Kemeriahan Pasar Nelayan Mukah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Musafir di Mukah diteruskan pada pagi ini dengan memulakan lawatan ke Pasar Nelayan Mukah walaupun mengikut perancangan awalnya kami akan mengikut lawatan melalui bot anjuran Lamin Dana namun mesej yang diterima di awal pagi daripada Puan Rose pemilik Lamin Dana yang lawatan kami terpaksa ditunda sehingga jam 10 pagi kerana keadaan air sungai yang cetek tidak membolehkan bot bergerak di awal pagi. Maka kami mengambil keputusan ke Pasar Nelayan terlebih dahulu.

Suasana di pasar sangat meriah dengan pesta menjual pelbagai hasil laut terutama udang yang hanya berharga antara RM5 hingga RM15 sekilo, amat menggiurkan kami pengemar makanan laut, semoga dijauhkan dari penyakit gout, alhamdullilah ada Herbalife. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku memborong udang-udang yang amat menyelerakan itu namun disebabkan kami tidak akan balik ke Miri namun sebaliknya masih tinggal sementara di hotel di Bintulu untuk meneruskan pencarian mencari rumah sewa maka niatku memborong udang terbantut. Kulihat ramai yang membawa bekas ais besar untuk mengisi borongan makanan laut sebagai ole-ole dari Mukah. Rupanya sekarang memang musim udang. 

Kami juga berkesempatan menaiki bot tambang untuk ke Kampung Seberang Mukah, tambangnya hanya 50 sen seorang bagi laluan dua hala. Sangat-sangat murah namun itulah sahaja jalan perhubungan terpantas bagi para penduduk kampung seberang berbanding jalan darat yang agak jauh. Selain, makanan laut yang meriah dijual, terdapat sayur-sayuran serta yang menariknya NENAS SAWIT yang sangat besar saiznya. Selain itu, terdapat kedai yang menjual pelbagai jenis kerepek dan kuih tradisional kering seperti bahulu mini, kuih sagu, kuih karas dan sebagainya dijual hanya RM1 sepaket. Memang kami memborong sakan. Walaupun hari masih awal, terdapat gerai menjual ikan bakar dan ikan salai yang amat menggamit selera namun disebabkan perut masih kenyang selepas sarapan di hotel maka ia berjaya menahan diri dari membeli, kami hanya mengambil bau sahaja sebagai syarat.

Di kawasan lapang berhadapan Pasar Nelayan pula terdapat pasar minggu yang menjual pelbagai barangan tradisional seperti keris, bakul, pakaian tradisional termasuk tanduk rusa dan alat musik seperti gendang dan kompang. Barangan antik seperti barangan tembaga serta bekas sirih juga ada dijual, amat sesuai untuk memperkenalkan kepada anakku barangan yang telah pupus di pandangan kebanyakan masyarakat moden kini. 

Lawatan singkat ke Pasar Nelayan meninggalkan memori indah tentang hasil alam kurnian Allah kepada penduduk Mukah yang masih ramai mengekalkan amalan tradisional terutama dari segi menangkap ikan menggunakan jala. Kami terpaksa meninggalkan pasar nelayan kerana jam telah hampir menunjukkan pukul 10 pagi untuk kami ke Lamin Dana pula meneruskan kembara. 




Atas bot tambang untuk ke kampung seberang.

Para nelayan dengan hasil masing-masing. Terus dijual ke pasar, segar dari sungai


Nenas Sawit



Pelbagai pilihan kudapan, sangat menarik dan amat murah


Comments

Topik popular