Friday, 21 April 2017

Amalan Seharian

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Salam penghulu segala hari dalam bulan mulia ini, selesai sudah minggu ke 3 bulan April 2017 dan tanpa kita sedari, berbaki kurang 40 hari lagi bertemu Ramadhan 1438H, jika diizinkan Allah. Bilakah kali terakhir kita bermuhasabah berkenaan amalan kita? Aku sendiri pun telah lama tidak bermuhasabah diri sedangkan kita dituntut untuk sering bermuhasabah tentang diri setiap masa agar ia selari dengan kehendak Allah. Yang pastinya kita hanya sering risau pandangan manusia dan lupa dengan pandanganNya.

Amalan sehari daripada saat kita membuka mata sehingga kita menutup mata, berapa lamakah tempoh yang kita benar-benar mengabdikan diri kepadaNya yang telah mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita? Aku mengaku yang tidak sampai 30 minit kerana aku sering lalai dengan urusan dunia semata-mata. Berapa ramai antara kita yang mengamalkan sunnah Rasullulah saw semasa hendak tidur terutamanya berkaitan mengambil wuduk sebelum tidur? Aku sendiri sering lupa atau sengaja melupakan diri disebabkan nikmat ingin tidur lebih tinggi dari mengikuti sunnah Nabi saw, astagfirullah hal azim, kami mohon keampunanMu Ya Allah.

Kalimah yang ringan di mulut namun berat di timbanganNya iaitu "SubhanAllah wa bihamdih dan SubhanAllah hil a'zim" juga gagal aku basahkan lidahku walaupun hadith telah menyatakan dengan membacanya sebanyak 100 kali sehari dapat menghapuskan dosa walaupun sebagai buih dilautan. Masya Allah sombongnya aku Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Ya Allah rezekikan kami membacanya Ya Allah, jadikan ia amalan seharian kami Ya Allah, bantu kami.

Sesungguhnya semasa Israk dan Mikhraj, Rasullulah saw telah melihat ramai wanita di neraka dan salah satu golongan wanita adalah yang sering mengumpat, Ya Allah, jauhkanlah kami dari dosa mengumpat Ya Allah, gantikan ia dengan zikir kepadaMu setiap masa dan mengajak orang lain juga mengingatiMu terutamanya anak-anak kami kerana kamilah Madrasah pertama mereka.

Aku kongsikan amalan seharian yang dicadangkan oleh Ustaz Ismail Kamus untuk panduan bersama dan semoga kita dipilih untuk mengamalkannya bersama-sama.

No comments:

Post a Comment