Saturday, 29 April 2017

Petua hilangkan Ketumbit mata


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Semenjak semalam mata kiriku terasa sakit, hati mula rasa tak sedap. Macam rasa nak tumbuh ketumbit di atas kelopak mata kiriku. Aku sendiri sudah lupa bila kali terakhir aku kena ketumbit. Semasa zaman remaja, aku memang sering kena ketumbit. Mak aku kata sebab aku suka mengintai, aku pun tak tahu apa yang aku intai.

Dari pembacaanku, ketumbit disebabkan kelenjar minyak di mata yang tersumbat disebabkan bakteria. Dulu-dulu, semasa kecil, mak akan mengikat jariku dengan benang, yang dikatakan dapat mengecutkan ketumbit. Aku yang masih kecil, hanya redha walaupun sehingga kini masih tidak dapat mengaitkan benang di jari dengan mata ketumbit. Kebanyakan kaedah rawatan yang aku baca adalah bersifat menuamkan tempat ketumbit dengan air panas atau meletakkan bawang putih.

Namun kaedah aku mungkin agak menyakitkan jika baru pertama kali melakukannya. Namun in sha Allah ianya berkesan mengelakkan ketumbit membesar dan segera kecut. Aku akan mencabut bulu mataku terutama di bahagian yang kurasakan terletaknya mata ketumbit. Memang botak bulu mata ku kerjakan. Sakitnya semasa menarik bulu mata tu, masya Allah hanya Allah sahaja yang tahu. Mengalir air mata dan siap merah lagi mata. Namun demi menghilangkan ketumbit, ku tahankan juga.

Untuk memastikan lebih cepat sembuh, pastikan bulu mata yang ditarik itu terletak di "mata" ketumbit. Ia dapat dilihat dari akar bulu mata yang dicabut di mana akan terdapat seolah-olah akar.  Sakitnya juga memang melebihi bulu-bulu mata yang terletak agak jauh dari "mata" ketumbit.

Kita hanya berusaha dan Allah Maha Penyembuh yang tidak akan mengembalikan sebarang penyakit, aamiin. Semoga bermanfaat petua ku ini walaupun tiada kajian saintifik dan hanya berasaskan pengalaman praktikal semata-mata.

Friday, 28 April 2017

Fitnah Dajjal

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah telah selamat sampai ke Miri setelah bertolak dari Bintulu jam 4.30 petang. Direzekikan mendengar kuliah Ustaz Don melalui FB sewaktu dalam perjalanan berkenaan fitnah Dajjal. Fitnah terbesar umat Nabi Muhamad s.a.w, iaitu kesesatan akidah, nauzubillahimin zallik.

Sunnah membaca surah Al Kahfi setiap hari Jumaat di ajar oleh Nabi kita sebagai pelindung daripada fitnah Dajjal. Ada riwayat mengatakan baca seluruh surah Al Kahfi atau sekurang-kurangnya 10 ayat awal dan 10 ayat akhir Surah Al Kahfi.

Tertarik dengan kata-kata Ustaz Don berkenaan fitnah ilmu yang berleluasa kini berkenaan ramainya yang berkongsi ilmu untuk menjadi jutawan di usia muda, namun tiada yang berkongsi ilmu untuk menunaikan haji (Rukun Islam) seawal usia. Tidak salah menjadi jutawan namun jangan diletakkan dunia di hati. Malahan Allah mengasihi hambaNya yang kaya dan bersyukur daripada miskin yang redha.

Semoga sunnah ini menjadi amalan kita bersama untuk disampaikan kepada semua. Diharapkan bermanfaat.


Thursday, 27 April 2017

Cabaran mendidik anak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Diuji dengan kesukaran mendapatkan zuriat selama 11 tahun dan akhirnya dikurniakan zuriat lelaki melalui kaedah IVF (Bayi Tabung Uji) menggunakan Frozen Embryo setelah percubaan kali pertama gagal, memang tidak mudah. Namun kini, setelah zuriatku berumur 3 tahun 5 bulan, aku dapat merasakan bahawa mendidik anak itu JAUH LEBIH SUKAR daripada melahirkan anak. Aku tidak menitiskan air mata semasa melahirkan anakku kerana aku tidak melahirkan secara normal sebaliknya melalui pembedahan terancang (planned ceaserean) kerana anakku dikira "precious baby". Tarikh kelahirannya telah ditetapkan pada minggu ke 38 yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat yang mulia tepat jam 1.15 tengahari sewaktu azan zohor berkumandang. Ramai ibu-ibu bertuah yang melahirkan anak secara normal mengatakan bahawa yang melahirkan secara pembedahan ini mudah, namun hanya yang melaluinya sahaja yang tahu kesakitannya, sehingga kini kesannya masih terasa. Apapun kaedah kelahiran, itu bukan tanda aras kejayaan seorang ibu.

Ibu merupakan madrasah pertama untuk seorang anak. Dalam tempoh 3 tahun lebih ini, airmataku yang tumpah melebihi airmata yang tumpah sepanjang 11 tahun. Ini kerana aku merasakan betapa sukarnya mendidik DIRIKU  sendiri yang banyak kelemahan dan kejahilan, kerana aku adalah role model pertama anakku. Hajatku yang menggunung tinggi untuk menjadikan anakku sehebat Sultan Muhammad Al Fateh dan Imam Syafie tidak setanding dengan kejahilanku. Setiap hari aku belajar ilmu baru sewaktu aku bersama amanah Allah ini. Berperang dengan emosi diri yang sering melahirkan amarah bukan sesuatu yang mudah. Aku rasakan bahawa aku bersifat "tiger mother" sedangkan aku inginkan anakku menjadi seorang yang penyabar. Setiap anak dilahirkan bersifat fitrah, jadi sebagai ibubapa, kita perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana ia akan disoal di sana kelak. Ya Allah bantulah aku. Perbaikilah segala urusan berkaitan zuriat keturunan kami.




Damailah Kau Di Sana Adik Mohamad Thaqif Amin bin Mohd Gaddafi

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Semalam (26 April 2017), tepat jam 2.05 petang, anak syurga Mohamad Thaqif Amin bin Mohd Gadaffi 11 tahun telah dijemput bertemu Penciptanya. Kisah beliau yang tular di media-media sosial sejak 2 minggu lepas kini menjadi perbincangan hangat. Aku amat terkesan dengan kisah anak syurga ini yang pastinya mempunyai hikmah disebaliknya. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan keluarganya diberikan kekuatan menghadapi dugaan ini. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali.

Sememangnya hati seorang ibuayah akan hancur setelah anak yang diharapkan menjadi pencen kubur telah kembali kepadaNya di awal usia dan semasa sedang berjihad menjadi seorang Al Hafiz. Sudah pasti Allah menggantikan yang lebih baik untuk keluarga arwah. Ketenangan ahli keluarga arwah menghadapi dugaan hebat Allah ini termasuk meminta agar semua spekulasi dihentikan segera amat mengagumkanku. Allah Maha Mengetahui kekuatan setiap hambaNya.

Pastinya setiap ibubapa mempunyai hasrat untuk menjadikan anaknya seorang hafiz/hafizah walaupun ibubapanya sendiri bukan seorang hafiz/hafizah, sama seperti diriku. Bercita-cita menjadikan anakku seorang Al Hafiz yang berjaya di dunia dan di akhirat. Pendapat peribadiku terhadap insiden ini adalah perlu dilakukan siasatan yang menyeluruh berdasarkan catatan peribadi arwah. Seorang anak kecil meluahkan isi hatinya di atas sekeping kertas tidak wajar diketepikan. Memukul atas dasar didikan sememangnya dibenarkan dalam Islam terutamanya dalam isu solat, namun memukul atas dasar kemarahan semata-mata adalah KEJAM.

Warden asrama berusia 29 tahun yang dituduh memukul arwah telah dilanjutkan reman dan pertuduhan telah ditukar kepada pembunuhan. Setiap orang dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan, begitulah undang-undang dunia. Keadilan sebenar adalah disisiNya. Namun aku rasa kita tidak sewajarnya terus memburukkan lagi situasi tertuduh kerana kita tidak berada ditempatnya. Mendidik seorang anak bukanlah mudah terutama jika anda terpaksa mengendalikan lebih daripada seorang anak yang bermacam-macam kerenah. Sebagai seorang ibu kepada seorang anak, sememangnya aku tidak layak memberi komen berkaitan penjagaan anak berbanding ibu-ibu hebat yang berkerjaya dengan anak yang ramai. Trend terkini menghantar anak-anak ke tahfiz seolah-olah menjadi satu kemestian dan perlumbaan dengan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada guru-guru. Sewajarnya kita membetulkan niat bahawa sesempurna manapun institusi pendidikan itu, amanah mendidik anak adalah tanggungjawab ibubapa. Ini tidak bermakna aku menyokong tindakan mana-mana pendidik yang memukul dengan amarah dan kejam.

Sekiranya setiap ibubapa menjalankan amanah masing-masing dengan sehabis baik, sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban setiap pendidik yang telah berkorban masa dan tenaga mendidik anak-anak kita sehingga kadangkala mengorbankan anak mereka sendiri. Peringatan ini adalah untuk aku seorang pendosa yang bercita-cita menjadikan anakku seorang Al Hafiz seawal usia.

Catatan arwah adik Thaqif

Wednesday, 26 April 2017

Di Sebalik Pintu Rosak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Hari ini merupakan hari ketiga kami menginap di Jinhold Apartment Bintulu untuk minggu ke 2 sesi mencari rumah sewa di Bintulu yang setakat ini hasilnya agak mengecewakan. Apabila ada rumah yang memenuhi ciri yang dikehendaki selalunya sewanya pula melebihi bajet kami, manakala kebanyakan yang di dalam bajet pula, lokasinya kurang selamat dan rumah juga tidak menepati ciri yang dikehendaki. Bukan terlalu memilih namun hakikat yang kami nanti hanya akan tinggal berdua sahaja semasa suamiku di pelantar, memerlukan tapisan yang agak ketat. Nampaknya kesukaran mencari rumah sewa di Bintulu tidak jauh berbeza berbanding tahun 2012 semasa aku mula bertugas di Hospital Bintulu. Semoga Allah berikan yang terbaik.

Alhamdullilah rezeki kami menginap di Jinhold Apartment dengan harga promosi RM99 untuk bilik Studio dengan pakej sarapan percuma. Ia juga menyediakan perkhidmatan dobi layan diri percuma untuk penghuninya. Untuk makan tengahari pula kami membeli di kafeteria Abang Mat di bangunan LHDN yang terletak bersebelahan. Harganya berpatutan dan menunya nasi campurnya juga pelbagai pilihan.

Berbalik kepada pintu rosak, seusai aku dan anakku bersarapan di kafe dan membungkus makanan tengahari, kami kembali ke hotel dan mendapati bahawa pintu tidak dapat dibuka walaupun kad yang di"swipe" berfungsi. Setelah hampir 30 minit menunggu pekerja penyelenggara, dan 30 minit lagi tempoh membaiki kunci, kami akhirnya dapat masuk ke bilik kami.

Insiden ini membuatkan aku teringat tentang intipati salah satu majlis ilmu yang aku dengar di Youtube tentang manusia yang muflis di akhirat. Kita menyangka bahawa kita telah melaksanakan semua perintah Allah namun akhirnya sia-sia kerana amalan kita tidak diterima atau pun pahalanya diberikan kepada pihak yang kita umpat atau zalimi. Nauzubillah himinzalik. Pintu bilik itu ibarat pintu syurga yang tersedia dan Allah memudahkan kaum wanita untuk memasukinya mengikut mana-mana pintu. Namun semasa peristiwa Isra' Mikhraj, Rasullulah saw melihat ramai kaum wanita di neraka. Dosa yang paling banyak dilakukan oleh wanita adalah dosa antara dua rahangnya (mengumpat, mencela, menghina dsbnya) serta dosa tidak mentaati suami. 

Aku yang baru diuji dengan pintu bilik rosak telah mula memberontak di dalam hati mencemuh pengurusan hotel, begitulah lemahnya imanku. Sedikit ujian telah mula merungut berbanding hamba Allah lain yang diuji dengan lebih hebat. Sedangkan segala yang terjadi merupakan ketentuan Allah, malahan tiada sehelai daun yang gugur diluar pengetahuanNya. Mahu masuk syurga namun ujian yang sedikit pun tidak mampu ditangani dengan hikmah. Ya Allah aku tidak layak untuk syurgaMu namun aku juga tidak sanggup menanggung siksa nerakaMu. Pilihlah kami Ya Allah untuk masuk syurgaMu tanpa hisab, aamiin.
Percubaan membuka pintu oleh Pekerja Penyelenggaraan

Proses membaiki pintu

Sunnah Mengibas Tempat Tidur

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Sebagaimana kita semua telah mengetahui bahawa salah satu sunnah Nabi s.a.w. sebelum tidur adalah mengibaskan tempat tidur sebanyak 3 kali. Sememangnya tiada satupun perlakuan baginda yang dilakukan tanpa sebarang faedah. Ternyata hikmahnya adalah untuk memastikan kutu yang ada di tilam itu akan hilang. Makanan kutu ini adalah sel-sel kulit kita yang mati dan gugur setiap kali kita tidur. Kutu ini tidak dapat dihilangkan melalui basuhan cadar dan tilam termasuk sekiranya tilam itu dijemur turut tidak dapat membunuh kutu ini,

Dari segi spiritual pula, hikmahnya adalah di atas tilam itu turut tidur adalah makhluk yang dilaknati Allah iaitu syaitan yang direjam. Maka dengan mengibas tempat tidur dengan membaca Bismillah akan menghalau makhluk tersebut serta mendapat pahala mengamalkan sunnah nabi s.a.w.

Semoga dapat kita amalkan bersama dan menjadi ilmu yang bermanfaat.

Tuesday, 25 April 2017

3 Produk Terbaru Keluaran Herbalife

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah Herbalife baru melancarkann 3 produk terbarunya iaitu Green Tea Mix, Garlic Plus dan Celactivo. Telah berada lebih 30 tahun dalam pasaran, Herbalife semakin mengukuhkan pasarannya. "Tea Mix" yang merupakan salah satu produk teras Herbalife dalam pengurusan berat badan dengan Khasiat "ABCD" iaitu "Anti Aging, Burn Fat, Cleansing and Detoxification" kini muncul dengan perisa baru "Green Tea". Khasiat bawang putih memang tidak dapat dinafikan, kini dengan "Garlic Plus" ianya lebih mudah dan penuh khasiat. Celactivo pula berkesan untuk membunuh radikal bebas. Jangan tunggu lagi, segera hubungi Pengedar Bebas Herbalife yang sah di talian 017 370 6530. Anda bertanggungjawab sepenuhnya atas kesihatan anda.





Sunday, 23 April 2017

Pakej "Boat Tour" dan Makan Tengahari di Lamin Dana

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Seterusnya sebagaimana yang dijanjikan kami menuju ke Lamin Dana yang terletak kira-kira 5 km daripada hotel bagi mengikuti pakej "Boat Tour" dan makan tengahari masakan tradisional Melanau. Lamin bermaksud rumah manakala Dana bermaksud tradisional atau lama, Lamin Dana merupakan rumah tradisional masyarakat Melanau namun binaan sedikit rendah berbanding rumah asalnya. Ia merupakan "homestay" / rumah inap Melanau yang dibangunkan oleh seorang wanita gigih bernama Puan Rose, beliau merupakan generasi ke 9 dalam keturunannya. Beliau membangunkan rumah itu sebagai satu usaha mengekalkan segala tinggalan masyarakat Melanau disamping memperkenalkannya kepada pelancong terutama pelancong luar negara yang amat meminati kebudayaan dan keunikan masyarakat Sarawak yang berbilang bangsa. Bagiku, rakyat Malaysia sewajarnya lebih menghargai khazanah negara kita berbanding berbangga dengan pencapaian negara luar yang kurang nilai ketamadunannya. Disebabkan itu, kami memang berniat untuk menjelajah seluruh Sarawak sementara kami direzekikan untuk berada di Bumi Kenyalang ini. Ia merupakan peluang untuk bermusafir di Bumi Kenyalang tanpa kos menaiki belon namun sebaliknya menggunakan MyVi hitamku yang telah menjelajah keseluruhan bumi Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Walaupun tiada kereta mewah namun yang pasti direzekikan bermusafir ke seluruh negara. Ia juga sudah terlalu mewah bagiku kerana kereta tetap sebuah kereta tanpa mengira jenama, asalkan ia berfungsi membawaku tanpa sebarang masalah dari satu tempat ke satu tempat. 

Berbalik kepada "boat tour", kami menaiki bot kecil yang hanya cukup-cukup memuatkan kami 4 orang. Perjalanan diteruskan dengan menyusur sungai Telian, cuaca panas tidak terasa kerana redupnya laluan sungai dengan pohon-pohon rendang terutamanya pokok nipah. Pemandangan kami disajikan dengan kehidupan masyarakat setempat yang menikmati waktu-waktu senggang makan beramai-ramai secara santai di pangkin belakang rumah menghadap sungai. Anakku yang ramah tidak putus-putus menyapa setiap orang dijumpai. Keramahan masyarakat kampung terserlah apabila turut melambai setiap kali kami melalui di belakang rumah mereka. Pemandangan yang tidak lagi berlaku di kota-kota besar metropolitan di mana kadang kala jiran sendiri pun tidak dikenali. Aku bersyukur di tempatkan di Sarawak dan anakku berpeluang membesar di sini. Sekurang-kurangnya dia tidak kekok berada dalam suasana kampung. Malahan dia amat teruja dengan pelbagai soalan keluar dari mulut mungilnya. Ini juga merupakan satu pelajaran untuknya, kerana setiap inci bumi Allah ini adalah satu pengajaran untuk mereka yang ingin berfikir.

Kami turut berpeluang singgah di salah sebuah "belanga" iaitu tempat membuat sagu, iaitu salah satu kegiatan utama penduduk di sini. Menurut Puan Rose, kebiasaanya tiada yang bekerja membuat sagu pada hari Ahad namun nampaknya ia rezeki kami. Seorang wanita sedang giat mengeringkan sagunya. Menurutnya beliau mula bekerja jam 3.30 pagi, waktu ramai antara kita sedang lena diulit mimpi. Tugas menyiapkan sagu mengambil masa lebih kurang 8 jam dan ia dilakukan secara sendiri. Anakku amat seronok apabila diberi peluang untuk mengayak sagu. Kagum melihat kegigihan wanita ini menyiapkan sagu tersebut dan apabila mengenangkan harga jualannya di pasar hanya RM5 sebungkus, aku rasa sungguh tidak berbaloi dengan usaha yang dilakukannya. Kita sering tawar menawar apabila membeli produk hasil keluaran warga kampung ini sedangkan kita tidak merasai perit jerih mereka mengusahakannya. Namun kita tidak berkira apabila ingin membeli segelas kopi berjenama yang berharga RM15 segelas, Ya Allah ampunkan kami dan Kau lipat gandakan lah pendapatan para penduduk kampung khasnya yang bertungkus lumus meneruskan kehidupan.

Kehidupan di sini amat sederhana, dan jauh dari kekalutan yang sering melanda hidup di bandar. Sepanjang laluan "boat tour", ramai yang memancing termasuk seorang wanita yang memancing dari atas jambatan dengan 4 batang pancing. Kecekapan pemandu bot kami turut teruji apabila enjin bot tersangkut pada mata kail salah seorang pemancing. Beliau dengan cekapnya berjaya merungkaikan mata kail yang tersangkut di enjin bot sebelum kami meneruskan perjalanan. Suasana sepanjang sungai yang redup dengan pohon-pohon rendang menyebabkan kami leka sehingga tidak sedar sudah waktu untuk makan tengahari.

Di Lamin Dana telah tersedia hidangan tengahari menu tradisional Melanau iaitu terung belacan, umai ikan pirang, "fish cake homemade", labu masak lemak campur sayur manis, udang atau payak rebus dan yang paling istimewa linut yang dimakan bersama sambal belacan. Kami meninggalkan Lamin Dana dengan perut yang kenyang dan kenangan manis yang sukar dilupakan.












Kemeriahan Pasar Nelayan Mukah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Musafir di Mukah diteruskan pada pagi ini dengan memulakan lawatan ke Pasar Nelayan Mukah walaupun mengikut perancangan awalnya kami akan mengikut lawatan melalui bot anjuran Lamin Dana namun mesej yang diterima di awal pagi daripada Puan Rose pemilik Lamin Dana yang lawatan kami terpaksa ditunda sehingga jam 10 pagi kerana keadaan air sungai yang cetek tidak membolehkan bot bergerak di awal pagi. Maka kami mengambil keputusan ke Pasar Nelayan terlebih dahulu.

Suasana di pasar sangat meriah dengan pesta menjual pelbagai hasil laut terutama udang yang hanya berharga antara RM5 hingga RM15 sekilo, amat menggiurkan kami pengemar makanan laut, semoga dijauhkan dari penyakit gout, alhamdullilah ada Herbalife. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku memborong udang-udang yang amat menyelerakan itu namun disebabkan kami tidak akan balik ke Miri namun sebaliknya masih tinggal sementara di hotel di Bintulu untuk meneruskan pencarian mencari rumah sewa maka niatku memborong udang terbantut. Kulihat ramai yang membawa bekas ais besar untuk mengisi borongan makanan laut sebagai ole-ole dari Mukah. Rupanya sekarang memang musim udang. 

Kami juga berkesempatan menaiki bot tambang untuk ke Kampung Seberang Mukah, tambangnya hanya 50 sen seorang bagi laluan dua hala. Sangat-sangat murah namun itulah sahaja jalan perhubungan terpantas bagi para penduduk kampung seberang berbanding jalan darat yang agak jauh. Selain, makanan laut yang meriah dijual, terdapat sayur-sayuran serta yang menariknya NENAS SAWIT yang sangat besar saiznya. Selain itu, terdapat kedai yang menjual pelbagai jenis kerepek dan kuih tradisional kering seperti bahulu mini, kuih sagu, kuih karas dan sebagainya dijual hanya RM1 sepaket. Memang kami memborong sakan. Walaupun hari masih awal, terdapat gerai menjual ikan bakar dan ikan salai yang amat menggamit selera namun disebabkan perut masih kenyang selepas sarapan di hotel maka ia berjaya menahan diri dari membeli, kami hanya mengambil bau sahaja sebagai syarat.

Di kawasan lapang berhadapan Pasar Nelayan pula terdapat pasar minggu yang menjual pelbagai barangan tradisional seperti keris, bakul, pakaian tradisional termasuk tanduk rusa dan alat musik seperti gendang dan kompang. Barangan antik seperti barangan tembaga serta bekas sirih juga ada dijual, amat sesuai untuk memperkenalkan kepada anakku barangan yang telah pupus di pandangan kebanyakan masyarakat moden kini. 

Lawatan singkat ke Pasar Nelayan meninggalkan memori indah tentang hasil alam kurnian Allah kepada penduduk Mukah yang masih ramai mengekalkan amalan tradisional terutama dari segi menangkap ikan menggunakan jala. Kami terpaksa meninggalkan pasar nelayan kerana jam telah hampir menunjukkan pukul 10 pagi untuk kami ke Lamin Dana pula meneruskan kembara. 




Atas bot tambang untuk ke kampung seberang.

Para nelayan dengan hasil masing-masing. Terus dijual ke pasar, segar dari sungai


Nenas Sawit



Pelbagai pilihan kudapan, sangat menarik dan amat murah


Saturday, 22 April 2017

Mukah- Kau Tunggu Aku Datang

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Mukah adalah salah satu daerah yang menjadi sasaran kami untuk dijelajahi seterusnya. Alhamdullilah dengan berada di Bintulu kami dapat menjimatkan jarak perjalanan sejauh  220 km berbanding jika bertolak dari Miri. Kebetulan niat kami untuk merasai "Pesta Kaul Mukah" diizinkan Allah pada tahun ini. Pesta tahunan kaum Melanau ini bermula 22 April sehingga 20 April 2017.

Memulakan perjalanan sejauh 230 km bermula jam 9.30 pagi diiringi hujan renyai-renyai sepanjang jalan. Lalulintas agak perlahan disebabkan cuaca serta banyak kenderaan berat. Sepanjang laluan juga dapat dilihat proses menaiktaraf jalanraya sebagai sebahagian Lebuhraya Pan Borneo. Pengalaman yang tidak dapat kulupakan sepanjang kami menjelajah di sekitar Sarawak adalah bersedia menahan pundi kencing kerana tidak seperti di Semenanjung, tiada RnR sepanjang perjalanan kecuali kedai makan yang kebiasaannya antara lebih 100 km antara satu sama lain. Aku juga pernah terpaksa menebalkan muka melepaskan hajat kecil di tepi jalan semasa dalam perjalanan Miri-Sibu setelah bertahan lebih 1 jam. Pundi kencingku rasa tidak dapat ditahan lagi. Keindahan pemandangan yang kehijauan sepanjang perjalanan diikuti dengan pelbagai jenis rumah panjang yang kebanyakannya telah diubahsuai menjadi lebih moden amat mempersonakan. 

Setiap kali memulakan permusafiran, kami sentiasa berniat agar diizinkan bersolat di awal waktu dan agar Allah Ya Baari mengaturkan perjalanan kami untuk berjumpa dengan rumahNya untuk bersolat seawal waktu. DiizinkanNya menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Surau Kampung Penipah lebih kurang 40 km dari Bandar Mukah. Kami tiba di Mukah lebih kurang jam 1.30 petang dan terus ke tapak Pesta Kaul 2017. Kebetulan, semasa itu sedang berlangsung pertandingan saringan "Lubak Salui Lukut" ala-ala sampan longkang besar yang dibuat dengan daun Pepakis Besar. Sangat unik dan menarik. Selain itu, terdapat ramai yang sedang menghias gerai-gerai komuniti masing-masing. Sungguh meriah. Itulah keunikan Sarawak yang masih mengekalkan adat budaya yang telah bertahun-tahun sebati di jiwa tanpa mengira usia.

Perbualan dengan salah seorang peserta menyatakan bahawa setiap penyertaan Lubak Salui Lukut dikenakan bayaran RM21 dan terdapat lebih 380 kapal yang dipertandingkan, bayangkan terdapat 68 peringkat saringan. Kemeriahannya amat terasa.

Kami singgah untuk makan tengahari di Restoran Nor Azmiza yang kusangka restoran masyarakat tempatan namun rupanya ia milik peniaga keturunan India Muslim. Aku agak terkejut juga apabila mendapati banyak restoran dan kedai kepunyaan masyarakat India dan Pakistan di Mukah sedangkan di Miri dan Sarawak amnya agak kurang golongan tersebut. 

Sebelum "check in" di Kingwood Hotel, kami mencarai "Lamin Dana" yang merupakan homestay Rumah Melanau Asli sebagaimana cadangan rakan suamiku. Cadangan asalnya untuk menginap di sama 1 hari namun disebabkan kami tidak membuat tempahan awal, penginapan telah penuh. Namun demikian, kami bersetuju untuk mengikut "boat tour" dan jamuan tengahari makanan Melanau esok dengan harga RM120 setiap seorang dan percuma untuk anakku yang berjaya menawan hati pemilik homestay Puan Rose, alhamdullilah. Malahan beliau menjanji akan memberikan lebih diskaun lagi untuk esok.

Setelah menikmati "movie marathon" : White House Down, Captain America dan London Has Fallen melalui Channel Fox Movie Premium di Kingwood Hotel maka perut yang menjerit-jerit minta diisi telah dimurahkan rezeki olehNya untuk menjamu selera di Riverside Seafood. Restoran Muslim yang sangat menarik susunaturnya ala-ala restoran "High Class". Bukan sahaja suasananya menarik, masakannya juga amat sedap terutamanya Udang Butter Basahnya. Kami memilih menu Ambal Masak Halia, Midin Masak Bawang Putih dan Telur Dadar. Midin dan Ambalnya memang segar dan perkhidmatannya juga cepat. Amat berpuas hati malahan telah bercadang untuk datang lagi esok, in sha Allah. Jika anda ke Mukah, kami amat mengesyorkan anda ke Riverside Seafood, anda pasti menggemarinya.

In sha Allah nanti sambung lagi tentang kisah di Mukah. Tunggu!!!!



MYVI Hitamku yang telah berbedak akibat keadaan jalan yang berhabuk, Sungguh banyak jasamu MyVi kesayanganku.

Sebahagian dekorasi dalam Restoran Riverside Seafood.


Friday, 21 April 2017

Amalan Seharian

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Salam penghulu segala hari dalam bulan mulia ini, selesai sudah minggu ke 3 bulan April 2017 dan tanpa kita sedari, berbaki kurang 40 hari lagi bertemu Ramadhan 1438H, jika diizinkan Allah. Bilakah kali terakhir kita bermuhasabah berkenaan amalan kita? Aku sendiri pun telah lama tidak bermuhasabah diri sedangkan kita dituntut untuk sering bermuhasabah tentang diri setiap masa agar ia selari dengan kehendak Allah. Yang pastinya kita hanya sering risau pandangan manusia dan lupa dengan pandanganNya.

Amalan sehari daripada saat kita membuka mata sehingga kita menutup mata, berapa lamakah tempoh yang kita benar-benar mengabdikan diri kepadaNya yang telah mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita? Aku mengaku yang tidak sampai 30 minit kerana aku sering lalai dengan urusan dunia semata-mata. Berapa ramai antara kita yang mengamalkan sunnah Rasullulah saw semasa hendak tidur terutamanya berkaitan mengambil wuduk sebelum tidur? Aku sendiri sering lupa atau sengaja melupakan diri disebabkan nikmat ingin tidur lebih tinggi dari mengikuti sunnah Nabi saw, astagfirullah hal azim, kami mohon keampunanMu Ya Allah.

Kalimah yang ringan di mulut namun berat di timbanganNya iaitu "SubhanAllah wa bihamdih dan SubhanAllah hil a'zim" juga gagal aku basahkan lidahku walaupun hadith telah menyatakan dengan membacanya sebanyak 100 kali sehari dapat menghapuskan dosa walaupun sebagai buih dilautan. Masya Allah sombongnya aku Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Ya Allah rezekikan kami membacanya Ya Allah, jadikan ia amalan seharian kami Ya Allah, bantu kami.

Sesungguhnya semasa Israk dan Mikhraj, Rasullulah saw telah melihat ramai wanita di neraka dan salah satu golongan wanita adalah yang sering mengumpat, Ya Allah, jauhkanlah kami dari dosa mengumpat Ya Allah, gantikan ia dengan zikir kepadaMu setiap masa dan mengajak orang lain juga mengingatiMu terutamanya anak-anak kami kerana kamilah Madrasah pertama mereka.

Aku kongsikan amalan seharian yang dicadangkan oleh Ustaz Ismail Kamus untuk panduan bersama dan semoga kita dipilih untuk mengamalkannya bersama-sama.

Pelaburan Kesihatan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,



Di hari Jumaat yang mulia, penghulu segala hari, aku ingin berkongsi tentang pelaburan. Bukan kerana aku lulusan Analisa Pelaburan tetapi kerana setiap yang berhasil memerlukan pelaburan samada pelaburan wang, masa mahupun tenaga.

Pelaburan kesihatan adalah satu perniagaan yang ramai tidak menggemarinya kerana dirasakan tidak berbaloi dan tidak mendatangkan hasil lumayan. Lebih ramai yang memilih untuk mengubati berbanding mencegah. Kesihatan hanya dihargai oleh orang yang ditimpa kesakitan. Disebabkan itu kita sering lupa nikmat Allah yang melimpah ruah dengan mengurniakan kesihatan kepada kita. Dalam tempoh 365 hari setahun, mungkin hanya 30 hari sahaja kita ditimpa penyakit, namun baki 335 hari yang sihat tersebut jarang sekali kita syukuri. Kebanyakan penyakit di zaman ini adalah disebabkan tabiat pemakanan yang tidak sihat di mana ia boleh dicegah dan dielakkan. 

Aku dipertemukan dengan Produk Herbalife bermula pada tahun 2010 di mana aku sedang dalam proses TTC (Trying to conceive) di mana aku perlu menurunkan berat badan sebagai salah satu ikhtiar. Kenaikan badan aku sebelum ini juga antara lain disebabkan segala hormon yang terpaksa kutelan sepanjang tempoh TTC. Kesan sampingan pil-pil kesuburan ini antara lain adalah kenaikan berat badan. Pada tahun itu, aku mengambil produk ini secara sendirian tanpa bimbingan jurulatih kerana kedegilan sendiri. Namun aku masih mampu menurunkan berat badan sebanyak 10 kg begitu juga suamiku sebanyak 5 kg. Namun disebabkan tiada displin diri dan tiada bimbingan maka aku berhenti mengambil produk yang sangat berkesan ini.

Alhamdullilah Allah memberikan aku peluang kedua, sebelum aku bersara aku telah menjalani ujian kesihatan percuma untuk kakitangan berumur 40 tahun. Laporan menunjukkan bahawa aku mempunyai kolestrol tinggi dan doktor terus ingin memberikan aku ubat disebabkan faktor umur dan jumlah bacaan yang agak tinggi. Aku segera merayu kepada doktor agar memberikan aku tempoh 3 bulan untuk menurunkan kadar kolestrol dengan cara semulajadi tanpa ubat. Doktor bersetuju dan bermulalah usahaku dan dengan izinNya aku dipertemukan sekali lagi dengan Herbalife semasa karnival FIT Malaysia di Miri pada bulan April 2016. Kali ini aku dipertemukan oleh jurulatihku, Melinda dan anaknya Juliana yang sungguh dedikasi membantuku. Ternyata dengan bimbingan jurulatih, ianya lebih berkesan dan aku rasa lebih terpandu dan bermotivasi kerana sering berjumpa dengan rakan-rakan yang mempunyai pelbagai ragam di Kelab Nutrisi Happiness Home.

Aku akui bahawa harga produk Herbalife yang telah lebih 30 tahun dipasaran ini agak mahal, namun sebagaimana aku katakan bahawa ia merupakan PELABURAN YANG AMAT BERBALOI. Tahukah anda bahawa kos mengubati sesuatu penyakit adalah lebih mahal dan ia besar kemungkinan berpanjangan sehingga ke akhir hayat dan kos ini makin meningkat. Sedangkan dengan mengambil produk Herbalife dengan bimbingan jurulatih, kos yang dibayar semakin kurang sehingga menjadi percuma (sekiranya rajin berusaha) dan kesihatan juga bertambah baik. Ia terbukti pelaburan kesihatan yang terbaik. Berminat? Sila hubungi 017 370 6530 sekarang

Renung-renungkan!!!




Thursday, 20 April 2017

Mencari rumah sewa di Bintulu

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah, dalam tempoh 3 hari bermusafir di Bintulu atas tajaan syarikat suami sebagai tempoh mencari dan meninjau rumah sewa, telah beberapa buah rumah di tinjau. Cabaran mencari rumah sewa dengan harga berpatutan di Bintulu ini memang menduga keimanan kerana harganya memang kebanyakannya diluar kemampuan. Bayangkan rumah tanpa perabut harga dalam lingkungan RM1K hingga RM1.5K bergantung kepada lokasi. 

Rumah pertama yang kami tinjau adalah atas cadangan seorang rakan, terletak di Kampung Assyakirin Fasa 2. Rumah kampung 2 tingkat, 3 bilik dengan 1 bilik air. Bilik air terletak di tingkat bawah dan tiada sebarang kelengkapan elektrik. Kami tidak dapat meninjau ke dalam rumah kerana penyewa tiada di rumah namun berdasarkan gambar yang diberikan, ternyata rumahnya luas dan bersih. Kawasan persekitaran rumah juga selesa dan berhampiran dengan Tadika Kemas. Dari segi keluasan, rumah tersebut terlalu luas untuk keluarga kecil kami namun sewanya amat berpatutan.

Rumah kedua diperoleh melalui laman sesawang Mudah.com. juga terletak di Kampung Assyakirin Fasa 3. Rumah kampung 2 tingkat yang telah diubahsuai dengan kelengkapan lengkap namun sewanya RM1.3K. Lokasi dan kemudahan berhampiran menepati kehendak, namun disebabkan usaha memohon agar sewa dikurangkan tidak mendapat pertimbangan pemilik maka terpaksa dilepaskan.

Rumah seterusnya sebuah apartment milik seorang Cina berhampiran Kuarters Kerajaan, apabila ditinjau keadaan persekitaran, menimbulkan keraguan dari segi keselamatan memandangkan lokasi yang terletak agak jauh dari jalan utama serta keadaan persekitaran yang berisiko walaupun sewanya dalam lingkungan kemampuan kami.

Rumah keempat terletak di Kampung Pisang di laluan Coastal Miri-Bintulu kira-kira 20 km dari Bandar Bintulu. Rumah teres 1 tingkat "semi furnish",  3 bilik dengan 2 bilik air. Dari segi keluasan amat bersesuaian serta sewanya yang bersesuaian namun pemiliknya memerlukan penyewa dengan segera sedangkan kami bercadang untuk berpindah selepas hari raya. Lokasinya juga agak jauh dari pejabat suami.

Rumah seterusnya terletak di RPR Kidurong berhampiran Masjid Al Mustaqim, kami hanya berkesempatan meninjau diluar rumah dan kawasan persekitaran. Secara kasarnya menepati ciri-ciri yang dicari, in sha Allah hari ini berkesempatan meninjau dalam rumah setelah membuat temujanji dengan pemilik. 

Di antara ciri-ciri rumah sewa yang kami cari:-

    i. Kos sewa di antara RM800 - RM900 sebulan;
   ii. Dilengkapi kelengkapan asas seperti mesin basuh, peti ais dan kabinet dapur; dan
  iii. Terletak dalam kejiranan yang baik dan selamat serta berhampiran dengan masjid.

Setakat ini, kami telah mempunyai beberapa pilihan dan semoga Allah kurniakan kami yang terbaik walaupun suamiku masih berbelah bagi untuk berpindah ke Bintulu kerana jika diikutkan kami telah selesa di Miri. Sebagai isteri, tugasku adalah menyokong setiap tindakan suami selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

Sering berpindah randah disebabkan lokasi kerja suami yang sering berubah menyebabkan perkahwinan kami selalu "PJJ" (perkahwinan jarak jauh) kerana kesukaran untuk aku bertukar tempat kerja sewaktu masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Dilemma antara kerjaya dan rumahtangga sering menghantuiku sepanjang 12 tahun perkahwinan kerana pemikiran kuno ku tetap berpegang kepada kata-kata " Tempat terbaik seorang isteri adalah di sisi suaminya". Ini juga merupakan salah satu sebab utama aku bersara awal agar aku dapat berada dekat dengan suamiku walaupun hakikatnya suamiku bertugas di atas pelantar minyak di tengah lautan. Bagiku untuk berada dalam negeri yang sama dengan lokasi pelantar minyak tersebut telah cukup baik kerana sekurang-kurangnya jika berlaku sebarang kecemasan (nauzubillah himin zalik") beliau masih boleh balik dalam tempoh yang singkat.

Tiada niat untuk bermanja-manja dengan merengek untuk mengikut suami kerana hakikat hidup sebagai isteri seorang pelaut hanya difahami oleh mereka yang mengalaminya sahaja. Berdikari dalam segala hal merupakan ciri-ciri utama bakal isteri seorang pelaut. Ini menambahkan rasa hormatku kepada semua isteri anggota keselamatan seperti tentera, polis, bomba yang sanggup melepaskan suami untuk bertugas menjaga keselamatan negara walaupun "maut" seolah-olah menunggu setiap kali suami melangkah keluar. Hakikatnya apapun kerjaya suami kita, mati itu pasti termasuk diri kita. Semoga kita semua bersedia dengan bekalan yang ingin di bawa ke "sana". Dunia ini juga hanya "rumah sewa" yang sewanya dikecualikan.





Tuesday, 18 April 2017

Trip ke Bekenu

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Ikan Yu...sekilo RM8. Sedap buat umai, makan dengan nasi panas-panas




Kecekapan menyiang ikan yu...sekelip mata sahaja. Sambil menyiang sambil berkongsi resepi. Terbaik !!!

Tandas wanita yang sangat bersih


Tahniah untuk warga Bekenu dan Majlis Daerah Sibuti



Astagfirullah halazim, telah 12 hari aku tidak berblog, tiada niat untuk meninggalkan bidang yang baru diceburi dan menjadikan "labah-labah" bersarang di sini. Memang terasa giannya hendak berblog setelah mengikuti latih tubi 44 entri dalam masa 20 hari. Namun atas beberapa kekangan terutamanya kesibukkan (alasan semata-mata) kerana kehidupan "nomad" dalam masa 2 minggu ini setelah suamiku diarahkan berpindah ke Bintulu dengan kadar segera bagi menggantikan kekosongan yang kritikal. 

Sebelum menerima arahan tersebut, kami sempat berkunjung ke Bekenu pada 9 April 2017. Bekenu terletak kira-kira 50 km dari Miri. Ia terletak di bawah pentadbiran Majlis Daerah Sibuti. Kami sering berkunjung ke sini terutamanya untuk "short getaway" dari Miri disebabkan lokasinya yang berhampiran. Sibuti sebuah pekan kecil dan masih mengekalkan beberapa ciri tradisional seperti perlu menggunakan bot penambang untuk sampai ke kampung di seberang. Kini sebuah jambatan sedang dalam proses pembinaan berhampiran RTC Sibuti yang pastinya memberi kelegaan kepada para penduduk Bekenu.

Hujung minggu di Bekenu meriah dengan pasar minggu yang kini diadakan di RTC di mana sebelum ini diadakan di hadapan dataran Bekenu berhampiran jeti bot penambang. Rambang mata melihat hasil-hasil laut yang segar seperti udang dan sotong. Kami mengambil peluang memborong hasil laut untuk bekalan 1 minggu termasuk sekilo ikan yu untuk dibuat umai ikan yu.

Resepi umai ikan yu ini kami peroleh secara "hands on" daripada penjual ikan itu sendiri. Memang sedap dan menyelerakan untuk dimakan bersama-sama nasi panas. Disebabkan aku suka pedas maka umai ku memang agak pedas. Padaku ia amat menyelerakan. 

Yang paling aku puji RTC Sibuti ini adalah tandasnya yang sangat bersih dan wangi. Memang "rare" untuk jumpa tandas awam sebersih di RTC Sibuti. Diharap ianya berkekalan kerana ia melambangkan imej penduduk dan para pengguna.