Pesta Babulang 2015

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Kali ini aku nak berkongsi berkenaan Pesta Babulang kaum Bisaya yang berlangsung di Limbang, Sarawak. Pesta ini adalah bagi meraikan Pesta Menuai oleh Kaum Bisaya. Kami memang berminat untuk mengetahui budaya-budaya tempatan terutamanya di Sarawak yang penuh dengan etnik pelbagai bangsa namun disatukan dengan kesatuan hati. Satu keluarga besar dengan pelbagai kepercayaan dan pegangan hidup boleh hidup dengan harmoni. Kami sekeluarga berpeluang menyaksikan Pesta Babulang untuk kali pertama pada tahun 2015. Untuk tahun 2016, kami tidak dapat menyaksikannya kerana pesta diadakan semasa bulan Ramadhan.

Semasa berlangsungnya pesta ini, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk Lumba Kerbau, pertandingan Kereta Kerbau Berhias, pertandingan masakan tradisional, pertandingan Ratu Cantik serta gerai-gerai yang menjual makanan tempatan. Terdapat juga khemah khas yang didirikan untuk setiap kampung bagi mempromosikan makanan kampung masing-masing. Pertandingan kampung ini juga disediakan. Apa yang mengagumkan adalah penduduk pelbagai peringkat umur turut terlibat dan golongan muda juga tidak ketinggalan. Budaya seperti ini telah semakin pudar di bandar-bandar besar terutamanya di Semenanjung di mana ramai anak muda lebih gemar meniru budaya barat.

Pakaian tradisional yang digayakan oleh Kaum Bisaya ini juga amat menarik namun tiada rezeki untuk membeli kerana tiada saiz untuk anakku. Tujuan kami adalah untuk anak kami merasi sendiri pengalaman melihat kerbau secara langsung dan cuaca panas terik tidak menghalang keseronokan menyaksikan keunikan pesta tersebut.

Kami menetap di Hotel Purnama yang terletak di Pekan Limbang yang jaraknya dalam 15 km ke Kampung Danau di mana pesta berlangsung. Semoga kami berkesempatan untuk menyaksikan Pesta Babulang 2017. 




Comments

Topik popular