Bagi kes anakku ini, dia rindukan aku kerana telah 10 hari asyik ke sekolah hingga malam tanpa ada cuti. Itu hakikat sebenar yang diakuinya sendiri "Adam rindu mummy,...." katanya setelah diselidik, walaupun mungkin benar ada kawan yang agak berkasar dengannya.

iii. Tidak boleh disentuh mahupun dijentik
  - Sayang tidak bertempat sehingga para guru tidak dibenarkan menyentuh anak waima atas dasar mendidik. Bagiku teguran tetap perlu ada kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tekankan kepada anak-anak bahawa teguran dan cubitan atas dasar sayang kerana mahu anak kita menjadi baik. In sha Allah dengan kaedah dan betulkan niat, anak akan faham walaupun seawal usia.

Semoga bermanfaat dan semoga kita dapat bersama islah diri dalam menjalankan kewajipan menjaga amanah Allah ini.

Pemilihan sedekah untuk anak-anak kecil pastikan ada khasiat sebagaimana kita mahu anak kita makan

Friday, 19 May 2017

Hari Kelapan Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Hari Jumaat yang mulia ini menandakan bahawa telah 8 hari aku diizinkanNya menuntut ilmu wahyu yakni Ilmu Al Quran dengan Maulana Abdul Hadi. In sha Allah jika diizinkanNya selesai bertalaaqi selama 42 hari, aku boleh diberikan sanad. Namun bukan sanad yang kukejar melainkan untuk meraih redhaNya dan mendalami Al Quran yang selama ini hanya kubaca tanpa kufahami sepenuhnya. Kalam Allah ini penuh dengan peringatan demi peringatan tentang akidah, risalah (kerasulan) dan akhirat. Itulah 3 isi penting Al Quran. Ya Allah semoga Engkau sempurnakan dan mantapkan akidah kami semua. Akidah yang mengikut syariatMu sepenuhnya tanpa campurtangan makhluk lain. 

Hari Jumaat di Jertih adalah cuti umum. Ini Jumaat kedua aku di Jertih. Aku amat kagum kerana pada hari Agung umat Islam ini, bandar Jertih pada keseluruhannya tutup semua perniagaan kecuali dobi layan diri 24 jam. 7 Eleven dan beberapa buah kedai makan. Gedung hypermarket seperti Giant dan Pasaraya juga turut ditutup. SubhanAllah, semuanya sebagai menghormati hari Jumaat. Golongan bukan Islam turut sama memainkan peranan. Masya Allah, amat sesuai gelaran Bandar Ulul Albab iaitu golongan yang bersedia untuk hari akhirat. Dunia ini medan ujian. Segala nikmat di dalam dunia ini menurut Hadith Sahih hanya seumpama secebis tuala wanita. Namun majoriti manusia termasuk aku menghabiskan masa 24 jam yang dikurniakan Allah untuk meraih harta dunia semata-mata. Bagaimana dengan akhirat?

Sesi pagi hari kelapan Daurah Tafsir, Maulana membincangkan surah Al Ahqaf iaitu Haa Mim 7 yang terakhir. Sempat sehingga ayat ke 19 Al Ahqaf. Surah ini membincangkan tentang kesamaran memuja selain Allah untuk mendapatkan "berkat". Hakikatnya Berkat itu milik hakiki Allah swt. Tiada yang dapat memberikan keberkatan selainNya. Astagfirullah hal azim, selama ini aku juga sering menggunakan ayat "ambil berkat" setiap kali mendukung bayi kononnya untuk cepat hamil. Maulana berpesan agar menjaga lidah daripada menggunakan kalimah "ambil berkat" itu kerana ia boleh membawa kepada syirik dan memberi ruang syaitan membisikkan kata-kata hasutanya. Nauzubillah hi min zalik. 

Bersalam dengan para ulamak untuk mengambil berkat sewajarnya dikatakan sebagai Berkat Bersalam kerana bersalam amalan sunnah. Bukannya mengambil berkat dari para ulamak kerana mereka tiada kuasa memberi berkat. Di akhirat kelak, para anbiya', para wali ini akan menjadi saksi bahawa mereka tidak pernah mengajar sesiapa untuk mengambil berkat dari mereka. Malahan mereka sendiri tidak tahu bahawa kubur mereka di sembah sebagai tempat mengambil berkat. Amalan ini banyak terjadi dalam masyarakat kita dan mohon Allah lindungi kita semua dari golongan ini. Sekiranya kita pernah mengamalkannya, hentikan serta-merta dan bertaubatlah kepadaNya.

Hari Ketujuh Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Telah genap 7 hari Daurah Tafsir berlangsung di Pondok Darul Uloom, Jertih. Hujan lebat mengiringi kuliah Maulana untuk sesi petang dan malam. Semalam selesai bertalaaqi Surah Dukhan sebanyak 59 ayat, disusuli dengan surah Al Jathiyah hingga ayat terakhir 37 ayat dan sesi malam tadabbur Surah Al Baqarah mulai ayat 21 hingga 29.

Kehadiran jemaah agak berkurang dalam 2-3 hari ini mungkin disebabkan hari kerja dan namun demikian, Daurah ini dapat juga didengari di pautan https://t.me/DaurahTafsir2017 dengan memuat turun applikasi Telegram.

Dalil aqli iaitu bukti yang dapat kita lihat dengan mata fizikal seperti langit dan bumi. Langit yang diciptakan berlapis telah berdiri dengan kukuh sebagai bumbung. Bumi pula disediakan sebagai hamparan. Di antara kedua-duanya disediakan segala tanaman dan tumbuh-tumbuhan untuk digunakan oleh manusia. Tugas manusia adalah beribadat semata-mata kepadaNya. Allah yang Maha Esa yang tiada yang lain patut disembah.

Melihat segala ciptaan ini dengan mata hati pasti membuatkan kita terfikir bahawa ada Penciptanya. Musyrikin Mekah mengakui bahawa semua ini dicipta oleh Allah. Namun, disebabkan kedegilannya, mereka turut mengatakan bahawa Allah mempunyai wakil seperti wali, para anbiya', malaikat dan jin. Perantaraan ini disembah kerana dikatakan memiliki kelebihan yang dikurniakan Allah. Ia dosa syirik yang tidak diampunkan. Mohon kita dijauhkan dari memiliki sifat ini.

Balasan yang pasti untuk golongan syirik adalah neraka. Mereka pemegang geran neraka kerana mereka kekal di dalamnya. Allah menggambarkan keadaan neraka yang terdapat pokok zaqqum iaitu pokok api yang menjadi makanan penghuni neraka. Buah zaqqum yang ditelan akan membakar segala sendiri dan isi perut akan menggelegak. Minuman neraka pula adalah air nanah/busuk yang dipenuhi pelbagai kotoran tidak terbayang oleh akal. Di neraka tiada lagi mati, sedangkan ahli neraka merayu agar mereka di matikan kerana tidak tahan dengan seksaan.Ya Allah lindungilah kami dari api neraka Jahanam yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu.


Thursday, 18 May 2017

Hari Keenam Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Semalam telah selesai bertalaaqi tafsir surah Syura' dan Surah Zukhruf serta ayat 17 hingga 20 Surah Al Baqarah yang termasuk dalam Surah Haa Mim 7. Semakin banyak belajar berkenaan Qalam Allah makin terasa banyak kesilapan yang telah kulakukan tanpa disedari. Amalan yang dilakukan sekadar ikutan dan bukan mengikut syariat yang telah Allah gariskan dengan jelas dalam kitab wahyu iaitu Al Quran.

Agama itu disertakan dengan syariat dan dalil yang jelas. Tiada sebarang keraguan padanya. Namun sifat manusia yang ragu-ragu dengan kitab wahyu memberi peluang kepada musuh utama manusia iaitu syaitan untuk membisikkan kata-katanya. Dunia yang disediakan Allah dengan segala bekalan hidup ini tidak lain sebagai medan ujian. Keputusan ujian hanya 2, syurga atau neraka. Syurga akan diwariskan kepada hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Mengapa Allah guna perkataan "wariskan" kerana syurga hanya untuk hambaNya yang berhak, Iaitu seorang pejuang agama Allah yang ikhlas. Pejuang dengan kata ikhtiar dan kesungguhan memahami, mengamalkan dan menyampaikan ayat-ayat Allah. Ya Allah pilihlah kami semua sebagai pewaris syurga FirdausMu.

Maulana berkata jangan diminta "Sabar" kerana untuk dikurniakan sifat sabar, Allah akan menghantar ujian yang besar kemungkinan tidak mampu menghadapinya kerana sabar itu susah. Sebaliknya mohonlah taufik hidayah dariNya agar istiqamah dalam jalan agamaNya yang lurus. 

Wednesday, 17 May 2017

Rayuan Seorang Anak

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah hari ini telah hari keenam Daurah Tafsir, ini juga bermakna telah 6 hari anakku ditinggalkan mulai jam 8.00 pagi sehingga 9.30 malam. Hanya berjumpa sekejap sewaktu mengambilnya dari PASTI semasa tengahari dan dihantar pula ke Taska Transit. Beberapa hari ini, dia merengek merayuku agar hantar sekolah sekejap sahaja, tidak mahu sehingga malam. Aku memujuk dengan pelbagai cara, alhamdullilah dia terima walaupun aku tahu hatinya tidak rela sepenuhnya. 

Hari ini, pagi tadi menangis lagi di PASTI kerana takut sebab ada kawan pukul. Alhamdullilah ada guru yang memujuk. Mungkin aduannya benar namun aku tidak mahu cepat melatah kerana biasalah budak-budak lelaki. Aku serahkan pada cikgu untuk uruskan. Tengahari tadi, pertama kali menangis bila hendak ditinggalkan di transit. "Adam nak mummy!!!!" sambil memeluk erat seolah-olah tidak mahu lepas. Ya Allah sayunya hati ku, namun kusembunyikan darinya. "Mummy pun rindu sangat dengan adam, sabar yer sayang, cuma sekejap jer lagi". Kupujuk dengan membeli mainan lori sampah di kedai RM2. Dalam kereta ceria lepas dapat mainan namun kolam airmatanya pecah juga di taska.

Besar pengorbananmu anakku. Demi mummy menuntut ilmu Allah ini. Semoga Allah balas segalanya dengan mengurniakan syurga buat kita semua. Inilah salah satu dugaan dan ujian yang telah dikatakan oleh Maulana di hari pertama Daurah. Ya Allah kuatkan hatiku dan berilah keceriaan dan keseronokkan kepada anakku. Hilangkan kesedihannya dan terimalah usaha kami untuk mendekatkan diri padaMu Ya Allah. 


Hari Kelima Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah hari kelima ini (16 Mei 2017), selesai surah Fusshilat dan Surah Syura' Haa Mim yang ketiga). Ia mengenai penjelasan kepada kesamaran/kekeliruan. Agama mesti ada bukti dan dalil yang jelas. Semuanya kena ada cara dan prosedur. Hukuman yang setimpal dengan bukti yang jelas dan kukuh. Agama Islam adalah agama standard. Allah bekalkan dengan segala bukti dan dalil iaitu agama yang bertamaddun. Asasnya kita semua wajib belajar untuk mendalami ilmu wahyu ini.

Semua kitab-kitab wahyu yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul adalah tauhid. Sekiranya ada pemahaman dalam mana-mana kitab wahyu yang mengajar lain dari tauhid maka ianya palsu. Allah Maha Pelindung dan tiada pelindung selain Allah. 

Antara lain berkenaan pertikaian  Musyirikin Mekah terhadap Al Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab. Allah wahyukan Al Quran untuk kesempurnaan. Nabi saw dituduh mengada-adakan cerita dan baginda yang mereka Al Quran itu. Musyrikin Mekah juga mempertikaikan Nabi saw kerana sewajarnya Rasul dilantik di kalangan malaikat atau jin dan bukan manusia biasa yang rendah tarafnya daripada mereka. Tugas rasullulah saw adalah menyampaikan dan memberi peringatan. Hari perhimpunan semula yang pasti akan berlaku, akan ada 2 puak sahaja. Puak yang dimasukkan dalam syurga dan majoriti diseksa dan dihumban ke neraka. Itu sahaja pilihan kita sebagai seorang Muslim. Maka apa persediaan kita? Semoga Allah dengan rahmatnya memilih kita untuk menghuni syurganya.

Allah menjawab di dalam surah ini bahawa Al Quran ini merupakan mukjizat sepanjang zaman dan bahasa Arab Al Quran adalah istimewa berbanding bahasa Arab perbualan kerana ia kalam Allah. Allah jadikan Al Quran ini boleh dibaca hatta oleh si buta huruf. 

Tuesday, 16 May 2017

Selamat Hari Guru 2017

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hari ini Hari Guru. Siapapun kita pada hari ini semuanya jasa seorang guru bermula dengan ibubapa kita, guru-guru taska, tadika, sekolah rendah sehinggalah ke peringkat tertinggi. Terlalu banyak jasa seorang guru, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Jazakallah hukhairan kathira. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga pendidik.

Alhamdullilah di hari ke lima Daurah Tafsir ini diizinkan Allah untuk memberikan sedikit "token" untuk guru-guru anakku di Tadika PASTI Nurul Wahidah, Kg Tok Motong, Jertih dan Taska Transit 24 jam Mami Armi. Walaupun dihimpit kekangan waktu antara rehat selepas sesi pagi dengan waktu Asar untuk slot kedua, dan menguruskan anak. Alhamdullilah diizinkan juga merealisasikan hasrat anak menghargai guru-gurunya. Tanpa restu dan doa seorang guru, hilanglah keberkatan ilmu.

Buku Belajar Sendiri Kaedah Faham Arab Al Quran menjadi rezeki guru-guru di PASTI dan kek coklat vanila rezeki pilihan anakku menjadi rezeki guru-guru Taska Transit. Kedua-duanya tiada nilainya berbanding ilmu dan titik peluh yang dicurahkan. 

Itu yang selalu ku terangkan pada anakku. Jangan lupa ucap terima kasih setiap hari kepada guru. Tidak perlu tunggu hari guru sahaja. Alhamdullilah nampaknya dia faham walaupun masih kecil.

Didoakan semua guru-guru anakku diampunkan dosa, diangkatkan darjat disisiNya dan dimasukkan ke JannahNya tanpa hisab.



Hari keempat Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

15 Mei telah masuk hari keempat Daurah Tafsir. Alhamdullilah kini telah masuk surat selesai Surah kedua selepas Surah Al Fatihah iaitu Surah Ghafir/ Surah Mukmin surah ke 40. Surah ini merupakan permulaan Haa Mim 7 di mana intipati Al Quran terdapat dalamnya. Untuk mudah faham Al Quran, belajar tajuk-tajuk penting terlebih dahulu.

      Haa Mim 7 ini membicarakan tentang "Iyya ka nas tai'n, (Hanya kepadaMu kami bermohon). fasa kedua ayat ke 4 Surah Fatihah. Iaitu mengesakan Allah dalam berdoa. Berdoa ini hati kepada ibadat. Ia perkara tauhid. Musyrikin Mekah menolak ajaran Rasullulah saw kerana percaya bahawa ada wakil-wakil Allah yang perlu disembah seperti para malaikat, jin dan wali-wali. Ini adalah syirik iaitu dosa yang tidak diampun oleh Yang Maha Pengampun, nauzubillah hi minzallik.

Allah menjawab "Akan diberikan apa sahaja yang dipohon oleh hambaKu". Ia janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Allah menjawab doa dalam bentuk yang tidak tercapai akal manusia. 
       i. Allah memberi apa yang kita pinta;
     ii. Allah menggantikan yang lebih baik daripada yang dipinta kerana permohonan kita itu memberi mudarat kepada kita. Benda yang kita suka tidak semestinya baik pada kita; dan
     iii. Allah menangguhkan untuk memakbulkan doa hambaNya di akhirat kelak.

Saidina Umar ra berkata, "Aku tidak risau doaku tidak dimakbulkan, namun aku lebih khuatir aku tidak diberikan hidayah untuk berdoa". SesungguhNya hamba-hamba Allah yang tidak berdoa adalah sombong dan akan dihumban ke neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.

Alhamdullilah, diberi inspirasi untuk terus berdoa agar artikel yang dihantar ke penerbit berkenaan pendidikan kanak-kanak diterima. Semoga ia dimakbulkan Allah dengan cara terbaik. The power of Dua'.




Sunday, 14 May 2017

Hari Ketiga Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Syukur telah masuk hari ke tiga namun hari ini hari petama anakku ke PASTI Nurul Wahidah, Kampung Tok Motong. Drama air mata di awal pagi telah kuduga. Alhamdullilah dengan teknik memujuk gaya "reward" dan kecekapan ustazah, drama hanya kurang seminit.

Untuk sesi pagi, Maulana membincangkan tentang Surah Ghafir (Mukmin) surah ke 40 dalam Juzuk 24. Ia permulaan Haa Mim 7. Sesi pagi sempat bertalaaqi hingga ayat 30. Bak kata Maulana, ini baru guna gear 1. SubhanAllah bagi aku yang tiada asas, memang berpeluh. Mohon pada Allah dipermudahkan. Rabbi Yasir Walla Tuasir, Wa Tamam Bil Khair. 

Daurah tafsir kali pertama tertutup kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja. Namun Daurah kedua pada tahun 2010 dibuka kepada umum termasuk yang tiada asas tafsir. Setelah dikaji, Maulana dapati untuk Daurah Tafsir tidak perlu asas tafsir. Kerana beliau sendiri yang pakar tafsir, namun apabila hadir Daurah Tafsir Bersanad di Pakistan, terasa bagai orang yang tiada asas tafsir.

Ini kerana Al Quran Mukjizat sepanjang zaman diturunkan untuk semua. Hatta mereka yang buta huruf. Ada peserta Daurah yang tidak tahu mengaji, namun mahir apabila ditanya kefahamannya walaupun sekadar menyebut nombor ayat dan surah. SubhanAllah, apa lagi alasan kita untuk tidak cuba mempelajarinya. 




Hari Kedua Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah untuk hari kedua, Ujian hari kedua adalah jarak yang jauh untuk ke kelas kerana bermalam di Pengkalan Chepa untuk menghantar suami pulang ke Miri. Ujian kedua, kuliah dimulakan agak lewat iatu jam 10.00 pagi. Sepatutnya 9.30 pagi, Ini ekoran banyak sangat iklan "mengalih kereta". Disebelah petang, hujan lebat beserta kilat dan petir. Gangguan suara di bilik Muslimat, kuliah yang sebenarnya telah bermula jam 5.00 petang, hanya didengari audionya selepas 1/2 jam. Ini lah dinamakan rezeki, telah hadir namun 1/2 jam pertama tidak diizinkan mendengar jika memang bukan rezeki. Syukur ada rakaman dalam Group Telegram.

Maulana Hadi membincangkan tentang Risalah di bawah tajuk Tauhid. Sebelum memulakan pembelajaran tafsir, setiap pelajar mesti tahu hal ehwal Arab Jahiliah Mekah.  Semoga dengan mempelajari hal ehwal mereka maka kita dapat mengelakkan diri daripada termasuk dalam golongan mereka yang digelar Musyrikin Mekah.

Golongan Musyrikin Mekah ini adalah golongan beragama yang mengikut ajaran Nabi Ibrahim cuma mereka tidak dikurniakan kitab wahyu seperti Al Quran, Taurat, Injil dan Zabur. Hanya segelintir mereka yang mengamalkan kepercayaan "Tidak Bertuhan" atau kini digelar "Ateis". Musyrikin Mekah mengamalkan solat, puasa, zakat, haji, berkhitan dan munakahat (urusan nikah dan kahwin). Maknanya secara kasarnya, amalam mereka bersamaan dengan amalan Umat Islam.

Namun mengapa mereka menentang hebat Rasullulah saw sehingga sanggup ingin membunuh Baginda?

Ia adalah kerana kalimah "La Illa Hailla Allah", kalimah syahadah yang diajar oleh Nabi saw. Pada mereka, Tuhan ada lebih daripada satu iaitu termasuk golongan nabi, wali dan orang yang diberi keistimewaan atau qaramah yang dianggap sebagai wakil kepada Allah. Inilah isu tauhid yang menyebabkan mereka digelar Musyrikin golongan yang syirik. 

Merenung kembali pada diri kita, marilah kita sama-sama bermuhasabah. Mohon Allah jauhkan kita daripada tergolong dalam golongan syirik. Zaman kini, walaupun semakin ramai bijak pandai. Namun semakin ramai juga cenderung mengamalkan syirik. Nauzubillah himin zallik

Saturday, 13 May 2017

Hari Pertama Daurah Tafsir

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Syukur ke hadrat IIahi kerana diizinkan untuk hadir Daurah Tafsir dengan Maulana Hadi bermula semalam (12 Mei 2017). Paling menggembirakan dapat hadir dengan suami, walaupun hanya pada hari pertama. Kehadiran amat menggalakkan dari seluruh pelusuk negara. Daurah ini kali ke 9 dianjurkan dan satu-satunya di Malaysia. Semoga Allah terima usaha hambaNya yang lemah ini.

Kelas bermula jam 9.00 pagi. Selesai menghantar anak ke Taska Transit 24 jam Mami Armi di hadapan Hospital Besut, terus bergegas ke Pondok Darul Uloom. Pilih tempat duduk paling dekat dengan tandas. Sebab minum Herbalife ini memang banyak buang kumuhan. "Flushing". Maulana memulakan majlis dengan doa dan minta semua perbetulkan niat. Setiap amal bergantung kepada niat. Yang utama niatkan untuk mendapat redha Allah. Kedua berniat untuk faham dan amal dan yang paling penting niat untuk tabligh (sampaikan). In sha Allah. Medium penyampaian ada banyak bergantung kepada kemahiran masing-masing. Aku memilih untuk tabligh melalui penulisan, in sha Allah.

Belajar ilmu wahyu Allah (Ilmu Al Quran ) perlu dengan "tawwajuh". Memberi sepenuh tumpuan. Untuk ruang muslimat, kami hanya mendengar melalui "speaker" semata-mata, maka pendengaran harus tajam. Gangguan bunyi seperti tangisan dan jeritan kanak-kanak, agak mengganggu sesetengah jemaah. Urusetia beberapa kali memberi amaran agar kanak-kanak di kawal. Atas sebab jangkaan begini lah aku berusaha untuk mencari tempat meletakkan anakku sewaktu aku berdaurah. Ia memerlukan "pelaburan" yang banyak. Namun dibuat atas niat kemaslahatan semua jemaah. 

Pengajian secara bertalaaqi ini memungkinkan jemaah mendapat sanad jika kehadiran penuh 42 hari. Tiada syarat penyertaaan malah kehadiran diisi sendiri atas amanah. Aku memang tiada kelayakan bidang agama namun niat dalam hati nyata didengariNya.

Malamnya bermula tafsir Al Fatihah. Dalam Al Fatihah, Allah mengajar hambaNya berdoa. Al Fatihah adalah intipati Al Quran yang merupakan rukun dalam Mazhab Syafie. Dengan permulaan Bismillah, Allah menerangkan sifat pemurahNya yang menyediakan segala bekalan hidup untuk semua makhluknya tidak kira kafir atau muslim. Manakala sifat PengasihNya akan dizahirkan di akhirat kepada hambaNya yang bertaqwa. Setiap perbuatan yang dimulai dengan kalimah Bismillah, menyebabkan syaitan kecewa. Kita memohon pimpinan Allah dalam menuju matlamat akhir.



Wednesday, 10 May 2017

U Turn@ Jertih

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,



Alhamdullilah, selamat kami selamat sampai ke Bandar Jertih jam 8.00 malam diiringi oleh hujan lebat sepanjang LPT2. Kali ini kami tinggal di Emma Guesthouse yang murah, selesa dan bersih. Cuma bagi penginap yang ketagih tv, mungkin rasa tidak selesa kerana tiada tv di bilik cuma di lobi hotel sahaja. Ia terletak berhampiran mini market, bakeri dan kedai makan nasi arab dan kedai makan ala carte. Terletak 2 km dari Bandar Jerteh. Kemudahan air panas, 3 in 1 dan peti ais serta ruang makan juga disediakan di lobi hotel. Hotel ini menjadi pilihan pelancong luar negara kerana berhampiran dengan Jeti ke Pulau Perhentian lebih kurang 23 km.

Pelan asal, hari ini menguruskan hal sekolah dan transit anakku sepanjang 42 hari aku berdaurah. Sangkaan kami Terengganu tidak bercuti untuk Hari Wesak meleset. Maka pendaftaran ke PASTI Tok Motong terpaksa di tunda esok hari. Namun demikian, alhamdullilah selesai isu transit lepas sekolah. Anakku bakal menghuni Taska/Transit Mami Armi di hadapan Hospital Besut yang beroperasi 24 jam. Untuk tempoh mulai jam 1.00 petang hingga 9.30 malam dikenakan RM250 termasuk makan bagi temph 42 hari.  

Hari ini juga selesai "duplicate" kunci rumah homestay walaupun terpaksa tunggu pkl 9 malam kerana tukang kunci hanya datang malam. Isu u-turn banyak kali hari ini hingga beberapa kali ke Pasir Puteh sempadan Jertih kerana jalan rayanya yang ber "divider" sepanjang jalan. Sampai anakku bertanya kenapa asyik u-turn sahaja? In sha Allah di Bandar U-Turn ini lah kami bakal berkampung untuk 42 hari seterusnya. Esok adalah hari pendaftaran Daurah bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

Ya Allah terimalah pelaburan ilmu kami, berkatilah kami dengannya, kurniakan kami ilmu yang bermanfaat, semoga ia dapat diamalkan dan dikongsi bersama.  Kami hanya mengharap keredhaanMu  Ya Allah, Kami hanya hambaMu yang penuh kekurangan dan kelemahan namun tetap mengharap belas kasihanMu.

Tuesday, 9 May 2017

Rezeki Ujian Cap Jari StiFin


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Aku mengetahui berkaitan StiFin apabila terbaca "posting" di FB. Sangat menarik. Memang teruja untuk buat ujian Cap Jarinya. Biasanya buat ujian personaliti bertulis. Apabila telah sering buat, terasa ada ruang manipulasi. Alhamdullilah dalam permusafiran kali ini, diizinkanNya untuk buat ujian tersebut untuk keluarga kecil kami.

Lokasi perjumpaan di restoran "Jemari" di Bangi. Sesuai pula dengan tujuan kami. Keputusan kami agak lewat kerana isu teknikal. Namun ruang berkenaan digunakan untuk bincang potensi membawa StiFin ke Miri, in sha Allah. Sebaik ujian di terima, kedua-dua penguji berubah muka. Tidak mampu ku telah maksudnya. Rupanya kerana ketiga-tiga kami mempunyai 3 personaliti berbeza, namun persamaanya kami semua INTROVERT. Sedangkan ujian psikologi bertulis yang beberapa aku lalui EXTROVERT. Mmmm...patutlah.

Suamiku Intuiting Introvert, aku Sensing Introvert dan anakku Feeling Introvert. Pertemuaan yang disangkakan hanya sebentar nampaknya berlangsung hingga 2 jam. Disebabkan family kecil kami ada 3 daripada 5 personaliti. Maka penguji perlu terangkan 3 jenis karakter. Stok buku yang sepatutnya disertakan semasa ujian telah habis. Maka huraian lanjut akan dibuat setelah diterima buku.

Aku Kini Penulis Upahan a.k.a "Ghostwriter"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Bersyukur atas peraturan Allah swt. Aku berjaya hadiri "Bengkel Penulis Upahan 2017" di Shah Alam. Maka 6 dan 7 Mei aku bertapa bersama Sifu Hebat, Puan Tengku Nurhusni Tengku Abdul Razak. Penulis Upahan berjaya yang sanggup berkongsi teknik beliau. Pelaburan ilmu yang berbaloi.

Kem ini bersifat "coaching" dan praktikal. Matlamatnya seusai kem, telah ada kertas cadangan lengkap buku untuk diterbitkan. Malahan sedaya mungkin siapkan buku tersebut. Bukan main-main. Kami kini diterima dalam tim beliau. Ia bukan paksaan namun pilihan masing-masing. Kertas cadangan ku di terima dengan komen, perlu tambah "wow factor". Dan ada beberapa kesilapan ejaan. Itu KESALAHAN BESAR dalam kertas cadangan. Jangan sakitkan mata penerbit dan editor yang cuba di "pitching". Alhamdullilah atas teguran membina Puan Sifu. Malahan ada seorang sahabat satu kem yang telah ditawarkan oleh seorang selebriti untuk menulis kisah penghijrahan beliau, Tahniah Puan Dzarinah, anda memang hebat. Belum habis kem, sudah ada "job" menanti. Masya Allah itulah hebatnya kuasa Allah.

Apabila ditanya apa itu "Penulis Upahan" semasa sesi taaruf. Jawapanku pertama kali dengar, yang biasa dengar "Pembunuh Upahan". Itulah hasil banyak sangat menonton CSI. Luas rupanya dunia Penulis Upahan. Syarat utama, penulis upahan adalah nama kita 'TIADA" di mana-mana ruangan dalam buku yang dihasilkan. Kita juga "TIDAK DIBENARKAN" tuntut bahawa buku tersebut kita yang tulis, ayat ringkas, kita hanya "TYPIST". Walau hakikatnya kita adalah penulis sebenar. Kerana ramai di luar sana dikurniakan ilmu hebat namun kekangan masa untuk menulis. Maka di sinilah penulis upahan memainkan peranannya.

Sifu memaklumkan bahawa kini beliau sedang proses menyiapkan buku tafsir Surah Lukman, Surah Maryam dan Surah Al Kahfi. Kami diberi pilihan memilih surah masing-masing. Surah yang dekat di jiwa. Aku memilih Al Mulk. Pada jam 3.00 petang hari kedua, kami diarahkan untuk emel kepada beliau setakat mana buku yang telah disiapkan. Minimum 2 muka surat. Hanya untuk melihat gaya bahasa. Aku tidak sabar menunggu komen beliau.

Rupanya aku sebelum ini sudah jadi penulis upahan. Apabila aku selesai menterjemahkan kertas kerja pelanggan pertamaku. Menerbitkan buku sendiri memang tidak pernah terfikir. Namun kini, in sha Allah ia bakal kurealisasikan. Sekurang-kurangnya dalam bentuk "e-book" sebagai langkah permulaan.

Ciri-ciri utama penulis ada 2:

1. kawan baiknya adalah BUKU;
2. MINIMAKAN TV kalau boleh ditiadakan kerana ia pencuri masa.

Mmm, nampaknya macam ada ciri-ciri di atas. Kini yang aku perlukan adalah TINDAKAN. Bak kata Sifu pastikan pelaburan ilmu anda mempunyai ROI (Return On Investment). 

Maka kini secara rasminya, "SAYALAH PENULIS UPAHAN ANDA!!!". Jadikan impian anda memiliki buku satu kenyataan. Mana tahu buku anda "The next popular book" dalam Pesta Buku 2018 selepas Fattah Amin. Cepat hubungi saya 017 370 6530 untuk bincang lanjut.

Ujian "Brain CT Scan dan EEG" Part 2

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Drama airmata di taska. "Scene" biasa. Perjalanan ke hospital diteruskan. Aku menaiki teksi kerana suamiku guna kereta untuk ke Bintulu. Pagi yang sama. Alhamdullilah beliau sudah tiba hampir sewaktu denganku di hospital. Walaupun hakikatnya beliau meredah gelita bermula jam 4.00 pagi. Ya Allah, rahmatilah suamiku dan jadikan setiap titik peluhnya pengangkat darjatnya di sisiMU.

Aku pesakit pertama daftar. Pintu bilik CT Scan belum dibuka. 5 minit kemudian, seorang wanita Melayu duduk di sebelahku. Beliau datang untuk CT Scan bahagian perut. Ada batu karang. Beliau persara Jab Akauntan Miri. Juga bersara pilihan sepertiku. Katanya ingatkan bersara nak rehat, rupanya diberi ujian badan olehNya. Selang 10 minit, seorang wanita Cina duduk disebelah kananku. Senyuman membuka bicara. Beliau datang untuk MRI. Katanya dirujuk dari hospital swasta sebab kos di sana mahal. Satu MRI minimum RM2500. Hospital Kerajaan hanya RM1, namun perlu bersabar. Katanya beliau menunggu 2 bulan untuk dapat "turn". Bersyukurlah kita semua. 

Tepat jam 8.00 pagi, pintu bilik ke ruang kaunter CT Scan dibuka. Namaku dipanggil. 

Pertanyaan pertama "Puan mengandung ke?"
 "Tidak" jawabku pantas.
 Dalam hati "Doakan saya ye". 
"Sekejap lagi kami akan cucuk jarum"

Seorang jururawat berbaju biru muda memanggil namaku. 

"Puan kerja sini dulu kan?"
Dalam hati "Kantoi...."
"Yup, tapi dah bersara"
Semasa tangannya pantas bekerja menyucuk jarum di tanganku. Mulutnya tidak putus-putus bercerita tentang niatnya untuk bersara awal juga. Akhirnya sesi 10 minit, aku berkongsi tips pastikan proses persaraan awal berjalan lancar. 

"Puan tunggu di luar sekejap yer. Nanti kami panggil masuk",



  5 minit kemudian. Masuk ke bilik CT Scan. 
"Maaf yer Puan sila buka tudung",kata Juru Xray lelaki itu
"Ya Allah, macam mana ni?. Gelisah dalam hatiku. Namun kuturuti jua dengan hati yang "bengkak".
Aku diminta baring dan diikat agar tidak bergerak. Kepala ku juga diikat. Untuk elak kepala bergerak, span di letak di kiri kanan. Selepas isu teknikal selesai. Ubat pun disuntik, juga oleh perawat lelaki. Sakit juga sewaktu ubat mengalir masuk.

Selesai dimasukkan ubat, aku ditolak ke dalam gelung. Mataku di suruh pejam. Bunyi seperti mesin basuh kedengaran, badanku terasa di pusing-pusing ke kiri dan kanan dengan gerakan perlahan. Selepas 15 minit, "Ok puan dah selesai. Keputusan nanti Puan collect selepas 2 minggu ye".


Lepas cabut jarum. Meriah sungguh darah yang keluar.


"Next" destinasi Unit Nefrologi untuk ujian EEG. Perut semakin berbunyi sebab masih berpuasa. Dalam perjalanan ke sana, terserempak lagi beberapa kenalan. "Puan sakit ke?". "Taklah, ujian biasa je" Terus berlalu segera sebelum perlu buat "story telling".

Masuk dalam hantar borang, "Alamak!!," Rupanya MA yang bertugas kenalanku juga. "Laa...patutlah kamek nangga namanya macam kamek kenal jak. Kamek sik percaya juak, sik akan la Puan Nor tok". Nya kan sihat jak". katanya memberi ulasan tanpa ditanya. Rupanya ramai yang telah berteka teki bila lihat namaku dalam senarai temujanji. Jawapan ringkas ku "Ujian Allah, redha je lah". Noktah.

Selepas menunggu hampir 1 jam kerana masih ada pesakit, aku dipanggil. Sekali lagi dialog yang sama. Dejavu sungguh. "Maaf yer Puan sila buka tudung". Terpaksa akur sekali lagi. Kali ini lebih hebat penangan hati "bengkak" kerana ada orang yang ku kenali.

Kemudian dalam tempoh 10 minit, MA tersebut melekatkan wayar-wayar di atas kepalaku. Alhamdullilah tidak perlu cukur rambut. Ada 23 point wayar yang dipasang untukku. Jumlah point bergantung pada kes. Kemudian aku diminta baring dengan tenang. Selepas 10 minit, " Puan diminta buka dan tutup mata berdasarkan kelipan lampu di atas. Bila lampu buka, tutup mata, bila lampu tutup, buka mata ye". Barulah aku tahu fungsi bintik-bintik kecil yang aku tenung dari tadi. Rupanya lampu. Aku ingatkan hiasan.  Prosedur ambil masa dalam 30 ke 45 minit bergantung pada kelajuan mesin.

Menurut MA tersebut, mesin ini sudah berusia 10 tahun. Dan hanya ada satu di Hospital Miri. Ini memang hakikat yang aku ketahui sejak masih bertugas lagi. Kekakangan peruntukan untuk peralatan. Selagi berfungsi walaupun telah dikategorikan sebagai BER (Beyond Economic Repair) masih tiada ganti.. 

Sepanjang tempoh bacaan gelombang otak di ambil. Aku tiada rasa apa-apa. Nak tidur pun boleh. Tapi sebab kami asyik bersembang, tidak sedar waktu berlalu. Selesai proses dan dicabut wayar. Memang kepala melekit kerana gel yang ditampal tadi. 

"Keputusan dalam tempoh sebulan ye puan". Bacaan perlu di hantar ke KL untuk tafsiran.  Maka kesimpulannya "appointment" ku dengan Doktor Pakar perlu ditukar kerana "result" belum siap.

Usai semua, aku berdoa semoga satu hari nanti akan lebih ramai petugas wanita yang pakar untuk kedua-dua bidang ini. Agar ia lebih patuh syariah. Demi menjaga aurat wanita Muslimah. Sebagaimana yang sering dicanang untuk Wad Bersalin. Ya Allah perkenankan lah doa kami. Sesungguhnya setiap yang berlaku pasti ada mutiara untuk dikutip. Hanya aku yang "buta hati".



Monday, 8 May 2017

"Maaf aku tak tahu drive kereta manual"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Sudah 5 hari blogku tiada entri. Kecewa dengan diri sendiri. Masih merangkak untuk memenuhi KPI sendiri. Bukan setakat entri tertunda. Penerbanganku ke KL juga sama. Jumaat lepas, bermula siri permusafiran seterusnya. Antara destinasiku Kem "Penulis Upahan",  Pesta Buku Antarabangsa KL dan Jertih untuk Daurah Tafsir. Manusia merancang namun Allah tentukan. 


"Itenarary" Jumaat berubah 360 darjah. Hanya kerana tajuk entri ini. Untuk "Old School" sepertiku, ia satu isu. Kerana ia datang dari mulut lelaki. Dulu ayat biasa "Aku tak tahu bawak kereta". Kini semua ada pilihan. Pastinya "automatik" pilihan ramai. Aku pernah berdepan situasi yang sama pada tahun 2007. Sejarah berulang selepas 10 tahun.

Segalanya kini di hujung jari. Tiada salahnya memandu "automatik". Namun padaku skill asas pemanduan perlu ada. Mungkin jiwaku jiwa pelumba­čśĆ. Itulah hakikat dunia kini. Terlalu taksub dengan "automatik" dan kecanggihan teknologi. Gear di hujung jari. Hakikatnya memang dunia kini "Dunia Hujung Jari"

Pemilik kereta "manual" kini dianggap "rare breed". Dulu pemilik kereta "automatik" dianggap orang kaya. 

Semoga minda "automatik" ini tidak terbawa dalam kehidupan. Matlamat kita semua "Syurga Firdaus Tanpa Hisab" tidak tercapai secara "automatik". Tawakal tidak menafikan usaha. 

Wednesday, 3 May 2017

Ujian "Brain CT Scan dan EEG" Part 1

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Yang berkobar-kobar hendak kemaskini blog semalam adalah untuk memasukkan entri ini namun disebabkan isu teknikal maka ia ditangguhkan ke hari ini. Semalam, aku telah menjalani ujian "Brain CT Scan dan EEG (Electroencephalography) di Hospital Miri.

Kenapa aku perlu menjalani ujian ini? Semuanya bermula pada tahun 2013 semasa aku sedang mengandungkan anak tunggalku (buat masa ini) di Miri. Memandangkan tarikh bersalinku secara "planned ceaserean" telah ditetapkan pada minggu ke 38 kerana anakku dianggap "precious baby" hasil "frozen embryo" untuk cubaan kedua IVF. Maka 2 minggu sebelum tarikh tersebut, kami telah menempah penerbangan pulang ke Ipoh. Penerbangan kami pada pukul 5.50 pagi iaitu penerbangan pertama yang kebiasaannya harganya jauh lebih murah (dasar perbelanjaan berhemah). 

Dipendekkan cerita, semasa aku sedang membuat persiapan terakhir pada jam 3.00 pagi hari tersebut, aku telah dikatakan telah merasuk dan bersifat agresif sehingga tenaga kelakian suamiku sendiri tidak mampu melawan kudrat seorang wanita yang sedang sarat mengandung. Disebabkan insiden tersebut, kami telah terlepas penerbangan. Aku yang masih bertindak agresif sehingga memecahkan beberapa barang rumah telah memaksa suamiku memanggil jiran sebelah rumah. Aku di bawa ke rumah seorang perawat tradisional namun disebabkan aku sedang hamil, beliau enggan meneruskan rawatan bagi mengelakkan komplikasi pada anak dalam kandungan. Ekoran aku yang masih meracau-racau dan bertindak agresif walaupun dipegang oleh 3 lelaki dan seorang perempuan, semua telah sepakat memanggil ambulans. Aku telah disuntik ubat penenang dan di bawa ke Jabatan Kecemasan. Sebaik aku sedar, aku dapati bahawa kaki dan tanganku telah diikat. Aku merasa terlalu dahaga namun suamiku memaklumkan bahawa aku tidak dibenarkan minum sedangkan belum setitik air pun ku teguk sejak jam 3 pagi dan kini telah tengahari. Aku kemudian dipindahkan ke wad untuk pemantauan. Di wad aku hanya kaku memandang dinding dengan mata yang tidak berkelip. 4 hari di wad dengan pelbagai ujian termasuk MRI dan mengambil air tulang belakang tidak termasuk berpain-pain darah diambil setiap hari untuk ujian. Badanku penuh dengan kesan jarum sehingga ke kaki. Namun aku masih kaku dan ujian juga menunjukkan aku sihat dan normal.

Aku dirujuk kepada Pakar Psikiatrik kerana dikatakan mempunyai gangguan jiwa. Rentetan daripada rawatan susulan di Jabatan Psikiatrik dan Kesihatan Mental ini yang memerlukan aku menjalani ujian "Brain CT Scan dan EEG" untuk melihat gelombang otakku. Cerita selanjutnya di entri berikutnya. Stay tune

Kerja Terjemahan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Alhamdullilah setelah 2 minggu aku bergelumang dengan tugasan menterjemah Kertas Kerja pelajar Diploma Kolej Poly-Tech MARA, ianya berjaya diselesaikan. Semoga ia memenuhi kehendak pelanggan. Kerja terjemahan yang melibatkan 5 bab secara keseluruhan adalah berkenaan Latihan Praktikal yang telah dijalani oleh pelajar tersebut. Aku mendapat tugasan ini hasil rekomen sahabat baikku. Ia merupakan tugasan terjemahan ku yang pertama dan ternyata ia banyak memberi pengajaran kepadaku tentang hakikat dunia para pelajar institusi pengajian terkini.

Tiada sekelumit niatku untuk mendabik dada mengatakan bahawa aku mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris yang hebat namun sekurang-kurangnya di zaman aku belajar dahulu di ITM dan kini UiTM yang menggunakan medium Bahasa Inggeris sepenuhnya aku masih mampu membuat laporan dalam Bahasa Inggeris tanpa bantuan sesiapa. Namun hanya melalui satu tugasan ini aku tidak sewajarnya melabelkan keseluruhan siswazah. Semoga ianya tidak seteruk yang kusangkakan.

Institusi pengajian tinggi swasta yang tumbuh bak cendawan selepas hujan ternyata menjadi pilihan ramai ibubapa yang kini rata-rata mampu menghantar anak mereka ke sana sekiranya gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam. Aku tidak mengatakan bahawa semua graduan swasta ini kurang berkualiti namun ia juga tidak wajar dibiarkan tanpa pengawasan rapi jabatan yang berkaitan.

Berdasarkan pengalaman pertamaku ini, ku dapati juga penguasaaan Bahasa Melayu agak lemah mungkin disebabkan terpengaruh dengan bahasa sms dan bahasa tanpa vokal. Aku juga sering mendengar rungutan daripada rakan-rakanku yang menjadi pensyarah tentang mutu penulisan para siswazah yang agak mengecewakan walaupun di IPTA. 

Namun jika dilihat dari sudut rezeki, kelemahan ini merupakan peluang untuk para penterjemah amatur sepertiku untuk mencuba nasib dan mengasah bakat yang terpendam dan mungkin telah berkarat. Jika ada yang berminat mencuba khidmatku sebagai penterjemah amatur dipersilakan hubungi aku di talian 017 370 6530.  Yang pastinya harganya amat mampu milik kerana ia harga pengenalan.

"Laptop Updating"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Semalam memang sangat teruja hendak mengemaskini blog dan juga menyiapakan tugasan terjemahan untuk Bab 3 bagi tugasan terjemahan ke Bahasa Inggeris yang tempoh tamatnya semakin hampir. Namun ketentuan Allah mengatasi perancanganku. Buka sahaja komputer ribaku yang banyak berjasa ini, terpampangnya mesej di atas. Mulanya aku sangkakan hanya sekejap namun penantian selama hampir sejam dan peratusan masih di bawah 50% memang mematikan keterujaanku. Tambahan pula tiba-tiba cuaca di Miri berubah, hujan lebat mencurah-curah disertai kilat dan petir. Maka hasrat asalku terbantut dan aku membuat keputusan untuk bermain-main nombor dengan anakku. Sememangnya dunia anak-anak adalah bermain dan dengan bermainlah mereka belajar.

"PC updating" ini juga mengingatkan aku bahawa setiap perkara perlu penambahbaikan terutamanya diri kita sebagai manusia. Terdapat 3 golongan manusia iaitu:-

      a. Manusia yang celaka- iaitu yang hari ini LEBIH BURUK dari hari semalam;
      b. Manusia yang rugi - iaitu yang hari ini adalah SAMA dengan hari semalam; dan
      c. Manusia yang beruntung - iaitu hari ini adalah LEBIH BAIK dari hari semalam.

Sememangnya kita wajib untuk meningkatkan prestasi diri walaupun sedikit terutamanya dalam soal ibadah kepadaNya. Untuk seorang suri rumah tangga, bagaimana meningkatkan prestasi diri? Bagiku sebagai insan yang hidupnya 24 jam dengan anak, banyak yang aku belajar daripada makhluk Allah yang masih bersifat fitrah ini. Seorang anak kecil yang masih suci jiwanya memang banyak mengajar aku setiap hari. Hatinya sangat tulus dan tiada sebarang dendam. Sesungguhnya setiap insan yang dihadirkan dalam hidup kita bukanlah secara kebetulan melainkan dalam perancanganNya dan setiap darinya memberikan pengajaran baru untuk kita. 

Monday, 1 May 2017

Pelajar Tahfiz Sarawak Juara Matematik Dunia

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Di kala insiden yang menimpa adik Muhamad Thaqif, pelajar tahfiz yang meninggal dunia dikatakan sebagai didera oleh pembantu warden yang kini masih dalam tahanan reman, Allah mengurniakan berita gembira bagi para pengusaha tahfiz di mana 2 pelajarnya di Sarawak telah berjaya mengharumkan nama negara dengan menjuarai pertandingan Matematik peringkat dunia yang berlangsung di Manila.

Sebagaimana pusat-pusat tahfiz telah menerima tamparan hebat daripada kes-kes penderaan terpencil, sepatutnya kejayaan ini juga turut ditularkan agar menjadi satu bukti bahawa pusat tahfiz juga berjaya melahirkan insan cemerlang dunia akhirat. Hakikatnya, manusia lebih gemar menghebahkan perkara-perkara buruk berbanding membantu secara konstruktif pusat-pusat tahfiz yang kebanyakkannya diusahakan secara individu oleh insan-insan hebat disebaliknya tanpa sebarang bantuan Kerajaan dan seumpamanya, Namun janji Allah kepada mereka yang membantu agamaNya memang tidak pernah mengecewakan.

Tahniah kepada adik Jad Haris Sabaruddin, 12 tahun dari Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yaakub dan adik Najmi Asyraf Abdul Halim, 10 tahun Sekolah Kebangsaan Agama, Datuk Haji Abdul Kadir Hassan yang telah berjaya membuktikan bahawa pelajar sekolah tahfiz dan aliran agama mampu bersaing dengan penuntut aliran sekular.

Anak-anak yang menghafaz Al Quran sejak kecil akan memberi kesan besar dalam kehidupan mereka. SubhanAllah, kesannya Allah akan kurniakan kebijaksanaan ke dalam jiwa anak-anak yang telah sebati dengan Al Quran ini. Abdullah bin 'Abas meriwayatkan bahawa Rasullulah saw bersabda'

" Sesiapa yang membaca Al Quran sebelum baligh umurnya, maka akan dikurniakan hikmat kebijaksanaan di usia kecilnya"

Semoga kita semua tidak mensia-sianya "golden age" anak-anak kita iaitu sejak lahir sehingga berumur 6 tahun, untuk menghafaz sebanyak mungkin surah-surah dalam Al Quran kerana waktu ini adalah waktu di mana sel-sel otaknya amat pesat berkembang dan penyerapan semua ilmu dan pengalaman adalah seumpama span.

Alhamdullilah setakat ini, anakku yang berumur 3 tahun 6 bulan telah menghafaz ayat Kursi, 3 Qul, ayat 1-5 surah Al Mulk dan ayat 1-28 surah An Naba'. Ya Allah permudahkanlah urusan kami untuk memastikan amanah kami ini menghafaz seluruh 30 juzuk Al Quran sebelum dia mencapai umur 7 tahun. Fasihkan lisannya membaca ayat-ayatMu dan hadith berkat Nabi S.A.W. Jadikanlah Al Quran ini darah dagingnya Ya Allah. Sesungguhnya mengajar anak kecil menghafaz Al Quran tidaklah sesukar mana sekiranya tahu tekniknya namun yang lebih sukar adalah untuk aku mummynya yang bukan Hafizah untuk terus istiqamah menghafaz bersamanya. Maafkan mummy yer sayang di atas kelemahan mummy, mummy akan terus berusaha sebaik mungkin. Lahaulawala quwataillah billah hia'liula'zim.
Adik Jad Harris sedang beraksi

Durian Musang King

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Tiba-tiba hari ini anakku asyik menyebut hendak makan durian selepas kami makan "tester" kek lapis Sarawak dari Serian yang berperisa durian. Dialong biasanya jika mahukan sesuatu adalah ayat-ayat syahdu, "Dah lama kita tak makan durian, kan mummy?". "Dah lama kita tak minum air durian". Ayat itu buat mummy tercengang seketika, "Bila masa kita minum air durian?" "Mummy dah lupa ker? Yang kita minum kat rumah atuk macam Upin Ipin dalam Kampung Durian Runtuh tu...."

Rezeki anakku, kami berjaya berjumpa dengan penjaja menjual durian di tepi jalan berhampiran Pustaka Miri. Namun keterujaan mummy daddy yang hampir berjaya menunaikan permintaan anak tergendala sebentar setelah melihat harganya. Paling murah RM75 sebiji, durian musang king yang diimport dari Thailand. Terkulat-kulat si daddy, tidak sampai hati nak hampakan si anak namun ternyata harganya di luar kemampuan. Kami terus cuba tawar menawar namun hampa. Akhirnya kami cuba mengumpan si tauke untuk menjualkan sampelnya yang ada 4 ulas durian, awalnya beliau menolak. Tapi setelah merayu dan memaklumkan bahawa hanya ingin memenuhi keinginan si anak kecil dan anakku pula tidak habis-habis merengek "Nak durian, mummy, nak durian", si tauku menyerah kalah. Kami berjaya membeli 4 ulas durian musang king dengan harga RM20, alahai anak.

Begitulah juga pastinya ibubapa kita sebelum ini yang bergolok bergadai menunaikan setiap permintaan anak-anaknya. Sedangkan kita sebagai anak dulunya tetap merengek sehingga kemahuan dipenuhi. Ya Allah ampunilah dosa kedua ibubapa kami, Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami sejak kecil dan masukkanlah mereka dalam syurga FirdausMu tanpa hisab.

Setelah selesai menghabiskan durian, barulah aku tahu bahawa air durian yang dimaksudkan adalah air yang diminum dalam kulit durian sebagai petua menghilangkan "panas" makan durian. Itulah secebis memori indah anakku 3 tahun 6 bulan dengan durian dan air duriannya.

4 ulas musang king RM20

Menikmati "air durian"