Di Sebalik Pintu Rosak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hari ini merupakan hari ketiga kami menginap di Jinhold Apartment Bintulu untuk minggu ke 2 sesi mencari rumah sewa di Bintulu yang setakat ini hasilnya agak mengecewakan. Apabila ada rumah yang memenuhi ciri yang dikehendaki selalunya sewanya pula melebihi bajet kami, manakala kebanyakan yang di dalam bajet pula, lokasinya kurang selamat dan rumah juga tidak menepati ciri yang dikehendaki. Bukan terlalu memilih namun hakikat yang kami nanti hanya akan tinggal berdua sahaja semasa suamiku di pelantar, memerlukan tapisan yang agak ketat. Nampaknya kesukaran mencari rumah sewa di Bintulu tidak jauh berbeza berbanding tahun 2012 semasa aku mula bertugas di Hospital Bintulu. Semoga Allah berikan yang terbaik.

Alhamdullilah rezeki kami menginap di Jinhold Apartment dengan harga promosi RM99 untuk bilik Studio dengan pakej sarapan percuma. Ia juga menyediakan perkhidmatan dobi layan diri percuma untuk penghuninya. Untuk makan tengahari pula kami membeli di kafeteria Abang Mat di bangunan LHDN yang terletak bersebelahan. Harganya berpatutan dan menunya nasi campurnya juga pelbagai pilihan.

Berbalik kepada pintu rosak, seusai aku dan anakku bersarapan di kafe dan membungkus makanan tengahari, kami kembali ke hotel dan mendapati bahawa pintu tidak dapat dibuka walaupun kad yang di"swipe" berfungsi. Setelah hampir 30 minit menunggu pekerja penyelenggara, dan 30 minit lagi tempoh membaiki kunci, kami akhirnya dapat masuk ke bilik kami.

Insiden ini membuatkan aku teringat tentang intipati salah satu majlis ilmu yang aku dengar di Youtube tentang manusia yang muflis di akhirat. Kita menyangka bahawa kita telah melaksanakan semua perintah Allah namun akhirnya sia-sia kerana amalan kita tidak diterima atau pun pahalanya diberikan kepada pihak yang kita umpat atau zalimi. Nauzubillah himinzalik. Pintu bilik itu ibarat pintu syurga yang tersedia dan Allah memudahkan kaum wanita untuk memasukinya mengikut mana-mana pintu. Namun semasa peristiwa Isra' Mikhraj, Rasullulah saw melihat ramai kaum wanita di neraka. Dosa yang paling banyak dilakukan oleh wanita adalah dosa antara dua rahangnya (mengumpat, mencela, menghina dsbnya) serta dosa tidak mentaati suami. 

Aku yang baru diuji dengan pintu bilik rosak telah mula memberontak di dalam hati mencemuh pengurusan hotel, begitulah lemahnya imanku. Sedikit ujian telah mula merungut berbanding hamba Allah lain yang diuji dengan lebih hebat. Sedangkan segala yang terjadi merupakan ketentuan Allah, malahan tiada sehelai daun yang gugur diluar pengetahuanNya. Mahu masuk syurga namun ujian yang sedikit pun tidak mampu ditangani dengan hikmah. Ya Allah aku tidak layak untuk syurgaMu namun aku juga tidak sanggup menanggung siksa nerakaMu. Pilihlah kami Ya Allah untuk masuk syurgaMu tanpa hisab, aamiin.
Percubaan membuka pintu oleh Pekerja Penyelenggaraan

Proses membaiki pintu

Comments

Topik popular