Trip Pantai Timur - Hari Keempat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga dengan trip Pantai Timur kali ini. Lokasi terakhir adalah di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang dengan pakej MATTA Fair berjumlah RM199 termasuk penginapan, sarapan dan tiket masuk. Perjalanan daripada Kuala Terengganu bermula seawal jam 8.30 pagi memandangkan trip terakhir ini agak jauh perjalanannya sejauh 400 km lebih. Kami berhenti sarapan di Kedai Nasi Ayam K. Mah dan makan tengahari di RnR Temerloh bagi melepaskan kempunan untuk makan Patin Tempoyak. 

Cuaca sepanjang perjalanan cerah namun jumlah kenderaan agar banyak mungkin kerana ada yang baru bercuti sempena cuti sekolah. Sesampai di Colmar, kaunter daftar masuk agar panjang barisannya dan proses mendaftar masuk mengambil masa hampir 30 minit kerana hanya 1 kaunter dibuka. Selepas meletakkan beg di dalam bilik kami terus menuju ke "Animal Farm" dan seterusnya "Japanese Garden". Seronok melihat anak bermain kejar-kejar dengan arnab serta mengusap rusa-rusa yang dilepas bebas. Interaksi dengan haiwan ini sebenarnya satu kaedah meningkatkan keyakinan diri anak-anak. Walaupun ada insiden kecil di mana anakku terkena jaring pagar besi sewaktu asyik berkejaran dengan arnab tapi dia hanya mengadu sakit tanpa menangis walaupun terluka di lengan kanannya. 

Perjalanan di "Japanese Garden" boleh dianggap membakar kalori makan tengahari memandangkan terpaksa mendaki 88 anak tangga ditambah dengan keadaan muka bumi yang tinggi untuk menuju ke puncak. Walaupun belum pernah sampai ke Jepun, sampai Taman Jepun pun jadilah buat masa ini. In sha Allah jika ada rezeki boleh sampai ke Negara Matahari Terbit suatu hari nanti.

Memandangkan cuaca hujan renyai-renyai maka kami membuat keputusan untuk berehat di bilik sambil suamku menyelesaikan "assignment" beliau dan aku sempat mengemaskini blog manakala anakku pula berendam di tab mandi memandangkan hotel-hotel sebelum ini tiada tab mandi. Jadilah sebagai pengganti kolam renang sebab mummy dan daddy sudah kepenatan untuk menemaninya ke kolam renang. Kami bercadang malam nanti selepas solat jamak maghrib-isyak untuk keluar bersiar-siar menikmati pemandangan malam dan menonton persembahan jam 9.30 malam. 





Comments

Topik popular