Rezeki Gadis Cilik

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hujung minggu pertama setelah balik Miri setelah bermusafir selama 3 bulan. Kami hanya bersantai dirumah dan hanya keluar untuk berjemaah Maghrib dan Isyak di Masjid At Taqwa yang terletak di tengah bandar Miri kerana bercadang untuk terus makan malam selepas Isyak. Kebiasaannya kami cuma ke Masjid Lutong dalam kariah kami. Semasa ke masjid, aku membaca bersama Buku 7 hari mengingat makna bacaan solat sekiranya ada yang berminat.

Kami sampai ke masjid sewaktu azan Maghrib sedang berkemundang. Masjid tersebut meriah dengan kehadiran ramai jemaah kerana kedudukannya yang berhampiran pusat membeli belah Permaisuri Mall dan ia merupakan malam minggu. Ia merupakan malam warga Brunei memenuhi Bandaraya Miri. Ramai keluarga bersantai namun masih mengutamakan solat, alhamdullilah. Di bahagian jemaah wanita, ramai yang membawa anak-anak kecil. Syukur alhamdullilah telah ramai ibubapa yang membiasakan membawa anak-anak kecil ke masjid. Semoga ia memberi rahmat kepada semua kerana anak-anak ini adalah ahli syurga.

Selesai solat maghrib, aku meletakkan 3 naskah buku yang kubawa di hadapan saf. Sementara menunggu solat isyak, kami beriktikaf di masjid. Anakku telah seperti biasa membawa begnya yang penuh dengan buku-buku pilihannya untuk dibaca semasa menunggu isyak. Alah bisa tegal biasa, anakku tidak lagi berlari-lari di dalam masjid berbanding sewaktu kecil dahulu. Sekurang-kurangnya dia sudah tahu serba sedikit etika di masjid.

Berbalik kepada naskah Cikgu Razali Kamaruddin itu, tidak lama selepas buku tersebut kususun di depan saf, seorang anak gadis cilik membelek salah satu naskah. Aku hanya memerhati tingkahnya yang kulihat amat tekun meneliti buku itu. Beliau kelihatan amat berminat sehingga tidak menghiraukan aku yang memerhatinya. Sedang beliau mentelaah buku itu, muazzin melaungkan azan isyak.

Usai solat isyak, gadis cilik itu terus menyambung urusannya membelek buku tersebut namun kali ini cuma sebentar. Mungkin kerana beliau bergegas pulang. Aku pulang mengambil semula ketiga-tiga naskah tersebut dan bersiap untuk meninggalkan masjid. Semasa aku sedang membuka telekung, gadis tersebut kulihat menjeling ke arah buku tersebut lagi tanpa sebarang kata. Aku terus bertanya, "Kitak minat kah dengan buku tok?" tanyaku dalam dialek Miri. Pantas beliau menjawab dengan anggukan yang pantas, "Auk makcik". "Kitak datang sitok, sorang jak ka?"(Awak datang sini, berseorangan ke?". "Sik, kamek datang ngan bapak kamek". (Tidak, saya datang dengan bapa saya). Aku pun pantas menyerahkan buku tersebut kepada gadis tersebut dengan niat sedekah memandangkan beliau tidak membawa wang dan yang paling penting beliau amat berminat dengan buku tersebut. Kerana kesungguhannya untuk belajar, Allah telah membuka hatiku untuk bersedekah padanya. Semoga ia menjadi ilmu bermanfaat dan sesungguhnya rezeki setiap orang dalam genggamanNya.


Comments

Post a Comment

Topik popular