Sunday, 19 March 2017

MATTA Fair 2017


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Alhamdullilah semalam (18 Mac 2017), selepas mengambil suami di KLIA dan COD 5 kotak Safety Shoes kepada rakan suami di Putrajaya kami meneruskan perjalanan ke PWTC menaiki LRT untuk ke MATTA Fair. Kami berdua memang suka berjalan-jalan a.k.a melancong sejak belum dikurniakan zuriat lagi. Namun kami hanya melancong dalam negara sahaja kerana pada kami kita perlu mengenali setiap penjuru dalam negara kita terlebih dahulu sebelum menjelajah ke luar negara. Kami bercita-cita pada satu hari nanti kami akan bermusafir dalam negara selama 30 hari/ sebulan. Jauh perjalanan luas pandangan dan semoga tanah yang menjadi saksi tempat sujud kami kelak menjadi saksi pemusafiran kami. Namun suamiku pernah berada di luar negara ketika beliau masih bekerja dengan kapal kargo sebelum ini seperti di Jepun, Iraq, Doha dan Amerika Syarikat maka aku pun turut sama berangan seperti berada di tempat-tempat itu ketika beliau bercerita pengalaman beliau. Berangan pun salah satu hobi aku, berangankan percuma.

Luar negara yang pernah kami lawati bersama adalah Thailand, Indonesia, Singapura dan semasa menunaikan umrah. Bagi diriku, pengalaman berjalan keluar negara yang sedikit itu tidak dapat menandingi pengalaman pertama menunaikan umrah pada tahun 2010 sempena hari lahir suamiku yang ke 40. SubhanAllah ia kenangan yang terindah dan rindunya aku pada Baitullah hanya Allah sahaja tahu. Semalam di MATTA Fair, tujuan utama adalah mencari pakej umrah yang paling berbaloi dan bersesuaian dengan tarikh kerja suami, in sha Allah trip umrah kali ini kami bertiga juga (sebelum ini aku membawa emak bersama kerana abah kurang sihat semasa itu) iaitu dengan cahayamata yang telah ditunggu selama 11 tahun. Aku juga berniat agar trip umrah kali ini aku dapat melengkapkan praktikal sebagai mutawifah setelah lulus ujian teori sijil asas mutawif pada April 2016. Batch ku telah selesai praktikal pada bulan Disember 2016 yang lepas dan menerima sijil dari Mufti Johor pada bulan Januari lepas. Praktikal ku tertangguh disebabkan peraturan terkini berkenaan kewajipan membawa mahram bagi jemaah wanita bawah 45 tahun serta tidak dibenarkan lagi mahram tumpang. Disebabkan perancangan asal, praktikal hanya aku seorang yang pergi maka bila tahu berkenaan syarat baru, urusan praktikal terpaksa ditangguh disebabkan kekangan bajet serta jadual kerja suami yang tidak sesuai dengan tarikh praktikal batchku. Aku tidak nafikan memang agak kecewa namun aku yakin pasti Allah akan beri yang lebih baik kerana kita hanya merancang dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Ya Allah, hambaMu yang hina dan daif ini berhajat untuk menjadi mutawiffah bagi membantu para jemaah wanita serta menunaikan fardu kifayah kerana kekurangan mutawwifah di saat ini. Ya Allah Ya Barri yang Maha Mengatur, aku ingin juga jika suamiku terbuka hati untuk turut sama menjadi mutawwif agar kami dapat bersama-sama mengunjungi rumahMu. Sesungguhnya satu umrah ke satu umrah yang lain itu penghapus dosa terutama buat diriku yang penuh dosa dan noda ini. Perkenan doaku Ya Allah.

Selain, pakej umrah kami juga dapat beberapa pakej yang berbaloi sempena cuti sekolah ini. Kali ini kami membuat keputusan untuk makan angin ke Pantai Timur kerana anak kami belum pernah ke Pantai Timur. Memang berbaloi pakejnya kerana tiada sebarang surcaj walaupun cuti sekolah namun tawaran hanya semasa MATTA Fair sahaja. Jadi perancangannya, perjalanan bermula KL-Putrajaya- Gambang Resort-Jertih ( Madrasah Darul Uloom)-Kuala Terengganu-Colmar, Bukit Tinggi-Gombak-Miri (Home Sweet Home). Semoga pemusafiran kami dikira sebagai ibadat disisiMu Ya Allah.



No comments:

Post a Comment