Sunday, 2 April 2017

Review Wayang "The Boss Baby"

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah selesai bertungkus-lumus ber"spring cleaning" tadi, kami keluar selepas zohor untuk membawa anak kami menonton "The Baby Bos" di TGV Permaisuri Mall, sebagai menunaikan janji dia telah menonton iklan wayang tersebut sebelum ini dan daddynya telah berjanji membawanya menonton. Setakat ini, kami seboleh mungkin akan menunaikan semua janji kepadanya dan jika tidak dapat maka kami akan memohon maaf kepadanya dan menyatakan sebab janji tersebut tidak dapat ditunaikan. Walaupun masih kecil namun kita tidak sewajarnya memandang kecil sebarang janji dengannya.

Panggung memang penuh dan kami dapat 3 tempat terakhir di hadapan sekali. Ceritanya sarat dengan mesej tentang dunia kanak-kanak yang penuh dengan imaginasi terutamanya tentang penerimaan seorang anak tunggal selama 7 tahun terhadap adik lelaki barunya. Betapa sebelum ini, Timothy mendapat sepenuh perhatian daripada kedua-dua ibubapanya namun kehadiran "Baby Boss" mengubah segalanya. Adik baru dianggap sebagai perampas kehidupannya yang sempurna sebelum ini. Namun "Baby Boss" bukan sekadar adik lelaki biasa, dia datang bersama misi. Kita juga sering mengenepikan perasaan anak selepas kita mendapat anak kecil yang baru. Kekadang setiap kesalahan adik sering diletakkan kepada abang/kakak yang dianggap sudah "dewasa", hakikatnya mereka masih lagi dahagakan perhatian kita. Memberontak merupakan jalan termudah untuk menunjukkan protes. 

Bagaimana bayi dilahirkan memang tidak digambarkan dalam situasi sebenar dalam cerita ini sebaliknya bayi dikatakan dihasilkan oleh sebuah syarikat "Babyco". Elemen ini memerlukan bimbingan ibubapa sekiranya anak-anak bertanya untuk mengelakkan salah faham.

Secara keseluruhannya, cerita ini menghiburkan dan menyelitkan mesej yang amat mendalam bahawa "Kasih sayang itu terlalu istimewa dan tidak akan berkurang sekiranya ia dikongsi malah akan lebih menguntungkan. Bak kata "Sharing is caring and caring is loving". Ia juga memberikan panduan kepada ibubapa yang bakal menerima anak baru bagaimana untuk menangani perasaan abang/kakak daripada perspektif si kecil.

No comments:

Post a Comment