Thursday, 27 April 2017

Cabaran mendidik anak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Diuji dengan kesukaran mendapatkan zuriat selama 11 tahun dan akhirnya dikurniakan zuriat lelaki melalui kaedah IVF (Bayi Tabung Uji) menggunakan Frozen Embryo setelah percubaan kali pertama gagal, memang tidak mudah. Namun kini, setelah zuriatku berumur 3 tahun 5 bulan, aku dapat merasakan bahawa mendidik anak itu JAUH LEBIH SUKAR daripada melahirkan anak. Aku tidak menitiskan air mata semasa melahirkan anakku kerana aku tidak melahirkan secara normal sebaliknya melalui pembedahan terancang (planned ceaserean) kerana anakku dikira "precious baby". Tarikh kelahirannya telah ditetapkan pada minggu ke 38 yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat yang mulia tepat jam 1.15 tengahari sewaktu azan zohor berkumandang. Ramai ibu-ibu bertuah yang melahirkan anak secara normal mengatakan bahawa yang melahirkan secara pembedahan ini mudah, namun hanya yang melaluinya sahaja yang tahu kesakitannya, sehingga kini kesannya masih terasa. Apapun kaedah kelahiran, itu bukan tanda aras kejayaan seorang ibu.

Ibu merupakan madrasah pertama untuk seorang anak. Dalam tempoh 3 tahun lebih ini, airmataku yang tumpah melebihi airmata yang tumpah sepanjang 11 tahun. Ini kerana aku merasakan betapa sukarnya mendidik DIRIKU  sendiri yang banyak kelemahan dan kejahilan, kerana aku adalah role model pertama anakku. Hajatku yang menggunung tinggi untuk menjadikan anakku sehebat Sultan Muhammad Al Fateh dan Imam Syafie tidak setanding dengan kejahilanku. Setiap hari aku belajar ilmu baru sewaktu aku bersama amanah Allah ini. Berperang dengan emosi diri yang sering melahirkan amarah bukan sesuatu yang mudah. Aku rasakan bahawa aku bersifat "tiger mother" sedangkan aku inginkan anakku menjadi seorang yang penyabar. Setiap anak dilahirkan bersifat fitrah, jadi sebagai ibubapa, kita perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana ia akan disoal di sana kelak. Ya Allah bantulah aku. Perbaikilah segala urusan berkaitan zuriat keturunan kami.




No comments:

Post a Comment